Skip to main content

DARI TADIKA MASJID ZAHIR KE TADIKA ST THOMAS


Tadika Masjid Zahir

Apabila berusia 6 tahun bapa mendaftar saya untuk memulakan prasekolah di Tadika Masjid Zahir, Alor Setar. Seperti semua ibu bapa yang lain, bapa dan emak telah memilih tadika islamik yang terbaik dalam tahun 1978 untuk saya belajar.

Semua pelajar di Tadika Masjid Zahir pada masa itu memakai uniform berwarna ungu. Baju uniform tadika berwarna ungu muda dan berbutang seperti baju ala chef. Budak lelaki memakai seluar dan budak perempuan memakai skirt berwarna ungu tua. Saya tersenyum sendiri bila memikirkan uniform budak perempuan yang bersekolah tadika di Masjid Zahir pada ketika itu adalah skirt bukan seluar panjang seperti zaman sekarang.

Pada permulaan persekolahan, saya sangat gembira pergi ke tadika. Ramai kawan baru dan boleh bermain pelbagai permainan yang ada di sekolah sangat menarik minat saya untuk bersekolah. Setiap pagi bapa akan menghantar saya ke sekolah yang terletak dalam kawasan Masjid Zahir. Saya masih ingat, setiap hari khamis semua pelajar perempuan diminta membawa tudung (scarf) untuk dipakai ketika masuk ke dalam masjid. Saya tidak dapat mengingati apa yang kami semua belajar semasa di dalam masjid, tetapi semua pelajar diminta duduk beramai-ramai di hadapan mimbar masjid. Emak membekalkan saya scarf kecil berwarna merah untuk dipakai semasa masuk ke dalam masjid pada setiap hari khamis.

Pada suatu hari khamis, semasa keluar dari masjid, seorang budak lelaki telah berdarah hidung ( orang utara menyebutnya "pecah menjarum"). Darah yang keluar dari hidung penuh membasahi hadapan baju beliau. Saya yang memang takut darah tidak dapat menerima keadaan ini. Saya takut dan menangis. Esoknya saya tidak mahu ke sekolah.

Setiap pagi saya menangis tidak mahu ke sekolah. Bapa dan emak hairan kenapa saya tiba-tiba tidak mahu ke sekolah. Puas bapa bertanya kenapa, tetapi saya hanya diam dan menangis. Bapa mengeluarkan rotan pun saya tidak peduli malah masih menjerit dan menangis. Saya hanya membisu setiap kali ditanya. Akhirnya bapa pergi ke sekolah berjumpa dengan guru kelas. Guru kelas beritahu bapa, saya tidak mempunyai apa-apa masalah di sekolah.

Setelah saya berlarutan menangis setiap hari serta tidak mahu ke sekolah akhirnya bapa telah menukar saya ke tadika yang lain.

Tadika St Thomas

Tadika ini agak jauh dari rumah dan terletak di Lorong Merpati, Alor Setar.
Tiada gereja di tadika ini tetapi bangunan tadika adalah seperti rumah lama, bangunan bawah dibuat daripada batu dan bangunan atas dibuat daripada papan. Ada tangga daripada simen yang besar di hadapan sekolah sebagaimana tangga rumah Melaka. Tandas terletak di belakang sekolah. Terdapat warung kecil di belakang sekolah yang menjual keropok dan gula-gula. Tiada uniform khas, semua pelajar berpakaian biasa. Guru kelas saya dipanggil Cikgu Rosnah. Guru Besar adalah seorang wanita pertengahan umur berbangsa India. Saya tidak mengingati nama guru besar berkenaan.

Di perkarangan sekolah terdapat buaian besi dan jongkang-jongket. Kawasan sekolah tidak luas seperti Masjid Zahir. Tetapi saya gembira bersekolah di situ.

Di situ saya mula mengenali Najmeyah, Nuritahaliza, Adabiah, Mazzatinnisa dan Shahnaz. Hanya 5 nama ini yang saya ingat walaupun ramai kawan-kawan di tadika berkenaan.

Seperti biasa bapa menghantar saya ke sekolah setiap hari. Saya masih ingat bila saya sampai di sekolah kawan-kawan menjerit sambil menyebut nombor plet kereta bapa, "KJ 5252, KJ 5252, KJ 5252". Saya sangat ceria setiap hari di sekolah dengan keletah kawan-kawan.

Menjelang akhir tahun, selepas peperiksaan akhir, saya mendapat nombor 3 di dalam kelas. Pada hari penyampaian hadiah, para pelajar dikehendaki membuat persembahan. Saya terpilih untuk menyanyi koir, menari tarian tradisi Melayu dan tarian barat. 

Nyanyian koir

Nyanyian beramai- ramai lagu "The Happy Wanderer"

Sebahagian daripada lirik lagu yang diingati sehingga dewasa...

I love to go a wandering,
Along the mountain track,
And as I go, I love to sing,
My knapsack on my back.

Val deri, Val dera, Val deri,
Val dera ha ha ha ha ha
Val deri, Val dera,
My knapsack on my back.

Persembahan tarian

 

Bagi persembahan tarian tradisonal, Cikgu Rosnah mengajar tarian Mak Inang Selendang. Saya gagal mengingati tarian dengan lagu barat, walau bagaimanapun muzik yang digunakan untuk tarian adalah muzik berentak Waltz.

Hadiah tempat ketiga

Paling tidak dilupakan, saya menerima hadiah kotak pensil bersama dua batang pensil dan pemadam. Kotak pensil yang saya terima mempunyai ilustrasi gambar mengenai kisah dua orang pengembara dan beruang, kisah yang bapa sering bercerita pada saya. Kotak pensil itu sangat mempunyai nilai sentimental pada saya.



Tahun 1978 berakhir dengan pengalaman persekolahan tadika yang sangat menggembirakan serta diingati sepanjang hayat.

Rahsia kenapa tidak mahu ke Tadika Masjid Zahir

Saya hanya menceritakan masalah saya tidak mahu bersekolah di Tadika Masjid Zahir pada emak semasa usia saya di penghujung 40an. Hampir separuh abad saya menyimpan rahsia saya tidak mahu bersekolah di situ kerana takut dengan darah. Emak hanya diam dan tersenyum. Mungkin emak terkenang pada arwah bapa yang sabar melayan karenah anak perempuan seorang ini.

Comments