Skip to main content

KELAS SRT (1985 hingga 1987) - Bahagian 2



Tingkatan 2

Tingkatan 2 SRT ditempatkan di bilik jahitan yang bersebelahan dengan bilik masakan. Kami belajar dengan menggunakan meja jahitan yang besar yang disusun bentuk U. Satu meja muat diduduki oleh 4 hingga 5 orang pelajar. Guru kelas ialah Cikgu Shamtaifah, cikgu kelas masakan yang sentiasa buatkan kami gementar dan gugup.

Walaupun kelas berada di dalam bilik jahitan, pembelajaran diteruskan seperti biasa. Kelas kami dipenuhi dengan mesin jahit, sterika dan papan sterika. Tugasan jahitan semasa di Tingkatan 2 ialah menyiapkan sehelai "house coat". Kerja-kerja jahitan semakin mencabar termasuk diajar cara membuat lubang butang pada pakaian, menjahit poket, menjahit renda, cara menjahit butang baju dengan kemas dan teknik mencantum depan baju, renda bersama kolar. Kami diberi tempoh selama setahun untuk menyiapkan sehelai house coat. Contoh house coat yang menjadi tugasan kami seperti gambar di bawah.


Kelas masakan juga mengikut rutin mingguan yang biasa. Setelah setahun terbiasa dengan rutin kelas memasak, kami semakin cekap dan pandai membuat kerja di stesen dapur masing-masing walaupun kami masih berasa gementar apabila mendengar suara nyaring Cikgu Sham. Apa yang saya belajar di sekolah, saya akan memasak pula untuk emak di rumah. Menu pilihan untuk emak ialah kek cawan, kuih ketayap, kuih cara berlauk, puding roti dan ayam goreng ala KFC yang pernah Cikgu Sham ajarkan semasa berjualan di Hari Kantin Sekolah. Kelas kami, 2 SRT telah ditugaskan untuk menjual kek cawan dan ayam goreng ala KFC semasa Hari Kantin Sekolah, jadi proses menyediakan menu jualan ini dilakukan oleh para pelajar yang sudah biasa dengan aktiviti di kelas memasak.

Bagi remaja yang berumur 14 tahun, masa bersama kawan-kawan di sekolah adalah saat yang paling ceria serta dipenuhi dengan gelak ketawa. 

Semasa di Tingkatan 2, seorang pelajar baru masuk ke kelas kami. Beliau mengikuti ibunya berpindah ke Alor Setar. Sebelum berpindah, beliau bersekolah di SMK Assunta, Petaling Jaya dan mengambil aliran Sains Rumah Tangga. Pelajar ini ialah Sharifah Sheerena binti Syed Sheh yang kemudiannya menjadi sahabat baik saya. 

Shereena yang lebih mesra dengan panggilan Cien, sangat fasih berbahasa Inggeris, berani, berperawakan ceria dan santai. Pernah dibesarkan dan bersekolah di Petaling Jaya menjadikan Cien lebih berfikiran terbuka dan moden dari kami semua. Saya masih ingat kami pernah melakonkan satu persembahan drama muzikal di sekolah. Cien bertanggungjawab sebagai "choreographer". Kami yang tidak tinggal di asrama beramai-ramai ke rumah Cien di Jalan Menteri untuk menjalani latihan persembahan drama muzikal ini.

Persembahan muzikal ini berlatarbelakangkan lagu "Diana" nyanyian Paul Inka. Walaupun bersekolah semua perempuan, kami melakonkan drama muzikal dengan tarian konsep berpasangan lelaki dan wanita. Rupanya tarian berkonsepkan lelaki wanita ini telah menyebabkan ramai cikgu tidak berpuas hati dan beranggapan serong pada kami. Sedangkan kami yang berumur 14 tahun pada waktu itu hanya seronok membuat  persembahan bersama rakan-rakan tanpa memikirkan konsep tarian itu akan menjadi isu yang menjadi bualan cikgu-cikgu di sekolah.

Rombongan ke rumah Suzana Ahmad di Bukit Pinang


"Outing Day" dengan rombongan menaiki bas beramai-ramai ke rumah Suzana di Bukit Pinang. Kami yang menyertai rombongan ini adalah pelajar yang tidak tinggal di asrama. Kami berkumpul di hadapan Pasaraya Peladang berdekatan bangunan PKNK. Dari situ kami berjalan beramai-ramai ke Stesen Bas Baru. Disebabkan terlalu awal pagi tiada penumpang lain di dalam bas kecuali kumpulan kami. Konduktor bas sangat peramah semasa kami membayar harga tiket bas. Sahabat saya, Hamidah yang memang terkenal dengan sifat peramah cuba menawar tambang bas supaya lebih murah. Akhirnya kami semua berderai ketawa sebab tiada sejarah lagi harga  tiket bas ditawar semasa menaiki bas.

Sampai di Bukit Pinang, Suzana telah menunggu di tepi jalan besar. Saya masih ingat pada waktu itu lebuhraya sedang dalam pembinaan. Kami berjalan masuk ke rumah Suzana yang agak jauh dari jalan besar. Di sepanjang jalan kami tidak jemu-jemu mengambil gambar dengan pelbagai aksi.


Sampai di rumah Suzana, kami dapati halaman rumah beliau ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan dan pada masa yang sama sedang musim buah. Kami disajikan dengan buah rambutan, manggis, langsat dan dokong. Keluarga Suzana juga berbesar hati mengadakan jamuan makan tengahari untuk kami. Kami semua pulang ke rumah pada hari "outing day" itu dengan perut yang kenyang dan hati yang gembira.

Kenangan semasa di Tingkatan 2 boleh dikatakan suatu memori indah yang kekal di ingatan sehingga akhir hayat.

Tahun 1987

Tingkatan 3, berusia 15 tahun dan menjelang peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran Malaysia (SRP).

Comments