Fikiran menerawang ke zaman kanak-kanak semasa emak melanggan pelbagai majalah termasuk majalah GILA-GILA. Saya membesar dengan majalah GILA-GILA. Nostalgianya terlalu dalam. Tiba-tiba terasa rindu pada Majalah Humor Nasional yang menjadi kegemaran saya dan adik-adik membacanya setiap bulan.
Ternyata ingatan semakin berkurang tentang kenangan kartun-kartun yang selalu diikuti dalam Gila-Gila yang membuatkan saya membuat carian maklumat mengenai kartun-kartun yang sangat popular di hati para pembaca pada masa itu.
From Taiping With Love
Watak pasangan Mat dan Moon yang dengan berlatarbelakangkan Taman Tasik Taiping. Paling diingati Mat seorang jejaka yang kurus kering dan Moon bersaiz badan berkali ganda dari Mat.
Tiga Dara Pingitan
Watak tiga gadis desa bernama Awa, Esah dan Noi bersama hero tunggal Jai.
Periwira Mat Gila
Pengembaraan dan kehidupan seorang pemuda yang bernama Mat Gila yang berpegang pada falsafah hidup "Kalau ada duit, semua boleh jadi."
Lagak A. Mamud
Saya tidak akan lupa pada watak kartun A. Mamud yang ranggi dan berfesyen tahun 60an lengkap berkaca mata hitam dengan gaya rambutnya yang berjambul tinggi.
Auk Auk The Orang Batu
Kartun watak zaman batu yang membawa belantan dengan tidak berbaju. Adik saya berpendapat gambar anak saudara saya Umar serupa dengan gaya Auk Auk The Orang Batu cuma tiada belantan yang dipegang.
Jungle Jokes
Kisah berkisar telatah haiwan-haiwan di dalam hutan yang lucu dan menghiburkan hati.
Kerastangan
Pelbagai idea untuk membuat kerja tangan yang bukan-bukan tapi menarik, logik dan lucu.
Banyak lagi kartun yang pernah dibaca antaranya Kalau, Pepatah Pepitih, Ayob Anak Tulakang, Panaurama, Tong Kosong, Jaki Jipang, Tauke, Atuk, Aku Budak Minang dan lain-lain lagi.
Saya paling suka ruangan cetusan pendapat iaitu ruang NGOMEL SIKIT yang ditulis oleh penulis Minahleter. Tulisan Minahleter ini agak beraliran feminisme dengan komen-komen yang berbisa menghentam perangai buruk lelaki.
Bagi mengimbangi tulisan Minahleter adalah tulisan Matt Romeo dengan menggambarkan Matt Romeo, seorang lelaki yang romantis serta memiliki teman wanita yang ramai.
Akan tetapi kegembiraan saya dan adik-adik membaca majalah GILA-GILA terbantut apabila adik saya Hafeez yang ketika itu bersekolah rendah memberitahu emak beliau membuat karangan di sekolah dengan menggunakan perkataan KERASTANGAN 😂
Emak terus menghentikan langganan majalah GILA-GILA dengan menggunakan kuasa veto seorang ibu !
Comments
Post a Comment