Skip to main content

VAN PAK DIN, BAS JOHARI



Mentari pagi sinarnya merah
Bas sekolah tepat masanya
Jasa pemandu tak pernah lelah
Menjaga pelajar bagaikan keluarga

Mengimbau kenangan lalu sepanjang zaman persekolahan saya pada tahun 1970an sehingga 1980an di mana saya pergi ke sekolah menaiki bas sekolah. Saya hanya berpeluang di hantar ke sekolah oleh bapa semasa saya bersekolah tadika.

Seringkali disebut tentang peranan ibu bapa dan guru-guru yang membentuk kejayaan para pelajar. Bagi saya yang setiap hari menaiki bas ke sekolah selama 11 tahun, pemandu bas sekolah juga berperanan sebagai individu yang menyumbang kepada kejayaan saya hari ini.

Van Pak Din

Saya mula menaiki van Pak Din ke sekolah semasa saya Darjah 1. Van Pak Din menyerupai gambar di atas. Pak Din yang saya kenali adalah lelaki pertengahan umur yang memakai ketayap berwarna putih di kepala. Van sekolah Pak Din berwarna jingga dan bapa meminta saya mengingati nombor plat van iaitu KF 1631. Semenjak Darjah 1, saya sudah diajar untuk berdikari. Saya bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultanah Asma (SRKSA) yang lokasinya agak jauh dari rumah.

Pada hari pertama persekolahan, saya dihantar ke sekolah oleh bapa dan emak. Pada hari kedua persekolahan, saya mula menaiki van ke sekolah dengan membawa beg peti bercorak petak berwarna merah dan hitam. Uniform saya pinafor berwarna biru tua dan memakai kasut putih jenama Bata. Kedudukan SRK Sultanah Asma yang agak jauh di belakang kawasan bangunan Sekolah Menengah Sultanah Asma tidak mengizinkan van Pak Din menghantar pelajar sehingga berhampiran sekolah. Para pelajar diminta berjalan masuk ke sekolah rendah selepas turun dari van. Bapa membekalkan saya dengan baju hujan yang dibawa setiap hari untuk dipakai ketika berjalan masuk dan keluar dari sekolah ketika hari hujan. 

Walaupun bapa meninggal dunia semasa saya Darjah 2, saya kekal ke sekolah dengan van Pak Din sehingga saya Darjah 6.

Bas Johari

Semasa di Tingkatan 1, saya ke sekolah dengan menaiki bas yang dibawa oleh Johari. Johari seorang pemuda yang berumur 20an dan tinggal di kampung berhampiran Taman Sopiah. Walaupun orang lain memanggil Johari sebagai Abang Jo, saya yang pendiam dan pemalu jarang memanggil beliau Abang Jo.

Setiap hari bas akan sampai di rumah pada pukul 6.30 pagi. Emak akan pastikan saya siap sepenuhnya sebelum bas tiba. Saya telah dilatih supaya tidak tertinggal sebarang buku, semua keperluan sekolah serta wajib memastikan semua barang keperluan dibawa ke sekolah. Emak juga bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Tun Sharifah Rodziah dan beliau sangat tegas dalam isu tertinggal barang keperluan sekolah. Menyedari hal ini, saya jarang tertinggal barang keperluan sekolah sehingga  tamat sekolah dalam tahun 1989.

Bas Johari adalah satu-satunya bas yang saya boleh membaca buku tanpa rasa pening. Setiap pagi saya akan membaca buku di dalam bas sehingga sampai ke sekolah. Kadang-kala ketika hari-hari kritikal menjelang peperiksaan saya membaca buku di tepi jalan dengan diterangi lampu jalan sementara menunggu bas sekolah datang. Saya menjadi agak popular di kalangan penduduk Taman Sopiah sebagai anak Cikgu Bibah yang rajin belajar. Tetapi hakikatnya, saya hanya membaca buku pada waktu pagi sahaja. Pada waktu lain di rumah, selain dari menyelesaikan kerja sekolah, saya menonton pelbagai rancangan televisyen dari drama Jepun (Oshin), drama Brazil (Isaura), drama kantonis pada pukul 6 petang, pelbagai sitkom dan filem sehingga lewat malam.

Saya dilantik sebagai pengawas sekolah semasa Tingkatan 3. Tugas sebagai pengawas memerlukan saya berada di sekolah pada pukul 7 pagi terutama apabila giliran melaksanakan tugas "Morning Bike". Tugas "Morning Bike" adalah memastikan semua pelajar yang menaiki basikal ke sekolah menyusun basikal dengan sama, kemas dan teratur di kawasan meletak basikal. Pengawas bertugas perlu memastikan semua pelajar yang menaiki basikal mematuhi peraturan ini. Abang Jo menyelamatkan saya untuk sampai ke sekolah pada pukul 6.45 pagi. Jadual bas saya ditukar dan saya orang pertama menaiki bas dengan Abang Jo pada pukul 6.15 pagi. Setiap pagi, saya berjalan menunggu di tepi jalan berdekatan rumah Abang Jo. Emak akan temankan saya berjalan dan pastikan saya melintas jalanraya dengan selamat.

Semasa saya Tingkatan 5 pada tahun 1989, kerajaan mula menetapkan peraturan supaya semua bas sekolah di cat dengan warna kuning. Bas Johari yang berwarna biru ditukar menjadi warna kuning.

Pak Din dan Abang Jo, kedua-duanya telah meninggal dunia. Walaupun perkhidmatan bas sekolah berbayar pada waktu itu, tetapi Pak Din dan Abang Jo sangat mengambil berat tentang keselamatan pelajar dan memastikan semua pelajar sampai awal di sekolah setiap hari. Suasana dalam bas juga sentiasa mesra apabila Pak Din dan Abang Jo berceloteh sambil ketawa.

Saya sangat menyanjungi jasa Pak Din dan Abang Jo yang telah membawa dan menghantar saya ke sekolah setiap hari selama bertahun-tahun. Bagi saya mereka berdua adalah wira yang tidak didendangkan.

Al Fatihah buat mereka berdua yang telah berjasa, semoga roh mereka dicucuri rahmat, diampuni segala dosa dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman.

Comments