Blog Coretan Aida ini diilhamkan oleh seorang sahabat. Saya sendiri tidak terfikir saya berpeluang menukilkan pengalaman singkat bersama bapa untuk disimpan dan dijadikan kenangan abadi sepanjang hayat di sini. Saya amat menghargai budi dan jasa baik sahabat yang menguruskan blog Coretan Aida ini.
Setelah adik saya Hafeez lahir, bermakna tempoh hidup bersama bapa hanya tinggal lebih kurang 2 tahun setengah. Tetapi siapalah kita untuk mengetahui qada dan qadar Allah.
Terlalu banyak kenangan bersama bapa tetapi yang terpahat dalam ingatan sahaja yang mampu saya coretkan di sini.
Air tebu sekupang (10 sen), bil doktor RM6
Saya sentiasa mengikuti bapa ke mana sahaja, termasuk semasa bapa menyelesaikan segala urusan di bandar Alor Setar. Saya masih ingat bapa selalu membeli air tebu yang dijual di tepi jalan yang diminum dalam gelas tin (stainless steel). Air tebu dalam gelas tin ini sangat sejuk dan nyaman untuk tekak yang dahaga. Bapa juga membeli segelas air tebu untuk saya setiap kali bapa minum air tebu. Tetapi saya seringkali demam selepas saya minum air tebu sejuk di tepi jalan. Bapa beritahu emak, "Hafiza kalau minum air tebu, harga air tebu hanya sekupang, tapi lepas minum dia demam, bayaran bil doktor RM6."
Sentiasa ikut bapa ke rumah kawan-kawan bapa
Bapa juga gemar berkunjung ke rumah kawan-kawan beliau yang berdekatan Jalan Kuala Kedah. Saya masih ingat mengikut bapa ke rumah Cikgu Kadir ( yang bapa sebut Cikgu Kadiaq ), rumah Cikgu Bakar ( dipanggil Bakaq Nyoq ) dan Cikgu Ahmad Abdullah ( dipanggil Mat Dollah ). Saya tidak pasti sama ada kawan-kawan bapa masih ada hingga sekarang.
Cara menjawab telefon
Bila telefon di pasang di rumah Taman Sopiah, bapa mengajar saya cara menjawab telefon dengan sopan. Bila telefon berdering, saya mesti mengangkat gagang telefon sambil berkata, "Hello, 724863". Walaupun saya merasa seolah-olah operator Jabatan Telekom Malaysia pada masa itu tapi saya tetap akur mematuhi cara yang bapa ajar setiap kali menjawab panggilan telefon.
Dilatih cara berjalan tegak
Saya masih ingat bapa selalu menyuruh saya berjalan tegak dengan meletakkan buku atas kepala. Seperti biasa saya hanya patuh dan menganggap aktiviti ini penuh keseronokan. Apabila dewasa baru saya faham dengan berjalan secara meletak buku di atas kepala, bapa hendak melatih postur berdiri dengan tegak dan melatih berjalan dengan seimbang. Saya sendiri pun tidak pasti sama ada cara berjalan saya sekarang masih tegak dan seimbang seperti yang bapa ajar semasa kecil.
Menyanyi lagu kanak-kanak dan "nursery rhymes"
Saya diajar menyanyi pelbagai lagu kanak-kanak dan mempunyai buku khas mengenai lagu kanak-kanak. Buku nursery rhymes dan kaset lagu kanak-kanak juga bapa belikan untuk saya.
Antara lagu yang saya masih ingat ialah :
Rasa Sayang Hey
Suriram
Burung Kakak Tua
Bangau oh Bangau
Chan Mali Chan
Jong Jong Inai
Baa Baa Black Sheep
Twinkle Twinkle Little Star
Sing A Song Of Six Pense
Here We Go Round The Mulberry Bush
Dalam ingatan saya ada banyak lagi lagu-lagu nyanyian kanak-kanak yang bapa ajarkan. Saya masih ingat saya selalu menyanyi-nyanyi perlahan bila naik kereta bersama bapa.
Berlatih cakap English
Bapa mengajar saya ayat-ayat perbualan ringkas dalam Bahasa Inggeris hampir setiap hari. Selalunya bapa akan bertanya soalan yang mudah dan saya perlu menjawab dalam Bahasa Inggeris.
What is your name?
My name is Aida Hafiza
Where do you live?
What is your father's name ?
What is your mother's name ?
Dan pelbagai lagi ayat perbualan yang ringkas dan anak bapa ini sentiasa akur dan patuh menjawab semua soalan bapa.
Diperkenalkan pemimpin negara melalui gambar dalam suratkhabar
Bapa selalu libatkan saya semasa beliau membaca suratkhabar secara memperkenalkan gambar pemimpin negara pada waktu itu. Di usia 5 tahun saya mengenali Tun Hussein Onn ( Perdana Menteri ) dan Tun Dr Mahathir ( Timbalan Perdana Menteri ) pada ketika itu. Kawan-kawan bapa terkejut bila saya mengenali pemimpin negara. Tapi emak berkata saya mengenali pemimpin negara sebab diajar oleh bapa.
Berkelah di pantai dan air terjun
Bapa gemar dengan aktiviti perkelahan sama ada di pantai atau air terjun. Sekiranya berkelah di Pantai Merdeka bapa selalu menggalakkan saya bermain pasir dan saya dibekalkan dengan timba kecil dan penyodok kecil (shovel). Bapa juga akan menanam badan saya di dalam pasir dan dibiarkan seketika.
Saya juga mempunyai "bath robe towel" khas yang emak jahit sendiri untuk dipakai selepas mandi di pantai atau air terjun bagi mengelakkan saya kesejukkan. "Bath robe towel" ini berwarna biru muda dengan corak berbunga. Emak menjahit siap dengan lengan baju dan bath robe ini mempunyai "kancin tet" bila dipakai, tidak seperti bath robe biasa yang hanya diikat di pinggang. Saya yang hanya memakai seluar pendek semasa mandi akan terus dipakaikan bath robe ini sebaik saja saya rehat sebentar di tebing.
Sebelum mandi pantai atau air terjun bapa akan menyapu minyak angin di dada dan belakang saya. Bapa saya mempunyai penyakit lelah (asthma), dengan menyapu minyak angin di dada dan belakang saya sebelum saya bermain air mungkin bertujuan untuk elakkan saya daripada terkena penyakit lelah.
Nota :
Kancin tet merujuk kepada butang baju besi seperti gambar di bawah. Kancin adalah sebutan dialek Kedah yang menyebut perkataan kancing tanpa huruf G. Bunyi tet adalah bunyi bila butang ini bercantum.
Ahmad Hanif lahir
Beza umur Hafeez (abang) dan Hanif (adik) hanyalah setahun. Apabila Hanif lahir emak telah menghantar beliau untuk dijaga oleh Tok Cik yang tinggal di Gurun, Kedah. Sekiranya emak pergi mengajar, Hafeez akan ditinggalkan di bawah jagaan pengasuh yang turut tinggal bersama di rumah Taman Sopiah. Sekiranya Hanif tidak dijaga oleh Tok Cik, emak dan bapa berpendapat agak sukar untuk pengasuh menjaga dua orang iaitu seorang bayi dan seorang kanak-kanak berumur setahun serentak.
Disengat obor-obor
Setiap minggu emak dan bapa akan ke Gurun untuk mengambil adik balik ke Alor Setar. Bapa mengambil peluang hujung minggu di Gurun untuk membawa saya, Pak Di dan Mak Su Idah ( anak-anak Tok Cik ) berkelah di Pantai Merdeka. Emak tidak ikut sama kerana menjaga dua orang adik saya yang masih kecil. Gambar dibawah ialah gambar Mak Su Idah mendukung saya.
Ketika mandi-manda di Pantai Merdeka saya telah disengat obor-obor di bahagian lengan kiri dan perut. Terasa sangat sakit semasa terkena obor-obor dan kulit berubah kemerahan seolah-olah terkena asid. Saya menangis dan merasa takut untuk mandi laut lagi. Saya ternampak sekumpulan anak muda telah menangkap obor-obor dengan menggunakan kayu dan membakar obor-obor tersebut. Bapa kemudian terus membawa kami semua pulang ke Gurun.
Parut terkena obor-obor masih kekal di lengan kiri saya hingga sekarang. Emak mengatakan parut ini merupakan kenangan saya berkelah bersama bapa yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.
Bapa sakit
Saya ada terdengar perbualan bapa dan emak tentang bapa yang menghidap penyakit kencing manis. Saya yang baru berumur 6 tahun tidak faham sangat tentang penyakit yang bapa hidapi. Tapi saya terdengar bapa berkata beliau berharap dia masih sempat hidup untuk melihat saya belajar di universiti.
Bapa memakai rantai tangan khas untuk pesakit kencing manis. Bapa beritahu saya, jika dia pengsan orang akan mudah mengenalpasti penyakit yang dihidapinya. Saya juga sempat melihat bapa disuntik insulin setiap hari. Seperti biasa saya sentiasa berada di sisi bapa setiap kali emak menyuntik bapa dengan insulin.
Saya hanya mampu mengingati memori semasa bersama bapa setakat ini sahaja. Tetapi saya tidak akan lupa bagaimana saya telah menimbulkan masalah pada bapa dan emak semasa saya mula bersekolah tadika. Kisah bersekolah tadika ini akan saya tulis nanti.
KASIH IBU MEMBAWA KE SYURGA, KASIH BAPA SEPANJANG MASA
Comments
Post a Comment