Skip to main content

KELAS SRT (1985 hingga 1987) - Bahagian 3


Tingkatan 3

Cikgu Tingkatan 3 SRT ialah Puan Jamsiah. Beliau cikgu yang mengajar mata pelajatan Jahitan. Orangnya kecil ("petite"), berperawakan lemah-lembut dan bercakap dengan nada perlahan. Tingkatan 3 SRT ditempatkan di Tingkat 2, bangunan lama Sekolah Menengah Sultanah Asma. Semua kelas Tingkatan 3 diletakkan pada satu paras bersama-sama aliran Perdagangan dan SRT.

Kelas 3 SRT telah berpindah dari bilik jahitan dan pelajar tidak lagi duduk beramai-ramai di meja jahitan yang besar. Kami duduk di meja yang disusun duduk berdua seperti kelas yang lain. Rakan di sebelah meja saya ialah Rahimah. Saya paling mengingati dan mengagumi rambut panjang lurus Rahimah yang diikat kemas setiap hari ke sekolah. Rahimah dan Siti Dasima kadangkala mengayuh basikal ke rumah saya untuk kami sama-sama menyiapkan kerja sekolah dan tugasan jahitan.


Saya tidak dapat mengingati siapa yang bertanggungjawab sebagai Ketua Tingkatan dan Penolong Ketua Tingkatan di antara Faizah dan Siti Dasima. Saya hanya meneka jawatan yang mereka sandang melalui kedudukan dalam gambar kelas 3 SRT yang diambil untuk majalah sekolah. Saya adalah Bendahari kelas 3 SRT pada masa itu. Tugas sebagai Bendahari ialah mengutip wang bulanan dari pelajar dan menyimpan wang terkumpul untuk kegunaan kelas apabila diperlukan. Saya tidak ingat lagi jumlah yang perlu dibayar oleh pelajar setiap bulan. Mungkin RM1 bagi seorang pelajar setiap bulan. Wang yang terkumpul digunakan untuk membeli keperluan kebersihan dan hiasan kelas serta dibelanjakan pada hujung tahun untuk membeli kek dan makanan untuk jamuan kelas.

Menang Kelas Terbersih bagi seluruh Tingkatan 3

Saya amat memuji kerjasama antara kami semua untuk menjaga kebersihan kelas. Kelas kami di bangunan sekolah yang lama mempunyai cermin-cermin yang besar sebagai dinding kelas. Kami bergilir-gilir menggilap cermin yang besar dengan menggunakan kertas suratkhabar dan cecair pencuci cermin yang saya beli menggunakan wang kelas. Cermin-cermin menjadi sangat bersih dan berkilat sehingga burung yang terbang pun keliru sama ada dinding bercermin atau tidak. Burung ciak yang sedang terbang pernah jatuh tergolek selepas terlanggar cermin kelas kami. Hasil kerja keras kami bertungkus- lumus menjaga kebersihan kelas, Kelas 3 SRT pernah menang beberapa minggu berturut-turut untuk kelas terbersih bagi Tingkatan 3.

Menyertai  Acara Perasmian MSSM di Stadium Darulaman, Alor Setar

Seluruh kelas Tingkatan 3 telah terpilih untuk menyertai persembahan semasa perasmian Sukan MSSM di Alor Setar pada tahun 1987. Beberapa sekolah telah terpilih untuk menyertai pertunjukan semasa acara perasmian. Para pelajar SM Sultanah Asma (SAS) terpilih untuk membuat tarian gimrama dengan menggunakan riben pink dan biru tua. Kami memakai seluar putih dan baju t-shirt berwarna putih. Latihan bersama sekolah yang lain diadakan di padang Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Kami semua berjalan kaki ke Kolej Sultan Abdul Hamid secara beratur berdua-dua. Jarak antara dua sekolah iaitu SAS dengan KSAH adalah 1.5 km. Walaupun terpaksa berjalan kaki pergi dan balik untuk menjalani latihan tarian gimrama untuk mendapat langkah yang seragam dan sama, bagi remaja berusia 15 tahun kami hanya bergelak ketawa, bersembang, bergosip di sepanjang jalan tanpa rasa letih.

Menjelang peperiksaan SRP : Sidang Merancang Masakan untuk peperiksaan amali masakan

Sidang Merancang Masakan merupakan sesi menjawab soalan peperiksaan untuk pilihan menu berdasarkan soalan situasi yang diberi untuk latihan amali masakan. Soalan adalah berbeza bagi setiap orang pelajar. Semasa sesi Sidang Merancang Masakan, para pelajar SRT dikuarantin di dalam kelas.  Pelajar lain yang bukan aliran SRT tidak dibenarkan lalu lalang di tepi kaki lima kelas. Di tangga laluan ke kelas juga diletakkan papan tanda "PEPERIKSAAN SEDANG DIJALANKAN"

Saya tiada memori langsung tentang sesi peperiksaan sidang merancang masakan ini. Berbanding sahabat saya Noorin, beliau dapat mengingati soalan yang beliau terima iaitu tentang beras pulut dan menu lauk yang sesuai dgn masakan pulut. Noorin telah memilih untuk memasak pulut kuning dan pesamah daging. 

Saya seumpama hilang ingatan tentang soalan yang saya terima semasa sidang merancang masakan dan menu pilihan saya. Noorin juga masih ingat para pelajar kelas lain aliran perdagangan berasa hairan dengan peperiksaan sidang merancang masakan ini. Mereka sibuk bertanya, "Hampa semua buat exam apa? Sidang merancang tu apa? Merancang keluarga ka?" Cikgu Sham hanya menjegilkan mata bila mendengar soalan yang bukan-bukan ini.

Tugasan Jahitan untuk SRP

Tugasan jahitan untuk Tingkatan 3 ialah menyiapkan sehelai skirt kembang paras bawah lutut. Kain skirt bercorak bentuk hati dengan warna pilihan "pink", biru dan putih. Kami diajar teknik untuk mencantum getah dan kain di bahagian pinggang skirt. 

Markah terkumpul untuk mata pelajaran SRT semasa peperiksaan SRP termasuk sidang merancang masakan, jahitan skirt, amali masakan dan ujian soalan objektif.

Peperiksaan SRP

Saya masih ingat lagi, Nurita, Rozana (ketika itu Rozana ialah pelajar St Nicholas Convent) dan saya menghadiri kelas tuisyen pada waktu malam, 4 hari seminggu di rumah Cikgu Fatimah di Lorong Air Putih, Seberang Perak. Kami semua dalam keadaan bersiap sedia dan bersemangat untuk menghadapi peperiksaan SRP. 

Kami semua menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran Malaysia pada hampir hujung tahun 1987.  Semua pelajar mempunyai harapan yang sama untuk berjaya dan melanjutkan pelajaran selaras dengan cita-cita masing-masing. Kami semua sedar selepas 3 tahun bersama dalam Kelas SRT, kami akan berpisah semasa di Tingkatan 4 mengikut pilihan aliran masing-masing.

Comments