Skip to main content

CATATAN PERJALANAN HAJI 1446H/2025M - PART 3

CATATAN PERJALANAN HAJI 1446H/2025M 
PART 3

Hari yang dinanti akhirnya tiba, saya bertolak ke Madinah pada 8 Mei 2025. Saya mula bercuti untuk menunaikan haji pada hari saya bertolak ke Madinah. Pada pagi itu, saya masih belum selesai mengemas pakaian dan barang-barang keperluan untuk dibawa ke tanah suci. Saya perlu menyelesaikan semua urusan barang-barang yang perlu dibawa dengan segera memandangkan ramai tetamu yang datang ke rumah.

Adik saya, Hafeez dan Maziah mengadakan sedikit kenduri kesyukuran bagi meraikan saya berangkat ke tanah suci. Saya merasakan siapalah yang akan hadir untuk meraikan saya yang seorang diri ini, tetapi ramai saudara, jiran dan sahabat handai yang hadir pada hari berkenaan. Saya selesai mengemas beg selepas waktu zohor setelah sahabat baik saya, Ruhil dan Syafariza datang membantu (lebih tepat berleter). Ruhil seorang yang amat efisien mula berleter pada saya bila saya baru menulis nama pada beg pada hari bertolak. Ruhil bertanya dengan nada tegas, “Baru nak buat semua hari ni termasuk tulis nama pada beg. Bukan ka TH dah habaq lama dah bila tarikh bertolak!” Saya hanya ketawa mendengar leteran beliau. Tetapi sahabat yang tegas dan garang ini semua adalah bekas pengawas semasa bersekolah di Sekolah Menengah Sultanah Asma termasuk arwah Shereena (Cien). 

Saya bertolak ke Raia Hotel&Convention Centre Alor Setar pada pukul 6 petang, ramai sanak saudara dan sahabat berada di rumah sebelum saya menaiki kenderaan. Setelah Hafeez melaungkan azan, saya bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar dengan dihantar oleh adik saya, Hafeez dan Maziah, turut serta Afeeqah dan Nana. Hati saya gembira tetapi bercampur dengan rasa sedih sambil berdoa semoga saya dipanjangkan umur dan dapat kembali ke tanahair dengan selamat.

Semasa tiba di Hotel Raia yang berdekatan dengan lapangan terbang, lautan manusia dan kenderaan memenuhi jalanraya, ruang meletak kenderaan dan ruang lobi, saya hanya meminta adik saya menurunkan saya di Hotel Raia tetapi tidak perlu menunggu sehingga saya selesai urusan pendaftaran dan dibawa ke lapangan terbang. Walaupun saya tidak menangis, tapi jelas di wajah kesedihan saya. Hafeez memeluk saya dan berkata, “Kakak jangan sedih sebab kakak nak berjumpa Rasulullah, nak ke bumi Madinah yang ada barokah.” Saya hanya mengangguk tanpa sepatah kata.

Kemudian dengan termangu-mangu sendirian, saya mencari tempat dan ruang untuk pendaftaran. Dengan mengheret dua beg yang berat, saya terus menghala ke tempat bakal jemaah haji berkumpul tetapi sebaik saja saya melangkah ke pintu masuk, ada suara kuat menengking saya. Saya terkejut dan langkah saya terhenti, rupanya saya telah dimarahi oleh anggota RELA kerana telah masuk tanpa menunggu giliran. Sebenarnya saya tidak faham prosedur yang di atur dan tidak diberikan sebarang arahan atau maklumat. Dalam hati berbisik, “Ujian pertama! Cepatnya saya dah diuji.” Tapi saya hanya berdiam diri dan menunggu di muka pintu Hotel Raia sambil memerhati prosedur yang ditetapkan sambil bertanya kepada jemaah-jemaah lain.

Setelah selesai urusan pendaftaran dan taklimat ringkas di Hotel Raia, semua jemaah dibawa menaiki bas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Pengurusan beg jemaah diuruskan dengan cekap oleh petugas Tahung Haji (TH) dan anggota RELA. Saya amat memuji kelancaran pengurusan beg walaupun jemaah ramai dan bermacam karenah.

Kami semua menaiki kapalterbang ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Apabila kami tiba di KLIA semua jemaah dikumpulkan pada satu tempat dalam kumpulan mengikut penerbangan. Saya termasuk dalam kumpulan KT031. Pada malam itu, kami semua bertolak ke Madinah. Sebagai jemaah haji yang pergi ke tanah suci bersendirian, saya cuba sedaya upaya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh TH dan pihak penerbangan. Saya memastikan ubat-ubatan diletakkan bersama saya termasuk surat pengesahan ubatan dari doktor. “Power bank” dan kipas bateri perlu diletakkan dalam beg tangan yang dibawa bukan di dalam “handcarry bag”. Pematuhan ini sangat penting supaya saya tidak menghadapi masalah dengan “cabin crew” semasa penerbangan.

MADINAH Al MUNAWWARAH

Kami tiba di Madinah keesokan harinya. Para jemaah disambut dengan meriah dan diberi pelbagai buah tangan sebaik sahaja tiba di Prince Mohammad bin Abdulaziz International Airport  Madinah. Sebaik sahaja melangkah keluar dari airport hawa panas menerpa ke muka saya. Kami semua telah sedia maklum bahawa musim haji kali ini ketika musim panas dan telah bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi segala cabaran. Sesungguhnya Allah bersama kita (Surah At Taubah, 40). Dalam susah atau senang, Dia Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala isi hati kita.

…sambungan PART 4

Comments