Skip to main content

BEKAS MENJAHIT EMAK



Bekas menjahit emak telah ada semenjak saya bersekolah rendah. Dalam dialek Kedah, bekas menjahit disebut sebagai "bekaih menjait". Bekas menjahit ini lebih tepat disebut sebagai kotak jahitan kerana di dalamnya terdapat jarum jahit tangan, jarum peniti, gunting besar, gunting kecil pemotong benang, penetas benang, pita ukur, kapur jahitan, benang dan jidal ( sarung jari ). Mak Tok saya meletakkan juga segumpal lilin di dalam bekas menjahit untuk dilurutkan pada benang supaya benang tidak mudah kusut.

Saya terpanggil untuk menulis tentang bekas menjahit emak ini apabila saya menggunakan alat-alat dalam bekas nostalgia ini untuk mengubah kedudukan cangkuk kain Mak Njang. Kotak tin coklat Windmollen berwarna merah yang emak gunakan untuk menyimpan alat-alat jahitan ini sangat mengusik perasaan saya. Keadaan di dalam kotak coklat bekas menjahit ini sangat seperti  "sentuhan emak". Perasaan rindu tiba-tiba menerpa. 

Emak saya sangat handal memasak dan menjahit tetapi emak tidak pandai menyusun dan mengemas. Emak selalu mengadu selepas emak mengemas, keadaan laci atau almari yang emak kemas kelihatan  seolah-olah tidak dikemaskan. Selalunya saya yang akan membantu mengambilalih kerja-kerja mengemas untuk emak. Emak selalu gembira apabila saya membantunya mengemas tetapi selalunya akan timbul konflik baru antara saya dan emak apabila saya mengemas.  Saya akan membuang semua barang yang saya anggap tidak perlu tetapi emak masih ingin menyimpan barang-barang berkenaan.


Pada mulanya saya terasa hendak menyusun semula bekas menjahit yang sangat kelihatan seperti  emak masih menggunakannya. Tetapi saya mengambil keputusan untuk membiarkan keadaan bekas menjahit  tidak tersusun sebegitu. Sekurang-kurangnya rindu saya pada emak sedikit terubat dan terasa seolah-olah emak masih menggunakan bekas menjahit itu. Sekiranya emak masih ada, saya pasti akan mengusik emak bila melihat keadaan bekas menjahit yang berserabut dan tidak tersusun. Kemudian saya akan membandingkan keadaan bekas menjahit yang kemas teratur seperti semasa Mak Tok masih ada. Selalunya emak akan membalas usikan saya dengan berkata, "Jangan dok kacau la." Tetapi lazimnya, selepas saya mengusik emak, saya akan menyusun semula bekas menjahit dan membuang barang yang tidak perlu, supaya emak lebih selesa bila menggunakan bekas menjahit berkenaan.

Kembal

Saya masih ingat semasa saya kecil emak menyimpan alat-alat jahitan di dalam kembal. Emak menyebutnya sebagai  kembai. Kembal atau kembai adalah bakul kecil yang dibuat daripada mengkuang yang dijadikan bekas untuk menyimpan alat-alat jahitan, barang-barang perhiasan dan pakaian. Kembai ini dianyam dalam pelbagai saiz. Kembai dari mengkuang yang emak gunakan ini mungkin telah lama dan rosak, jadi emak menukar kembai dengan tin coklat yang lebih tahan lama.


Sebagai bekas pelajar aliran Sains Rumah Tangga dari umur 13 hingga 15 tahun, saya mengakui saya agak taksub (obsessed) dengan kotak jahitan (bekas menjahit). Sejak dari zaman sekolah saya sering menukar bekas menjahit milik saya walaupun kini saya jarang menjahit. Tambahan pulak sekarang ini "set sewing kit" yang pelbagai jenis dijual di pasaran terutama secara online sangat menggugat iman saya untuk membeli. Walau bagaimanapun, bekas menjahit "legend" atau "vintage" kepunyaan emak adalah kotak jahitan yang saya paling sayang.

Kotak kecil penuh sejarah
Berisi cinta tanpa suara
Walaupun emak sudah berpindah
Namun kasihnya kekal terasa

Comments