Skip to main content

TOK CIK



Tok Cik seumpama nenek saya yang sebenar walaupun Tok Cik adalah nenek saudara saya (orang Kedah sebut sebagai Tok Menakan). Nama sebenar Tok Cik ialah Wan Chik binti Ahmad.

Semenjak dari kecil, saya sangat gembira bila Tok Cik datang ke rumah dari rumah beliau di Gurun. Tok Cik selalunya akan membawa bersama oleh-oleh untuk saya. Paling diingati ialah belon yang mempunyai straw dan hiasan bulu ayam berwarna-warni. Gembira sungguh saya bila mendapat oleh-oleh dari Tok Cik. 

Suami Tok Cik adalah anggota polis bernama Othman bin Puteh. Saya memanggil suami Tok Cik dengan panggilan yang sama iaitu Tok Cik atau kami menyebut beliau sebagai Tok Cik Man atau Tok Cik Lelaki. Tok Cik mempunyai 5 orang anak yang saya panggil Mak Chaq Seni, Mak Cik Nah, Pak Lan, Pak Di dan Mak Su Idah.


Beza umur emak saya dan Tok Cik adalah 12 tahun. Emak dan Tok Cik agak rapat dan selalu ke mana-mana bersama. Sifat Tok Cik yang mudah mesra, tegas tapi penyayang menjadikan Tok Cik agak popular di kalangan "anak-anak dan cucu-cucu menakan". Sama seperti Mak Tok, Tok Cik juga agak garang, sangat kemas dan lendit. Lipatan kain wajib sama dan kemas. Kain yang disidai mestilah kemas, tulang kain di tepi dan dialih. Pendek kata segala kerja tidak boleh dibuat secara sambil lewa.

Tok Cik sangat handal membuat kuih-kuih raya, kek, pulut kacau dan pelbagai jenis masakan. Biskut Dam buatan Tok Cik sangat cantik, bentuk susunan dam yang kemas dan sedap. Saya terpana seketika melihat Tok Cik menyusun kuih raya di dalam bekas dengan sangat kemas, lendit dan sama. Walaupun saya dikategori sebagai orang yang kemas tetapi saya tidak dapat menandingi kehebatan Tok Cik menyusun kuih-kuih raya di dalam bekas atau balang.

Satu lagi perkara yang buat saya kagum dengan Tok Cik ialah cara Tok Cik memotong cili kering. Cili kering dipotong/digunting secara serong sedikit dan sama saiz. Saya terkejut melihat kesamaan saiz cili kering potong yang direbus sebelum dimesin untuk dibuat pes.

Ada peristiwa lucu yang sentiasa dalam ingatan antara Bibuk, kucing peliharaan adik saya dengan Tok Cik. Bibuk sebagaimana sifat kucing peliharaan sentiasa tidur dan kelihatan malas. Adik saya jarang mandikan Bibuk sebab Bibuk sentiasa protes bila hendak mandi. Tok Cik selalu menyuruh adik mandikan Bibuk supaya Bibuk kelihatan lebih segar dan tidak lagi asyik tidur sepanjang hari. 😆

Tahap kerajinan Tok Cik juga sangat tinggi. Emak saya selalu dimarahi Tok Cik sebab lambat selesaikan kerja dan suka berhenti rehat sebelum kerja selesai. Agak lucu bila melihat emak dimarahi Tok Cik. Tok Cik selalu tidak puas hati bila emak membuat karipap pusing dan kuih spera separuh jalan dan berhenti berehat. Selalunya kuih-kuih dibuat dalam kuantiti yang banyak untuk dibekukan (frozen). Emak saya sering berhenti berehat sebentar sedangkan Tok Cik suka menyelesaikan satu-satu kerja dengan cepat, kemas dan teratur. Konflik antara emak dan Tok Cik selalu menjadi modal untuk saya mengusik emak.


Tok Cik juga seorang yang sangat menepati waktu. Selalunya Tok Cik akan siap bersedia lebih kurang satu jam sebelum bertolak ke mana-mana. Setelah siap Tok Cik akan menunggu di luar rumah dan kami semua akan terpaksa segera bersiap walaupun masih awal dari masa yang dijanjikan.

Bila bersama Tok Cik, saya selalu diberi tunjuk ajar dan nasihat. Sama seperti emak, Tok Cik akan terus menegur sekiranya beliau ternampak kesalahan atau apa-apa yang tidak kena di matanya. Saya selalu akur dengan tunjuk ajar Tok Cik walaupun sesetengah orang tidak dapat menerima apa yang keluar dari mulut Tok Cik.

Setelah Tok Cik Man pencen, Tok Cik telah berpindah ke Beseri, Perlis. Kemudian Tok Cik berpindah ke Taman Pelangi, Alor Setar. Semasa di Alor Setar, Tok Cik dan emak selalu menghabiskan waktu bersama-sama.


Tok Cik meninggal dunia pada usia 83 tahun akibat sakit tua.

Sehingga hari ni saya merindui Tok Cik. Setiap kali tikar dibentang di ruang dapur rumah Taman Sopiah, saya terbayang sosok Tok Cik yang sering duduk di situ. Pada Hari Raya setiap tahun, saya sentiasa terkenangkan biskut sampan, biskut mazola, biskut dam dan kek buah yang sangat sedap hasil air tangan Tok Cik. Tok Cik sentiasa sangat berbesar hati menerima kunjungan kami ke rumah beliau setiap kali Hari Raya.

Al Fatihah buat arwah Tok Cik. Semoga Allah mengampuni segala dosanya, dilapangkan kuburnya serta ditempatkan rohnya bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Comments