Skip to main content

CATATAN PERJALANAN HAJI 1446H/2025M - PART 2

PART 2
Selesai debaran menunggu kelulusan saringan kesihatan dan dana yang mencukupi untuk menunaikan haji, debaran seterusnya merupakan persiapan barang-barang, ubat-ubatan termasuk persiapan mental dan fizikal serta pengetahuan tentang ibadah mengerjakan haji. Sebagai bakal jemaah haji yang bakal berangkat seorang diri, saya merasakan saya amat perlu membuat persiapan rapi supaya tidak menyusahkan jemaah yang lain semasa berada di tanah suci nanti.

Saya cuba sedaya upaya untuk sentiasa menghadiri Kursus Asas Haji dan seperti biasa saya hanya mendengar dalam kelas tanpa membuat sebarang catatan. Bila memandang kiri dan kanan semua bakal jemaah asyik menulis nota di buku masing-masing. Tertanya juga pada diri, kenapa masih malas membuat sebarang catatan?  Hakikatnya, diri ini amat jarang membaca balik apa yang dicatat jadi saya sentiasa mendengar dengan penuh tumpuan ketika dalam kelas berkenaan.

Hampir semua barang-barang keperluan mengerjakan haji saya membeli melalui aplikasi Tik Tok. Dalam keadaan masih bekerja saya tidak mampu untuk keluar membeli di kedai. Terima kasih untuk aplikasi Tik Tok yang menyelamatkan masa saya!

Saya membuat rujukan melalui facebook dan buku tentang perjalanan haji Muassasah untuk mendapatkan maklumat mengenai keperluan barang-barang haji. Hati agak berdebar-debar bila membaca tentang pengalaman haji jemaah lain semasa di Arafah dan Mina. Tetapi saya hanya mampu berdoa pada Allah supaya diberikan kemudahan dan kelapangan semasa mengerjakan ibadah haji nanti memandangkan saya bakal menempuhi perjalanan haji seorang diri.

10 MAC 2025
Saya menerima tarikh untuk mengerjakan haji iaitu pada 8 MEI 2025. Saya akan bertolak dari Alor Setar ke Madinah. Tempoh berada di tanah suci adalah selama 48 hari. Saya bersyukur atas segala kurniaan Allah Taala dan hati ini sentiasa berdoa supaya diberikan rakan-rakan sebilik yang baik dan kesihatan yang baik sepanjang tempoh berada di tanah suci sehingga kembali ke tanahair.

Pada hari yang sama saya maklumkan pada Shereena (Cien) yang saya sudah menerima tarikh penerbangan ke tanah suci. Tapi pada saat itu Cien semakin lemah apabila penyakit kanser yang dihidapi semakin merebak. Cien hanya membalas dengan emoji “Alhamdulillah” dan ayat ini yang tidak dapat saya lupakan seumur hidup. “Tolong doa kat aku na. Mintak khusnul khotimah kat aku.” Hati dan fikiran agak terganggu bila mendapat tahu keadaan kesihatan Cien yang semakin merosot dari sahabat Limited Edition (sahabat dari tadi tadika, sekolah rendah hingga ke sekolah menengah). Tapi apakan daya, kadang kala apa yang kita pinta tidak kita perolehi, yang hadir bukan pula yang diharapkan. Namun di sebalik segala rahsia takdir, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

28 MAC 2025 
Cien telah kembali ke rahmatullah. InnalillahiwainnailahIrojioun.
Saya menjangkakan dengan sumbangan wang sebanyak RM5,000 dari Cien, saya boleh menghantar mesej dari Mekah untuk Cien sebegini. “Cien, aku dah sampai Mekah. Aku terhutang budi sangat kat hang pasai marah aku dulu masa aku nak tolak tawaran haji. Terima kasih banyak-banyak, aku akan sentiasa doakan hang, tak lupa kat hang.”

Saya sangat sedih dengan kehilangan seorang sahabat baik tapi jodoh, rezeki dan ajal maut adalah rahsia Allah. Cien yang berpengalaman menunaikan ibadah haji adalah sahabat yang memberitahu ujian Allah akan ada sebelum menunaikan haji, semasa dan selepas menunaikan haji. Cien berkata, “Bukan senang nak dapat syurga, kena sabaq, kena redha”.Tiba-tiba teringat lagi kata-kata Cien, “Kita jumpa lagi nanti di syurga.”
Menjelang hari bertolak ke Madinah…

…sambungan kisah seterusnya di Part 3.


BELASUNGKAWA

Salam takziah buat keluarga arwah Sharifah Shereena binti Syed Sheh. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, mengampuni segala dosa dan menempatkannya bersama orang-orang beriman. Sama-sama kita hadiahkan Al Fatihah untuk arwah.
AL FATIHAH

Comments