Skip to main content

JERUK KELUBI KEGEMARAN EMAK



Kelubi, asam kelubi, asam paya atau salak hutan adalah buah yang sama. Pokoknya hampir sama dengan pokok nipah tetapi lebih kecil dan tumbuh di kawasan hutan paya. Rasa buah kelubi sangat masam.

Buah kelubi dijeruk dengan garam dan gula dan dinamakan "jeruk kelubi". Setelah menjadi jeruk, buah kelubi yang masam ini akan bertukar menjadi rasa manis, masam dan sedikit masin.


Emak saya sangat menggemari jeruk kelubi. Setiap kali saya terjumpa jeruk kelubi dijual, saya pasti membelinya untuk emak. Emak bercerita yang emak kerap membeli jeruk kelubi semasa beliau kecil. Harga jeruk kelubi pada masa itu ialah 5 det (5 sen) @ 5 biji. Bermaksud harga sebiji jeruk kelubi hanyalah seduit (1 sen). 

Mak Njang bercerita mereka tiga beradik ( Emak, Mak Njang dan Pak Uda) selalu ke kedai Mamak Karim yang berdekatan Berek Kastam. Mereka akan meminta duit daripada Mak Tok dengan alasan untuk beli "apa-apa" di kedai mamak. Maksud "apa-apa" ialah makanan ringan atau snek. Pilihan "apa-apa" emak sudah pasti jeruk kelubi. Jeruk kelubi yang dibeli dibungkus dalam suratkhabar. Emak bercerita beg plastik masih belum ada pada zaman dulu, barang yang dibeli akan dibungkus dalam suratkhabar termasuk makanan. Mak Njang pun bercerita yang sama, bila beliau membeli kacang berkongsi dengan Pak Uda dengan harga 5 det (5 sen), kacang juga dibungkus dalam suratkhabar. Menurut Mak Njang, tiada pula kes keracunan makanan pada masa itu walaupun makanan dibungkus menggunakan kertas suratkhabar.

Masih segar di ingatan, ketika dua bulan terakhir emak terlantar sakit dan tiada selera untuk makan. Saya sering buntu makanan apa yang saya perlu beri pada emak untuk membangkitkan selera makan emak. Apabila Mee Rebus Abbas yang menjadi kegemaran emak pun emak hanya mampu makan tiga hingga lima suapan, saya semakin buntu. Saya bertukar menu dengan memberi buah-buahan pada emak. Ada salah satu kedai buah yang menjual jeruk kelubi. Saya beli dan cuba beri pada emak. Walaupun emak tidak mampu makan banyak tetapi jeruk kelubi ini berjaya membuka selera emak. Alhamdulillah.

Walaupun emak telah tiada, saya masih membeli jeruk kelubi apabila terjumpa ada dijual. Setiap kali saya menjamah jeruk kelubi, kenangan bersama emak pasti menjelma terutama memori semasa emak sedang terlantar sakit.


Emak ,
rindu ini tidak pernah pergi,
hanya berpindah menjadi doa setiap hari.
Jika dunia memisahkan kita, 
biarlah syurga menyatukan kita kembali.
Sampai jumpa lagi di syurga, emak.

Comments