Pada suatu petang dalam tahun 2022, saya membawa emak berkunjung ke rumah Cikgu Hamidah di Taman Sultan Badlishah untuk menghadiri majlis doa selamat sekaligus menziarahi beliau yang sedang sakit. Kami sepatutnya pulang lebih awal ke rumah, tetapi emak menunggu kuih loyang yang emak pesan dari kawan emak yang datang dari Sik. Agak lewat petang saya dan emak pulang setelah selesai semua urusan. Sampai saja di rumah, azan Maghrib sedang berkumandang.
Selepas solat isyak, saya tiba-tiba berasa libang-libu (rasa resah gelisah tanpa sebab). Satu perasaan yang saya tidak fahami. Saya berasa tidak senang duduk, tidak tenang dengan emosi yang kacau bilau. Saya cuba menghilangkan rasa libang-libu ini dengan mengemas dapur dan menyapu sampah di ruang dapur dengan harapan perasaan pelik ini akan hilang. Tapi setelah selesai semuanya saya masih berperasaan yang sama.
Saya tiada pilihan lain kecuali memberitahu emak dan adik saya, Hafeez tentang rasa pelik ini. Saya masih ingat saya duduk di atas lantai di tepi katil emak serta meletakkan kepala pada sisi emak sambil menangis. Emak mengusap-usap kepala saya sambil membaca ayat Kursi. Emak mencadangkan saya pergi ke hospital. Saya hanya membayangkan doktor akan merujuk saya ke Klinik Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental, tapi atas alasan apa saya perlu ke hospital. Saya masih waras, perasaan libang-libu ini terjadi secara tiba-tiba.
Rasa kacau bilau semakin teruk
Esoknya saya menjadi semakin teruk. Saya tidak suka berada dalam kawasan yang terkurung dan tertutup. Sukar bagi saya berada dalam bilik air yang tertutup. Keluar dari bilik air dengan segera merupakan satu kelegaan. Saya lebih suka berada di luar rumah. Waktu tengahari saya keluar duduk di pondok wakaf di depan rumah. Bila menjelang malam, saya tidak suka tingkap dan pintu ditutup. Saya juga tidak sanggup tidur dalam keadaan gelap. Saya tidak berupaya untuk melelapkan mata pada waktu malam sehingga adik saya Hafeez membaca ayat 128 dan 129 Surah At Taubah. Adik membaca ayat ini berulang-ulang di tepi saya sehingga saya boleh tidur.
Ada gangguan
Yan, adik kepada adik ipar saya, Maziah datang ke Taman Sopiah. Yan mempunyai kelebihan dapat mengesan sekiranya ada gangguan makhluk halus. Akan tetapi Yan tidak boleh berubat, beliau hanya dapat merasakan kehadiran makhluk halus pada saya.
Pada masa itu saya tidak dapat berfikir dengan jelas. Perasaan pelik ini sangat menguasai saya. Saya seorang yang berfikiran moden dan tidak pandai dengan urusan rawatan alternatif. Tetapi saya sedar agak tidak logik untuk saya mendapatkan rawatan di hospital.
Pusat Rawatan Nur Zikir Alor Setar
Maziah, adik ipar saya mencadangkan saya menjalani rawatan ruqyah di Pusat Rawatan Nur Zikir, di mana beliau mendapat maklumat mengenai pusat rawatan ini di facebook. Saya tidak mahu mendapatkan rawatan. Saya tidak mampu untuk melangkah ke pusat rawatan berkenaan sendirian. Saya mula menangis atas alasan tidak mahu dirawat. Anak saudara saya, Nana terkejut melihat Mak Long menangis. Nana yang berusia 6 tahun pada masa itu bertanya Mak Long, "Mak Long ni takut nak jumpa doktor ka?" Pertanyaan yang agak lucu dari kanak-kanak yang selalu menangis bila hendak ke klinik dengan alasan beliau hanya mahu berjumpa doktor wanita. Nana berpendapat Mak Long menangis atas isu yang sama dengannya.
Saya akhirnya dibawa ke pusat rawatan oleh adik saya, Hafeez dan Maziah. Sepanjang perjalanan saya menangis. Perasaan risau dan tidak tenang menguasai diri. Saya diruqyahkan oleh Ustaz Amin yang masih muda dan sangat baik orangnya. Ustaz Amin sangat tenang bila merawat saya dan beliau mengesahkan memang wujud gangguan jin pada saya.
Rawatan berterusan
Emak terkejut bila saya disahkan terkena gangguan jin. Dalam keadaan saya yang tidak tenang emak sempat mengusik saya, "Pinggang pun tak ramping depa ( jin ) berkenan jugak na." Sambil tersenyum saya menjawab pada emak, "Mungkin depa berkenan sebab baik hati." Walaupun emak cuba memujuk saya dengan kata-kata lucu, sebenarnya saya masih rasa tidak tenang, risau dan rasa takut yang saya sendiri tidak faham mengapa.
Hidup terpaksa diteruskan juga, saya masih perlu bekerja dan pergi ke kedai. Di pejabat saya tidak berupaya tinggal keseorangan dalam pejabat. Saya tidak tenang bermesyuarat dalam bilik bertutup rapat dan tingkap yang ditutupi dengan "blind" (bidai tingkap). Semasa tempoh gangguan berkenaan, saya perlu menyertai lawatan ke Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang. Dengan hati yang berat, saya gagahkan diri untuk sertai program yang telah dirancang lebih awal. Terima kasih kepada Zairi Husni yang setia menemani Kak Aida semasa menginap di hotel. Beliau yang memahami keadaan saya, tidak meninggalkan saya langsung pada waktu malam.
Rawatan ruqyah berterusan setiap hari mulai hari isnin sehingga khamis setiap minggu. Rawatan dilaksanakan secara berterusan disebabkan Ustaz perlu mengesan sama ada gangguan saya disebabkan oleh saka, sihir atau gangguan makhluk halus.
Sokongan keluarga dan sahabat
Semasa tempoh saya terkena gangguan, adik saya Hafeez bekerja di Selangor dan hanya balik ke Alor Setar setiap hujung minggu. Uwais dan Umar, anak saudara saya adalah lelaki yang ada di dalam rumah. Gambar di atas menunjukkan Uwais, pada masa itu berusia 12 tahun, sedang gigih membaca surah Yaseen dan membuat air Yaseen untuk Mak Long minum. Uwais dan Umar juga membantu memagar rumah dengan bacaan ayat Al Quran serta melempar lada hitam dan garam kasar di setiap penjuru rumah. Terima kasih pada SRIDA (Sekolah Rendah Islam Darul Aman) yang berjaya melahirkan generasi celik Al Quran.
Sahabat yang ada juga sering menemani saya semasa rawatan ruqyah. Terima kasih atas budi baik Ton, Mazni, Shikin dan semua sahabat yang turut membantu.
Gambar dibawah Uwais yang comel sedang terbaring keletihan selepas membaca surah Yaseen. Terima kasih Uwais kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan amat baik. 🥰
Bersambung...
Comments
Post a Comment