Skip to main content

GELANG DARI INDIA



Adik saya Hafeez baru pulang dari India setelah bertugas selama 2 minggu di sana. Beliau membawa pulang gelang dari India yang berwarna-warni sebagai buah tangan untuk Nana dan kanak-kanak perempuan yang ada dalam keluarga. Menurut Hafeez, gelang ini dibeli di Begum Bazaar di Hyderabad, India.

Gelang tangan berwarna-warna dari India ini telah menggamit memori semasa saya masih kecil. Emak pernah bercerita yang emak sangat suka saya memakai rantai leher, gelang tangan dan gelang kaki. Semasa saya kecil, mudah bagi emak untuk pakaikan semua barang kemas pada saya tanpa saya membantah. Tapi apabila saya semakin besar serta pandai bercakap, seringkali isu memakai barang kemas membuatkan muka saya  masam mencuka. Alasan saya pada emak, barang kemas yang dipakai terutamanya rantai leher membuatkan saya berasa gatal dan tidak selesa. Drama kelakuan menarik muka masam ini selalu berlaku semasa pagi hari raya atau ketika hendak menghadiri jemputan kenduri kahwin. Tetapi emak tidak peduli sama ada saya membantah atau tidak, beliau tetap memakaikan barang kemas pada saya. Emak sentiasa menggunakan kuasa veto sebagai seorang ibu ! 


Emak sangat meminati gelang berwarna-warni yang dipakai oleh wanita India. Semasa kecil, emak bercerita beliau pernah meminta Mak Tok belikan gelang warna-warni idaman emak. Emak berhasrat untuk memakai gelang tersebut dalam kuantiti yang banyak sama seperti wanita India memakainya. Tapi Mak Tok hanya membeli dua utas gelang sahaja untuk emak. Emak menerima saja gelang yang Mak Tok belikan walaupun dengan rasa tidak puas hati. 

Setelah emak mempunyai anak perempuan, emak berhasrat memakaikan gelang warna-warni idaman emak pada saya. Emak bercerita beliau dengan bersusah-payah meminta bapa berhentikan kereta semasa perayaan Thaipusam berdekatan Kuil Hindu di Jalan Stadium. Jalanraya ketika itu sesak dengan perarakan membawa 'kavadi', tetapi demi untuk membeli gelang berwarna-warni untuk anak perempuannya, emak sanggup berjalan jauh meredah kesesakan perarakan untuk membeli gelang untuk saya. Selesai membeli, emak dengan girangnya memakaikan gelang yang banyak di tangan saya. Saya tidak suka dan mula membantah. Saya tidak bersetuju untuk pakai gelang yang emak beli dengan alasan gelang itu hanya dipakai oleh orang India. 

Menginjak dewasa, saya semakin berminat menonton filem- filem Bollywood bersama emak. Budaya masyarakat India semakin dekat dengan diri. Emak yang memang sangat meminati filem-filem Bollywood tahun 1970an juga merakam video filem-filem yang popular. Antara filem yang saya tonton bersama emak ialah Yaadon Ki Baraat, Haati Mere Saathi, Sholay, Aa Gale Lag Jaa, Don, John Johnny Jonathan, Roti Kapadia Aur Makan, Bobby, Hare Rama Hare Krishna dan banyak lagi. Saya tidak mampu untuk mengingati semua tajuk filem yang ditonton tetapi lagu-lagu dari filem Bollywood kekal dalam ingatan terutama lagu-lagu yang popular.

Emak pernah berkata alunan muzik dan irama lagu Bollywood sangat menyentuh perasaan. Emak merasakan irama lagu-lagu ini membuatkan kita  seolah-olah berada di atas gunung, langit yang membiru terbentang luas, awan berarak perlahan, air terjun, anak sungai mengalir tenang dengan pemandangan yang indah. Saya berpendapat mungkin faktor keturunan membuatkan saya dan emak meminati dan menghayati lagu-lagu dan filem Bollywood.

Semasa saya berumur 20an, saya sangat meminati filem Kuch Kuch Hota Hai. Adik saya, Hafeez berasa hairan bagaimana saya boleh menonton filem yang pelakonnya (hero) berumur 32 tahun tetapi masih berlakon watak sebagai pelajar kolej (Shah Rukh Khan). Saya menonton filem ini berkali-kali dan sanggup menonton wayang ini seorang diri di Panggung Cathay.


Daripada anak kecil yang membantah untuk dipakaikan gelang tangan berwarni warni ala Bollywood, apabila dewasa, saya sangat mengimpikan untuk memakai baju pengantin seperti yang dipakai oleh Anjali Sharma (Kajol). Bagi saya baju dan perhiasan pengantin yang dipakai dalam filem Kuch Kuch Hota Hai sangat cantik dan saya mula berangan-angan untuk memakai pakaian yang sama. Tetapi angan-angan saya tidak menjadi kenyataan. Mungkin hasrat memakai baju pengantin umpama Anjali Sharma ini tidak akan kesampaian sampai bila-bila. 😂😂

Comments