Emak sangat suka membaca. Dari kecil saya melihat emak membaca suratkhabar dengan tekun dari satu helaian ke satu helaian. Saya juga selalu melihat emak membelek iklan-iklan kecil dalam suratkhabar. Pada masa dahulu suratkhabar dilanggan secara bulanan. Setiap hari "mamak suratkhabar" akan menghantar suratkhabar ke rumah pada awal pagi dengan menaiki motor yang sarat dengan pelbagai jenis suratkhabar dan majalah.
Saya merasakan emak suka bercerita mungkin hasil dari pembacaan emak sepanjang masa. Emak bercerita bapa saya membeli set buku Children Encyclopedia Britannica pada saya semasa saya berumur 4 tahun, emak kata bapa membeli buku pada anaknya yang masih belum boleh membaca.
Emak dan bapa mula melanggan Majalah BUJAL untuk saya semasa saya berumur 7 tahun dalam tahun 1979. Watak Bujal ialah seorang budak lelaki berbaju belang, berseluar pendek dan kedua-dua pipi berbintik- bintik ( masa itu saya belum faham itu bintik-bintik jerawat ). Saya suka membaca cerita Bujal bersama kawan-kawannya. Watak lain selain Bujal yang saya ingat ialah Dogol, Raju, Wak Segan dan Cikgu Markonah. Pada pandangan saya, emak dan bapa berjaya mempengaruhi saya untuk membaca dengan langganan majalah BUJAL.
Semakin bertambah umur, emak mula melanggan majalah Dewan Pelajar untuk saya. Majalah Jelita dan Wanita yang emak langgan juga termasuk dalam pembacaan saya setiap bulan. Di rumah jugak banyak buku cerita yang emak beli untuk saya baca. Sekiranya budak zaman sekarang makan sambil melihat telefon, saya pulang dari sekolah dan makan tengahari sambil membaca buku kisah dongeng ( fairy tale ) kegemaran saya. Yang paling saya ingat buku kecil nipis bertajuk UPIK ABU. Setelah sekian lama baru saya tahu watak Upik Abu sama dengan watak Cinderella.
Setiap hari ahad saya tidak sabar untuk membaca suratkhabar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Emak melanggan kedua-dua suratkhabar ini setiap ahad. Artikel yang emak selalu baca dan kemudian bercerita pada saya ialah kisah DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN ( DCCK ) dan CIK SRI SIANTAN. Tak lupa juga kartun di ruangan pojok SENYUM KAMBING.
Emak jugak sangat gemar membaca dan membelek ATLAS ( peta dunia ). Saya sering dimarahi kerana tidak tahu kedudukan geografi negara-negara dalam dunia. Saya akui emak memang handal dengan kedudukan negara dunia. Tapi saya rasa saya mewarisi kepelikan ini dengan membaca kamus bergambar, buku peribahasa dan simpulan bahasa setiap malam sebelum saya tidur semasa saya bersekolah rendah.
Kisah emak dan membaca terlalu banyak dalam ingatan. Jika ditulis kenangan ini tulisan ini boleh menjadi sangat panjang.
Terima kasih pada emak dan bapa yang berjaya memupuk minat membaca pada saya sejak usia yang masih kecil.
Huruf kecil emak kenalkan,
Ilmu besar jadi bekalan.
Wahhh...ada pantun dipenghujung cerita..menarik!
ReplyDeleteCerita kali ni sarat dengan nostalgia yg Sep yakin dari sini terbentuknya peribadi dan jati diri yg disusun atur kedua2 orang tua utk Aida.
Zaman dulu kita beruntung,tak ada gajet berteknologi seperti sekarang.Kita banyak membaca dan mengenali dunia dari surat khabar,majalah dan sebagainya.Majalah Bujal,Dewan Pelajar memang senonim dengan zaman kita terutama yang ulat buku.
Teringat pula arwah abah Sep yang melanggan surat khabar jawi setiap hari sehinggalah keluarannya dihentikan,barulah abah bertukar kepada Utusan Malaysia rumi.