Skip to main content

Gangguan... Dari Bahagian 1

GANGGUAN


....sambungan dari bahagian 1

Walaupun sesi ruqyah berterusan setiap petang Isnin sehingga Khamis selepas waktu pejabat, saya masih lagi mempunyai perasaan pelik pada diri yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sifat asal saya yang berani, boleh tinggal seorang diri di rumah atau di mana-mana, boleh tidur dalam keadaan gelap, sentiasa tenang dan  berdikari hilang entah ke mana. 

Paling saya tidak selesa apabila mendengar azan dan khutbah Jumaat berkumandang dari Masjid Aman berdekatan rumah. Azan terasa amat membingitkan telinga dan mengganggu emosi saya.

Setiap pagi jumaat, di Dewan Ukir Mall, berdekatan kedai saya ada ceramah agama yg dihadiri oleh para tahfiz dan ustaz. Saya sangat gelisah bila memandang kumpulan anak-anak tahfiz dan ustaz. Pada hal mereka tidak mengganggu saya.

Setiap malam, saya sukar melelapkan mata. Sekira tertidur saya akan mengalami mimpi yang pelik yang membuatkan saya terjaga kembali.

Masalah ini saya ceritakan pada Ustaz Amin semasa sesi ruqyah. Ustaz Amin menjelaskan sebenarnya gangguan saya ini hanyalah "menumpang" dan tiada unsur saka atau sihir. Ustaz juga beritahu sesi rukyah hanya membantu saya dalam 20% sahaja, 80% lagi memerlukan kekuatan dalaman saya untuk melawan rasa takut, tidak tenang dan gangguan emosi seperti resah dan bimbang.

Memperkukuhkan benteng diri

Jasmani

Saya terfikir juga mungkinkah saya terkena penyakit "anxiety" yang sering digembar-gemburkan dewasa ini. Tapi kenapa pula tiba-tiba "anxiety" wujud tanpa punca. 

Saya membuat banyak pembacaan mengenai "anxiety" dan cara mengatasinya. Hasil pembacaan saya dapati tubuh manusia dapat mengeluarkan hormon gembira iaitu dopamin, endorfin, serotonin dan oksitosin. Saya hanya perlu merangsang pengeluaran hormon ini.

Setiap pagi selepas subuh, saya melakukan "briskwalk" di kawasan Taman Sopiah. Walaupun hanya sekejap sebab saya perlu bergegas ke pejabat pula, sekurang-kurangnya "briskwalk" ini dapat memberi kesan terhadap pengeluaran hormon gembira saya.

Saya juga mula mengambil probiotik untuk keseimbangan sistem penghadaman. Probiotik berfungsi untuk menyokong kesihatan mental, meningkatkan tahap hormon gembira dan mengurangkan kebimbangan.

Rohani

Dari segi spiritual, saya membuat keputusan, pilihan yang saya ada hanyalah meminta dan berdoa pada Allah secara sabar dan solat disamping membina semula kekuatan rohani. Inilah cara yang terbaik yang mampu saya buat.

Walaupun saya masih bermasalah untuk tidur setiap malam. Bila tidak dapat tidur nyenyak dan selalu terjaga tiba-tiba, saya tidak memaksa diri saya untuk tidur lagi. Saya bangun untuk solat malam. Solat taubat, tahajud dan witir menjadi rutin. Saya juga tidak meninggalkan doa untuk masalah susah tidur.


Setiap pagi saya membaca surah Yaseen. Setiap hari selepas subuh dan sebelum maghrib saya mengamal surah Al Baqarah seperti ayat berikut :
Ayat 1 - 5 (permulaan surah)
Ayat 255 (Ayat Al Kursi)
Ayat 284-286

Setiap pagi saya amalkan zikir "Bismillahillazi  la yadhuru ma'asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama'ie wa huas sami'un alim" sebanyak 41 kali. Kelebihan mengamalkan doa ini adalah perlindungan daripada segala bala, musibah dan kejahatan, sama ada dari segi fizikal atau gangguan makhluk halus. Doa ini juga dapat memudahkan urusan serta menjadi penawar kepada penyakit.

Kemudian disambung dengan bacaan "La illaha illallah wahdahu la syarika la lahul mulku walahul hamdu wahu wa'ala kulli shay in qadeer" sebanyak 100 kali.


Lama kelamaan, setelah hampir 4 bulan, perasaan pelik ini semakin berkurang. Sesi ruqyah masih diteruskan sehingga Ustaz Amin bertanya adakah saya masih rasa resah semasa ruqyah. Saya jawab tidak. Adakah semasa ruqyah, saya rasa pening, haba panas di muka atau anggota badan bergetar atau bergerak sendiri. Jawapan saya juga tiada.

Ustaz Amin mengesahkan saya sudah sembuh sepenuhnya dan perlu melaksanakan mandi "putus limau". Saya yang agak berfikiran moden pada mulanya agak sukar memahami tujuan mandi putus limau ini.

Putus Limau

Putus Limau selepas ruqyah menandakan sesi rawatan telah mencapai tahap pemutus gangguan di mana seseorang kembali tenang, ringan dan lebih kuat secara rohani. Putus Limau bukan sekadar rawatan fizikal tetapi simbol bebasnya diri dari beban gangguan.

Natijah

Walaupun saya merupakan seorang yang berfikiran moden serta agak tidak terikat dengan adat atau kepercayaan lama yang tidak lagi sesuai dengan zaman sekarang tetapi saya mengakui kewujudan makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Saya juga sering membaca tadabbur Surah Al Jin dan memahami bahawa jin dan manusia sama-sama memiliki kewajipan menyembah Allah (Surah Adz Dzariyat, 56). Tetapi sebagai manusia, kadang kala saya alpa tentang hal ini.

Saya juga sangat memahami amalan yang didasarkan pada hadis Nabi Muhammad SAW yang menyuruh anak-anak dan keluarga untuk berada di dalam rumah pada waktu Maghrib kerana waktu itu syaitan keluar berkeliaran. Tetapi kesibukan tentang urusan kehidupan selalu menjadikan manusia lalai.

Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi untuk melaksanakan amanah  Allah dengan sebaik-baiknya. Tetapi syaitan tidak akan berputus asa untuk menghasut manusia supaya tidak taat pada arahan Allah.

Comments