Skip to main content

KELAS SRT (1985 hingga 1987) - Bahagian 1



Kelas SRT adalah satu-satunya kelas aliran SAINS RUMAHTANGGA (SRT) di Sekolah Menengah Sultanah Asma dengan pelajar seramai 27 orang. Saya adalah salah seorang pelajar di kelas berkenaan dan hubungan kami sebagai pelajar kelas SRT agak rapat setelah 3 tahun belajar bersama-sama sehingga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Tingkatan 1

Hari pertama memakai uniform pinafor berwarna biru muda dan kemeja putih. Saya bertemu semula sahabat-sahabat dari Sekolah Rendah Kebangsaan Sultanah Asma dalam kelas SRT dan sebahagian lagi pelajar adalah dari luar Alor Setar yang menginap di asrama.

Kelas SRT ini juga disebut sebagai Tingkatan 1 Seroja. Kelas 1 SRT ditempatkan di bangunan kayu lama yang hanya ada dua bilik darjah. Kelas SRT di bahagian depan dan bilik lukisan di bahagian belakang. Sahabat saya, Noorin Ashikin ada berkongsi gambar semasa kami mencuci kelas di Tingkatan 1. Saya tidak ingat lagi kenangan semasa kami mencuci kelas, sehingga Noorin tunjukkan gambar ini.


Guru kelas kami ialah Cikgu Wan Munirah. Beliau mengajar mata pelajaran Lukisan. Saya sangat suka pada Cikgu Wan Munirah bukan sahaja sebab beliau baik dan penyayang tetapi baju-baju dan scarf yang beliau pakai juga sangat cantik dan bergaya. 


Selain dari mata pelajaran biasa, pelajar aliran SRT ini diajar memasak dan menjahit. Saya sangat meminati dua pelajaran ini. Para pelajar dibahagikan pada dua kumpulan. Dua kumpulan ini akan bergilir-gilir masuk ke kelas masakan dan jahitan setiap minggu. Kelas masakan diajar oleh Cikgu Sham Taifah. Beliau sangat tegas, garang dan bersuara lantang ketika mengajar dalam kelas. Saya masih ingat Cikgu Sham pernah berkata beliau perlu bersuara lantang dan garang supaya para pelajar yang masuk ke kelas masakan dengan 10 jari, tidak keluar dengan 9 jari. Maksudnya beliau sangat menitikberatkan keselamatan para pelajar yang ketika itu berumur 13 tahun untuk memasak di dapur. Setiap kali menghadiri kelas masakan, satu kumpulan kecil memasak dianggotai oleh dua orang pelajar. Bermaksud satu unit/stesen dapur termasuk sinki dikendalikan oleh 2 orang pelajar. Saya memasak bersama Mastura Noorshahida sehingga Tingkatan 3.

Perkara pertama yang diajar ialah membuat buku resepi. Buku resepi dibuat sendiri dengan menggunakan buku kecil berkulit tebal, di kulit buku kami dikehendaki menghias dengan pelbagai gambar masakan. Bahagian tepi kanan muka surat, kertas dipotong untuk membuat klasifikasi masakan iaitu kek, biskut, batter, pastri, sayuran, telur dan sebagainya.

Setiap minggu ketika menghadiri kelas masakan, pada papan hitam di kelas masakan sudah tercatat menu dan resepi masakan yang akan dimasak pada hari berkenaan. Pelajar akan menyalin resepi di dalam buku resepi dan cikgu akan menerangkan kenapa dan untuk siapa menu masakan berkenaan. Menu makanan untuk orang yang sihat berbeza dengan orang yang sakit sebagai contoh. Kami pernah diajar cara membuat sup bebola ikan menggunakan isi ikan tenggiri sebagai menu untuk orang yang sakit.

Para pelajar SRT semasa di Tingkatan 1 telah diajar pelbagai jenis masakan. Kami diajar untuk membuat adunan "batter" iaitu tepung yang dibancuh untuk menggoreng pisang dan ubi. Kuih cara bergula atau berlauk juga merupakan adunan batter. Saya masih ingat dalam kekalutan dan gementar untuk membuat pisang goreng, ada sahabat yang telah tercelup jari dalam minyak panas untuk menggoreng pisang dan ubi. Tetapi setiap insiden yang berlaku kami rahsiakan dan selalunya berakhir dengan gelak ketawa sesama kami.

Kami juga diajar untuk membuat pastri dan ayat yang saya masih ingat ketika membuat pastri ialah "tepung, marjerin dan garam digaul dengan menggunakan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti". Pastri yang kami mula belajar ialah membuat "sardin roll". Pada waktu itu saya merasakan resepi sardin roll kami amat sedap. Kami juga diajar untuk membuat sandwich telur, saya masih ingat suara kuat Cikgu Sham menengking kami bila ada pelajar yang menyapu mentega di atas roti secara meletak roti di atas tapak tangan. "Cara itu salah!" ujar Cikgu Sham. Cara yang betul ialah menyapu mentega secara meletak roti di atas papan pemotong. Sehingga kini saya masih menyapu mentega pada roti mengikut cara yang Cikgu Sham ajarkan, mungkin terkejut dengan suara kuat dan nyaring cikgu semasa dalam kelas masakan.

Kami sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga, sedikit takut dan gementar semasa dalam kelas masakan. Cikgu Sham akan sentiasa membuat rondaan pada setiap stesen dapur yang kami gunakan untuk memasak. Stesen dapur mestilah sentiasa bersih, kemas, tiada lambakan bekas atau pinggan di dalam sinki. Semua peralatan,  permukaan meja dan dapur mesti dicuci serta dilap sambil kami memasak. Kami dilatih sebaik sahaja selesai memasak, stesen dapur mesti turut kemas dan bersih.

Kelas jahitan untuk pelajar Tingkatan 1 sangat menarik di mana kami diajar untuk mengendali mesin jahit. Kelas jahitan diajar oleh Cikgu Molly Tan. Pada umur 13 tahun saya sudah diajar nama-nama bahagian mesin jahit dan yang saya paling ingat ialah gelendong dan sekoci. Kami juga diwajibkan mempunyai bekas jahitan masing-masing dengan item yang wajib ada ialah gunting kain, pita ukur, penetas jahitan, kapur jahitan, jarum jahit, jarum peniti, gunting pemotong benang dan benang jahit. Kertas warna dan roda surih juga wajib ada dan digunakan untuk menanda pola pada kain. Kami menjahit apron dan 'cap' untuk menutup rambut yang digunakan semasa di dalam kelas masakan. Saya yang ketika itu berumur 13 tahun agak terkial-kial untuk menggunakan mesin jahit, banyak dibantu oleh emak untuk menyiapkan apron dan "cap" kepala dengan jahitan yang kemas.

Setahun berlalu, kami semua yang sentiasa riang gembira dan ceria dengan aktiviti persekolahan berpindah ke Tingkatan 2. Gambar di bawah merupakan gambar kami bersama Cikgu Sham Taifah semasa Tingkatan 2 di dalam kelas jahitan.

Comments