Skip to main content

PESAN EMAK : JANGAN TINGGAL TAHAJUD


"Mak, Fiza tengok dalam youtube, Dato' Rizalman tu kan, hari-hari dia bangun awal pagi solat tahajud. Patut la dia berniaga maju, boleh banyak bersedekah, doa dia Allah makbul." Emak terus memandang wajah saya sambil berkata, "Hafiza pun bangun awal pagi jugak kan, tapi solat Isyak." 😅

Saya hanya tersenyum kelat bila mendengar kata-kata emak, memang benar saya agak kerap bangun awal pagi untuk menunaikan solat Isyak di hujung waktu. Begitulah sikap emak saya, teguran beliau kadang-kala sinis tapi ada kebenarannya. Semasa saya kembali tinggal di Taman Sopiah, saya tidur di dalam bilik emak bersama emak. Emak tidur di atas katil, saya tidur di tepi katil emak beralaskan "carpet" dan "toto". Mungkin tempat tidur saya kedengaran seperti tidak selesa tetapi tidur di sisi emak pada usia separuh abad adalah tempat tidur yang terbaik bagi saya. Setiap hari saya dapat bersembang dan mendengar emak bercerita. Umpama syurga yang diawalkan di dunia! Walaupun ada bilik untuk saya di Taman Sopiah, saya tetap memilih tidur di atas lantai di sisi katil emak. 

Setiap hari emak akan bangun pada pukul 4.30 pagi untuk solat dan membaca Al Quran. Emak akan bangun seawal pagi dan terus membuka lampu bilik tanpa menghiraukan saya yang masih tidur. Saya terfikir juga, emak sepatutnya pergi ke bilik air dulu tanpa membuka lampu bilik. Sempat juga saya tidur sedikit lagi dalam keadaan gelap. Tapi begitulah rutin setiap hari, saya pula akan menyambung tidur dengan lampu yang cerah serta alunan bacaan Al Quran oleh emak yang kedengaran sehingga azan Subuh.

Saya hanya bangun bila azan Subuh berkumandang. Sehinggalah saya terkena gangguan seperti yang saya cerita di sini sebelum ini, saya mula melazimi solat taubat, tahajud dan witir. Emak hanya memerhati segala perbuatan saya dan beliau memberitahu, saya juga boleh melaksanakan solat sunat wuduk, solat hajat, zikir dan membaca Al Quran setiap kali bangun di awal pagi. Pesan emak juga, solat sunat qobliah sebelum subuh jangan ditinggalkan. Kata emak, "Dua rakaat solat fajar ini lebih baik daripada dunia dan segala isinya."

Saya masih ingat pada bulan Julai 2023, bila kesihatan emak semakin merosot, saya terpaksa tinggalkan emak selama lima hari untuk menyertai Festival Sukan Majlis Sukan Negeri-negeri SeMalaysia (FESMAS) di Pulau Pinang. Emak agak keberatan untuk melepaskan saya pergi sebab emak risau kemungkinan beliau akan meninggal dunia semasa saya berada di Pulau Pinang. Emak juga berpesan pada saya, "Hafiza, walau berada di mana, jangan tinggalkan solat tahajud dan witir. Cuba usahakan untuk solat juga." Saya hanya akur dengan mengangguk perlahan. Hati terasa seperti menerima nasihat dan pesan yang amat mendalam bagi jiwa.

Solat tahajud hukumnya sunat muakkad iaitu solat sunat yang sangat digalakkan untuk kita lakukan. Saya pernah terbaca, solat sunat tanpa azan ini merupakan undangan dari Allah untuk hamba-hamba yang dikasihiNya. Saya pernah meminta emak untuk berdoa supaya Allah sentiasa mengundang saya untuk melaksanakan solat tahajud. Bagi saya, segala amalan dan perbuatan yang dilakukan oleh manusia semuanya atas keizinan Allah. Manusia diberi pilihan dan tanggungjawab sama ada untuk melakukan perbuatan baik atau buruk. Semoga Allah mengizinkan kita semua untuk melakukan banyak amalan kebaikan semasa di dunia ini.

Emak berpesan supaya jangan tinggalkan solat tahajud ini, tiga bulan sebelum emak meninggal dunia.  Selepas emak tiada, saya terasa sangat keseorangan dan tiada lagi "teman sebilik", teman bersembang dan bercerita setiap hari. Saya merasakan dunia bukan lagi tempat yang sesuai untuk saya apabila tanggungjawab untuk berbakti pada emak telah selesai. Setahun pertama emak tiada, saya masih kekal tidur di atas lantai di sisi katil emak yang kosong. Tiada lagi lampu bilik yang dinyalakan oleh emak setiap pagi. Setiap pagi dan malam saya hanya mampu memandang katil emak yang kosong dengan linangan airmata. Bukan tidak redha tetapi perasaan rindu sentiasa ada.

Pada setiap sepertiga malam,  saya merasakan waktu selepas solat tahajud merupakan waktu yang saya dapat bercakap, bercerita apa yang saya rasa, mengadu serta menangis pada Allah. Cara ini perlahan-lahan menyembuhkan jiwa saya. Benar pesan emak, jangan tinggal tahajud. Semoga Allah SWT mengizinkan saya untuk melaksanakan solat di sepertiga malam ini sehingga akhir hayat.


Tahajud malam, ubat jiwa
Pesan emak kekal di dada

Comments