Setelah menghadiri beberapa siri Kursus Asas Haji semenjak bulan Oktober 2024 di Masjid Al Bukhary, Alor Setar…
Pada tanggal 16 DISEMBER 2024, terima mesej begini melalui sms:
Tuan/Puan TERPILIH tunai haji pada musim haji 1446H/2025M. Sila layari laman web THIJARI untuk jawab tunai haji.
Perasaan bercampur – baur bila menerima tawaran haji, gembira dan bimbang sama banyak. Tabung Haji (TH) hanya memberi tempoh sebulan untuk menjawab sama ada menerima atau tidak tawaran berkenaan.
Maka bermulalah episod baru dalam hidup yang penuh dengan dugaan dan ujian. Ada sahabat beritahu ujian haji selalu ada dari sebelum sehingga selepas mengerjakan haji. Sabar amat penting katanya. Tempoh memberi jawapan untuk menerima tawaran haji adalah sebelum 15 Januari 2024. Dalam tempoh sebulan ada dua masalah utama iaitu lulus pemeriksaan kesihatan dan duit mencukupi dalam akaun Tabung Haji sebanyak RM23,500.
Baki akaun Tabung Haji saya pada waktu itu hanya ada sejumlah RM4,500, secara logiknya saya memang tidak mampu untuk cukupkan RM23,500 dalam tempoh sebulan. Dalam hati berkata, saya mungkin terpaksa menolak tawaran haji sebab tidak dapat berfikir cara untuk dapatkan sejumlah wang seperti yang ditetapkan oleh pihak TH. Hasrat menolak tawaran diberitahu pada adik saya, Hafeez.
Nampak jelas di wajahnya seolah – olah tidak bersetuju dengan keputusan kakak. Sambil mencongak dalam fikiran, mampukah saya untuk cukupkan jumlah RM23,500 dalam masa terdekat. Dalam hati berkata Allah yang menjemput saya ke Mekah menjadi tetamuNya, jadi saya kena usahakan juga!
Berita tawaran haji dikongsi bersama kawan – kawan terdekat. Tiba – tiba teringat pesan sahabat dari zaman sekolah Shereena (Cien), beliau berpesan semenjak dari saya mula menghadiri kursus haji. “Hang nanti bila dapat tawaran haji, hang habaq kat aku.” Cien seorang “cancer fighter” pada tempoh ini dan agak mustahil untuk kami berjumpa seperti selalu. Berita tawaran haji disampaikan pada Cien dan sekaligus memberitahu beliau hasrat saya untuk menolak tawaran haji berkenaan.
Cien yang memang terkenal dengan sifat tegas, dengan nada keras terus berkata, “Hang tau dak berapa ramai yang dok tunggu nak pi haji tapi tak dapat lagi. Hang pulak yang dapat pi mudah saja hang nak tolak. Lepaih tu bila pulak hang nak pi?” Alamak, garangnya Cien. Akan tetapi betul juga apa yang Cien cakap. Tiba-tiba Cien terus masukkan sejumlah RM5,000 dalam akaun saya. Saya yang amat terkejut terus menghubungi Cien dan bertanya, “Awat yang hang tiba-tiba bagi kat aku sampai 5K. Banyak tu.” Cien kata “Aku mau hang pi buat haji, aku dah bagi dah sikit, hang pi cari lagi, hang juai la handbag atau emas yang ada.” “Tapi Cien awai sangat ni hang bagi.” Cien cakap, “Aku takut aku mati dulu tak dan hang nak pi Mekah.” Pada masa ini airmata tidak dapat ditahan lagi, hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga dengan perasaan yang terharu yang teramat sangat atas budi baik Cien.
Episod seterusnya adalah proses saringan kesihatan sebelum menunaikan haji. Pemeriksaan kesihatan saya bermula di klinik swasta, tapi hasil keputusan yang tidak berapa memuaskan menyebabkan saya terpaksa dirujuk kepada doktor pakar di Klinik Kesihatan Kerajaan. Maka bermulalah sebulan yang penuh dengan masalah dan rintangan. Hidup seakan bersahabat rapat dengan jarum, diet yang ketat, penimbang berat badan, alat tekanan darah dan macam-macam yang buatkan saya hampir putus asa. Dengan perasaan hampir putus asa, saya beritahu pada doktor di Klinik Kesihatan, “Doktor kalau dah susah sangat nak bagi saya lulus saringan kesihatan, tak payah bagi saya pi.” Doktor berbangsa Cina, Doktor Chan bertanya, “Kalau you tolak bila pulak you boleh pi?“ Terkesan dengan teguran doktor berjaya mendiamkan saya. Doktor Chan berkata, “Kita usahakan sampai boleh lepas saringan kesihatan!” Agak malu dengan teguran doktor yang bukan Islam, saya usahakan juga dalam tempoh sebulan untuk melepasi saringan kesihatan. Dalam hati terdetik, “Cara macam ini nak pi buat haji atau nak masuk Ironman Triathlon. “
Dipendekkan cerita sebelum 15 Januari 2025, wang dalam akaun TH telah berjaya dikumpulkan sebanyak RM24,000. Wang terkumpul dengan bayaran Ganjaran Cuti Rehat, KWSP untuk Jemaah Haji, dari perniagaan, sumbangan dan lain-lain. Semua rezeki yang diperolehi adalah daripada Allah Taala. Pemeriksaan kesihatan juga berjaya walaupun bertanda merah dengan perkataan HIGH RISK dalam My Sejahtera.
Alhamdulillah. Syukur atas kurniaan Allah Taala. Memang benar Allah akan memampukan hambaNya yang dijemput ke Baitullah.
Mereka yang dipanggil ke Baitullah bukan selalu yang paling sempurna ibadahnya, tapi mungkin yang paling teguh di tengah luka dan doa yang tidak putus. Mungkin saya termasuk dalam golongan ini. Wallahualam.
Maka bermulalah persiapan untuk perjalanan haji solo saya.
…sambungan PART 2
Comments
Post a Comment