Emak saya adalah seorang yang tegas dan garang tapi penyayang. Di sebalik garangnya emak, ada kasih sayangnya pada kami tiga beradik yang tidak pernah berhenti. Kami bertiga, masing-masing sering berlumba-lumba mengakui emak lebih menyayangi diri kami masing-masing. Saya mengatakan emak lebih sayang pada saya disebabkan saya anak perempuan tunggal. Hafeez dengan bangganya memberitahu semua orang, beliau adalah anak yang paling emak sayangi kerana dia anak yang baik, patuh dan taat. Hanif pula menggunakan kedudukannya sebagai anak bongsu untuk mengesahkan emak paling sayang pada beliau. Hakikatnya, emak bijak menunjukkan kasih sayang yang sama rata pada anak-anaknya sehinggakan kami semua merasakan diri masing-masing paling disayangi oleh emak.
Walau bagaimanapun, ketegasan emak tidak menghalang kami dari berperangai nakal dan seringkali menimbulkan rasa hairan dan pelik pada emak. Coretan saya ini mengisahkan antara perangai nakal yang kami tiga beradik lakukan semasa bersekolah rendah yang membuatkan emak merasa hairan atas keganjilan yang berlaku.
Tilam kekabu terkoyak
Tilam kekabu ialah tilam tradisional yang dibuat daripada gentian buah kekabu yang lembut, tahan lasak dan sejuk. Emak menggunakan tilam kekabu pada katil di bilik bawah rumah Taman Sopiah. Pada suatu hari, emak hendak menukar cadar pada tilam kekabu. Tapi alangkah terkejutnya emak bila melihat jahitan yang amat buruk pada tilam kekabu yang terkoyak. Emak berasa hairan sebab dalam pengetahuan emak, belum pernah emak menjahit dengan sangat buruk dan tidak kemas sebegitu. Setelah disiasat rupanya adik saya, Hanif telah bermain gunting di atas tilam dan tergunting kain tilam kekabu. Risau dan takut dimarahi emak, Hanif telah menjahit kain tilam yang terkoyak. Adik saya tidak pernah menjahit. Maka terhasil suatu jahitan yang amat buruk pada kain tilam kekabu yang terkoyak.
Sebiji pisang hilang di pokok
Pada suatu pagi, emak seperti biasa melihat pokok-pokok di sekitar halaman rumah. Tetapi bila emak melewati pokok pisang yang berbuah di belakang rumah, emak mendapati sebiji pisang yang agak masak telah hilang dari setandan pisang yang masih berada di pokok. Bila emak membelek cara pisang diambil emak merasakan pisang yang hilang bukan di makan oleh burung atau kelawar. Emak berasa hairan bagaimana pisang boleh hilang tapi bukan seperti dimakan oleh haiwan. Setelah emak bersuara tentang hal ini, baru adik saya Hafeez beritahu emak, beliau yang memanjat kerusi dan memetik pisang yang masak sebiji di pokok. Hafeez yang makan pisang tersebut bukannya burung atau kelawar. Memang benar telahan emak, pisang yang hilang bukan di makan oleh haiwan.
Ranting pokok bunga kertas patah
Suatu hari, emak sedang menyiram pokok-pokok di halaman rumah dan mendapati ranting pokok bunga kertas kesayangan emak telah kering dan daun-daun berguguran. Emak sangat hairan kenapa pokok yang sihat tiba-tiba kering dan hampir mati. Apabila emak membelek ranting yang hampir mati rupa-rupanya ranting tersebut telah patah dan disambung dengan "selofan tape". Rupanya adik saya, Hafeez telah bermain bola bersama kawan-kawannya dan ranting pokok bunga kertas emak telah patah akibat terkena bola. Bagi menyelamatkan diri dari kena marah, Hafeez telah menyambung ranting yang patah dengan menggunakan "selofan tape". Tetapi akhirnya ranting yang patah terus kering dan mati.
Memotong bulu di ibu jari kaki emak
Pada hari minggu selepas emak pulang dari pasar dan memasak, emak akan berehat sambil berbaring di bilik bawah. Ketika berehat emak menyuruh saya mencabut uban di kepala emak. Semasa saya sedang mencabut uban, emak telah tertidur. Mungkin emak keletihan setelah melakukan pelbagai urusan kerja rumah. Saya yang berasa bosan mencabut uban, tiba-tiba cuba memotong bulu di ibu jari kaki emak dengan menggunakan penyepit uban (tweezer). Tiba-tiba saya terkejut dan berbisik pada diri, "Eeeh, mudahnya terputus bulu di ibu jari kaki emak, syok jugak macam ni". Tanpa membuang masa saya terus menggunting semua bulu-bulu di kedua-dua ibu jari kaki emak. Emak terus tidur tanpa menyedari perbuatan saya. Saya hanya diam seolah-olah tiada apa yang berlaku bila emak terjaga dari tidur.
Setelah sekian lama baru saya mengaku yang saya pernah memotong bulu di kedua ibu jari kaki semasa emak sedang tidur. Emak berkata, "Mak dok heran bila masa yang mak potong bulu ibu jari kaki sampai habih, dok ingat macam mak tak pernah pun potong". Kasihan emak, kenakalan saya telah buatkan emak berasa hairan dan keliru.
Aiskrim berlubang
Pada suatu petang, emak dan adik saya, Hanif telah keluar membeli barang keperluan rumah di Superstore. Setelah pulang ke rumah, Hanif membantu emak membawa masuk barang-barang dan menyimpannya. Selesai mengemas, Hanif pun membuka sekotak aiskrim yang baru dibeli dan mendapati aiskrim itu telah berlubang di tengah seolah-olah telah dimakan. Hanif terus beritahu emak tentang aiskrim yang berlubang dan merancang untuk membawa aiskrim berlubang untuk ditukar di Superstore. Hanif mengesyaki mungkin aiskrim telah dimakan oleh pekerja Superstore.
Hafeez yang berada dalam bilik air terdengar kekecohan yang berlaku. Bila keluar dari bilik air, Hafeez beritahu dia yang makan aiskrim tersebut semasa emak dan Hanif sibuk membawa masuk barang-barang. Pantas sungguh Hafeez makan aiskrim. Saya dan Hanif tiba-tiba teringat kisah Goldilocks and the Three Bears. Kami menyamakan Hafeez dengan Goldilocks !
Coretan ini merupakan antara kenangan lucu semasa zaman kanak-kanak di mana emak, sebagai ibu tunggal bersusah-payah membesarkan kami tiga beradik dengan penuh ketegasan dan kasih sayang. Terima kasih emak ! Hanya doa yang mampu dititipkan buat arwah emak yang amat kami sayangi.
Comments
Post a Comment