Ahmad Baharin bin Man
Jangka masa saya bersama insan yang dipanggil bapa adalah lebih singkat berbanding 51 tahun hidup bersama emak. Saya menjalani hidup bersama bapa mulai 1 Oktober 1972 sehingga 26 Mei 1980, iaitu dalam tempoh lebih kurang 8 tahun, lebih tepat 7 tahun, 8 bulan dan 25 hari.
Memori saya bersama bapa dari masih bayi sehingga berumur 3 tahun adalah berdasarkan penceritaan emak saya. Pengalaman hidup bersama bapa selepas berumur 3 tahun adalah dari ingatan saya sendiri.
RUMAH SEWA MAK TOM
Selepas saya dilahirkan saya dibawa balik ke rumah sewa Mak Tom yang lokasinya berhadapan Sekolah Menengah Tun Sharifah Rodziah. Bapa menyewa rumah berkenaan sebelum membuat rumah sendiri di tanah lot di Taman Sopiah.
Menangis kuat apabila lapar
Emak bercerita semasa masih bayi, apabila saya lapar saya akan menangis sangat kuat seolah-olah kena pukul. Sehingga Mak Tom, tuan rumah sewa yang tinggal bersebelahan datang melawat untuk bertanya kenapa bayi ini menangis.
Makan tudung botol waktu orang sibuk berbuka puasa
Emak bercerita saya pernah masukkan tudung botol dalam mulut dan hampir menelannya semasa orang lain sedang leka berbuka puasa. Bapa mencari tudung botol yang diletaknya atas meja tetapi tidak jumpa akhirnya beliau melihat pipi saya yang kembung sebab ada tudung botol dalam mulut. Bapa terpaksa mengorek keluar tudung botol dari mulut saya sebelum tertelan.
Hilang dari tempat tidur
Pernah suatu malam emak terjaga dari tidur saya tiada di atas tilam yang emak dan saya tidur. Dengan rasa terkejut emak mencari saya. Rupa-rupanya saya berada di tepi tilam hampir terjatuh tetapi tersangkut pada kelambu yang diselit ke dalam tilam. Saya tergantung disitu. Emak kata saya berguling-guling semasa tidur. Bapa berkata saya 'tidoq buaih' (sehingga agak besar sekiranya saya tidur bersama bapa kaki saya akan naik ke badan dan muka bapa). Memang tidak salah bapa menggelar saya tidur buas !
Bercakap pelat yang sukar difahami
Bapa saya pernah tidak faham apa yang saya mahu dan bertanya emak apa yang Hafiza mahu. "Dia sebut tetyo. Berulangkali disebutnya mahukan tetyo, tetyo, tetyo." Emak pun tidak faham apa itu tetyo. Setelah beberapa hari baru bapa tahu tetyo adalah radio. Emak mengingati perkataan ini sehingga saya dewasa.
RUMAH TAMAN SOPIAH
Dalam ingatan saya, kami berpindah ke Taman Sopiah dalam tahun 1975. Semasa dalam tempoh membina rumah, saya sentiasa mengikuti bapa setiap petang untuk melihat tapak rumah.
Seronok
Bila berpindah ke Taman Sopiah, apa yang saya ingat, bapa suka menanam pelbagai pokok di kawasan rumah dan menjaga halaman rumah supaya sentiasa kemas dan bersih.
Emak bercerita halaman rumah sangat bersih sehingga kawan bapa yang berkunjung tidak sampai hati untuk membuang puntung rokok dalam kawasan halaman.
Bapa juga telah menempah papan tanda yang sederhana besar bertulis SERONOK dan nombor rumah 1 - B dan dipasang pada dinding luar rumah. Walau bagaimanapun, papan tanda SERONOK emak telah turunkan setelah bapa meninggal dunia.
Anak Bapa
Emak bercerita saya lebih utamakan dan sayang pada bapa. Tempat kedua orang yang saya sayang ialah pengasuh saya, Kak Minah. Emak mungkin jatuh tempat ketiga sebab saya tidak peduli sama ada emak ada atau tiada. Cuma emak selalu rindukan saya semasa mengajar di sekolah sehingga terpaksa membawa gambar saya semasa mengajar.
Ketika di rumah saya banyak menghabiskan masa bermain-main sendirian tetapi mesti berdekatan bapa. Sekiranya bapa menulis buku ringkasan mengajar atau menaip soalan peperiksaan di meja makan "dining room". Saya akan bermain sendirian di tepi bapa. Saya selalu diberi kapur untuk menconteng papan hitam atau kertas dan pensel untuk melukis.
Bila bapa bangun untuk mengambil barang di dalam laci dapur, saya akan turut sama bangun mengikut bapa. Kalau bapa mengambil barang dalam kereta, saya pun ikut sama. Bapa perasan tentang gelagat saya dan beritahu emak tentang perangai saya yang selalu ikut bapa merata-rata di dalam rumah.
Basuh pasir untuk anak main
Emak bercerita bapa akan sentiasa berfikir perkara yang boleh merangsang pemikiran anaknya. Saya diajar untuk bermain pasir dari kecil. Pasir dibasuh terlebih dahulu sebelum saya bermain. Mungkin bapa mahu saya bermain dengan pasir yang bersih disamping merangsang pancaindera saya.
Stail orang putih
Emak selalu menganggap bapa agak kebaratan atau stail orang putih. Saya dari kecil diajar dengan ucapan Good Morning, Good Afternoon dan Good Evening. Ucapan Good Night mesti diucapkan pada bapa dan emak sebelum tidur. Bapa akan mencium pipi saya selepas ucapan Good Night.
Bapa juga berhajat untuk membuat Coffee Bar di rumah untuk memudahkan melayan tetamu yang datang. Emak langsung tidak bersetuju apabila mendengar perkataan 'BAR'. Bapa akur dengan keputusan emak.
Conteng dinding
Walaupun saya sentiasa diberi kertas dan pensel serta mempunyai papan hitam yang besar untuk menulis, saya sering juga memilih dinding rumah untuk melukis.
Tetapi saya agak bijak apabila memilih dinding di belakang pintu bilik untuk diconteng. Bapa pernah memarahi saya kerana menconteng dinding dan saya diarahkan memadam semula tulisan dan lukisan saya dengan pemadam. Saya masih ingat saya melukis payung yang kecil tetapi kaki payung sangat besar. Emak tidak sampai hati untuk mengecat semula dinding yang ada lukisan payung saya selepas bapa meninggal dunia.
Ahmad Hafeez lahir
Saya mendapat adik semasa berusia 5 tahun. Bapa sangat risau sekiranya saya tiada adik saya akan menjadi anak tunggal yang manja. Saya masih ingat dibiarkan tidur berseorangan dalam kereta pada malam bapa membawa emak ke hospital untuk bersalin. Kemudian bapa menghantar saya ke rumah Wan Man iaitu rumah datuk sebelah bapa. Sebenarnya saya sangat gembira bila dibawa ke rumah Wan Man sebab di situ ada Mak Tam dan Makcik ( adik bapa ) yang selalu melayan karenah saya.
Maka bermulalah panggilan kakak untuk Aida Hafiza 😃
Bila baca cerita ni,baru tau hang anak bapa di zaman kanak-kanak!Setahu aku hang sangat2 rapat dengan mak hingga dipenghujung usianya.Aturan Allah yang terbaik.
ReplyDeleteLepas bapa meninggal yang aku ada hanya emak saja. Bapa meninggal mengejut, sakit 3 hari saja di hospital...nanti aku sambung cerita. Bila kita tau mak sorang2 jadi kena faham sendiri utk bagi sokongan kat mak, kena bantu mak. Mak adalah segala2nya sampai terlupa mak pun Allah bagi pinjaman jugak...
Delete