Saya anak perempuan sulung kepada Ahmad Baharin, bapa saya. Emak menyifatkan saya sebagai anak yang manja walaupun sehingga kini saya tidak dapat menerima bila dikatakan saya anak yang manja.
Saya sentiasa mengikuti bapa saya ke mana sahaja semasa saya kecil termasuk pergi ke pasar, membeli barang dapur di kedai runcit, urusan bank, menziarahi rakan taulan dan keluarga.
Bapa saya seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Dato' Syed Omar, Jalan Day (Jalan Sultanah), Alor Setar. Saya hanya mampu mengingati bapa saya mengajar matapelajaran Ilmu Alam. Emak bercerita bapa juga seorang guru disiplin, rotan sentiasa disimpan di dalam boot kereta bapa.
Mulut jelabas
(orang Kedah sebut "jelabaih")
Jelabas biasanya digunakan dalam bahasa Melayu terutama dialek Kedah atau Utara. Maksudnya mulut yang banyak cakap, celupar dan suka bercakap tanpa kawalan.
Pada waktu kecil, emak bercerita saya akan bercakap apa saja mengikut keadaan semasa. Pernah bapa membawa saya ke rumah saudara bapa di Alor Merah. Rumah itu berdekatan longkang laluan air. Bila saya masuk ke rumah bersama bapa, saya berkata, " Bapa, kenapa rumah ni busuk?" Saya tidak ingat apa yang bapa jawab tetapi bila kembali ke rumah emak menegur saya supaya jangan cakap begitu bila menjadi tetamu di rumah orang lain. Saya akur.
Pernah ada satu masa emak tidak ikut hadiri kenduri di rumah Tok Cut, emak saudara bapa. Bapa beritahu emak merajuk sebab itu emak tidak ikut. Bila sampai di rumah Tok Cut, semua orang bertanya mana emak. Kenapa emak tidak ikut sama ? Saya menjawab dengan lancar, "Emak merajuk !" Jawapan saya menjadikan semua tertanya kenapa emak merajuk dan bapa dihujani dengan pelbagai soalan kenapa emak tidak ikut.
Kelas piano dan kelas Al Quran
Bapa mempunyai harapan yang tinggi pada anak perempuan sulungnya. Semasa umur 4 tahun saya dibawa ke sekolah muzik di Alor Setar untuk mempelajari piano. Tetapi saya menangis dan tidak bersetuju untuk hadiri kelas piano. Bapa ikuti sahaja kehendak anaknya.
Pada usia 5 tahun saya dihantar untuk mengaji Al Quran di rumah jiran sebelah. Di rumah Cikgu Mustaffa dan Cikgu Halimaton ada guru yang datang untuk mengajar Al Quran pada waktu malam. Saya masih ingat guru tersebut dipanggil Mak Njang dan tinggal di Lorong Mayat, Kuala Kedah. Setiap malam selepas maghrib, saya berjalan sendirian ke rumah Cikgu Halimaton untuk menghadiri kelas Al Quran. Di usia 5 tahun saya bermula dengan mengaji Muqaddam.
Gambar menunjukkan kedudukan rumah saya di sebelah kiri dan rumah Cikgu Halimaton, tempat mengaji Al Quran di sebelah kanan.
Ada satu hari saya buat perangai melampau dan degil dengan cubaan untuk ponteng kelas Al Quran. Punca sebenar ialah saya hendak menonton rancangan televisyen Donny and Marie Osmond Show. Saya bukan peminat Donny and Marie Osmond cuma saya sangat suka melihat di akhir rancangan belon yang berwarna - warni jatuh dari atas ke lantai. Saya sangat teruja dengan belon-belon yang banyak dan pelbagai warna. Tambah teruja bila belon dipijak sehingga pecah oleh penyanyi.
Anda rasa bapa akan benarkan ? Bapa telah mengeluarkan rotan dari boot kereta, sambil menggertak saya supaya pergi mengaji. Bila terlihat rotan, saya terus berjalan laju ke kelas mengaji dengan linangan air mata dan rasa tidak puas hati. 😂
Bermula dari hari itu saya hadir ke kelas mengaji dengan penuh istiqamah.
Macam tak percaya hang mulut jelabas...hehehe.
ReplyDeleteHahaha....aku sangat lemah lembut dah sekarang ni...tak cakap banyak dah....dulu kecik2 kot mulut baru belajar cakap....masa tadika pun cakap tak banyak dah...
DeleteHappy born day my fren.Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah swt.Jom bahagia cara kita 🎉
ReplyDeleteThanks Sep....bahagia cara kita....sambil menikmati kesendirian yang Allah kurnia ( yang ni aku la bukan hang )....sentiasa bersyukur dan bersangka baik pada Allah
Delete