Skip to main content

KELAS SRT - SETELAH 38 TAHUN BERLALU



Jutaan terima kasih buat sahabatku Noorin Ashikin yang sudi membantu mengimbas semula memori Kelas SRT dari tahun 1985 sehingga 1987. Sebenarnya banyak memori yang saya tidak ingat tetapi masih segar di ingatan Noorin.

Selepas tamat peperiksaan SRP pada tahun 1987, masing-masing menyambung belajar di kelas aliran sains, sains sosial dan akaun. Setelah 3 tahun bersama-sama belajar dalam kelas SRT, kami berpisah membawa haluan masing-masing.

Setelah tamat Tingkatan 5, selesai peperiksaan SPM pada tahun 1989, sebahagian daripada kami mulai putus hubungan serta tidak lagi berhubung antara satu sama lain. Mungkin keadaan dan masa tidak lagi mengizinkan bila masing-masing telah berkeluarga dan berkerjaya.

Saya masih menghubungi sahabat-sahabat lama setelah tamat pengajian di UUM tetapi kesibukan bekerja di firma audit menyukarkan saya untuk berjumpa dan menghubungi sahabat-sahabat yang sama-sama bersekolah dahulu.

Alumni SMSA/KBGS kali pertama di Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) tahun 1995

Sekolah Menengah Sultanah Asma (SMSA) dahulu dikenali sebagai Kampung Baru Girls School  (KBGS). KBGS mula didirikan sebagai sekolah rendah perempuan yang pertama di Alor Setar dalam tahun 1922. 

Hanya tiga orang bekas pelajar SRT yang menyertai majlis alumni ini. Dalam gambar tiga orang tersebut ialah  Noorin Ashikin, Fatin Suriah dan saya. 


Catatan kenangan

Rose Stewart

Pelajar dari Sabah yang sama-sama belajar di Alor Setar semasa di Tingkatan 1 SRT. Beliau bersama-sama Dayang Khursiah datang menuntut ilmu di Alor Setar. Walau bagaimanapun, Rose hanya bersama-sama kami belajar  sehingga tamat Tingkatan 2. Beliau menyambung persekolahan di Sabah kerana rindukan keluarga yang hanya dapat berjumpa setahun sekali. Menurut Dayang, Rose kini berada di Australia.

Nor Hawa

Saya teringat pada Nor Hawa apabila melihat gambar kelas 1 SRT yang ada beliau dalam gambar. Noorin masih ingat Nor Hawa hanya sempat belajar bersama-sama sehingga Tingkatan 1. Semasa Tingkatan 2, Nor Hawa telah berpindah ke Padang Rengas, Perak selepas ayahnya meninggal dunia.

Reunion kecil-kecilan

Saya telah membuat carian bagi perkataan ASMARIAN. Hasil carian saya :

ASMARIAN - a proud term to someone connected to SMK Sultanah Asma (often shortened to "Asma")

Saya agak kerap juga diajak  berjalan-jalan dan "reunion" dengan rakan-rakan Asmarian SPM 1989 walaupun ada di antara mereka bukan dari aliran SRT 1985 hingga 1987.

Kekerapan berjumpa membuatkan kami semua sentiasa berhubung antara satu sama lain dan merancang pelbagai aktiviti bersama-sama.

Semasa reunion di Pulau Langkawi pada tahun 2018, kami semua telah berkunjung ke rumah Rosmini Saad. Saya masih ingat semasa di Tingkatan 1 SRT, Rosmini adalah pelajar yang pemalu dan bercakap dengan perlahan tapi sangat lemah lembut orangnya. Peluang mengunjungi Rosmini di Langkawi selepas lebih 30 tahun membuatkan saya merasakan persahabatan dan silaturahim antara kami semua dapat dijalinkan kembali.


Tidak lupa juga pada Azie (Nazirah) yang berasal dari Sik yang sentiasa bergaya dan "vogue" tetapi baik orangnya. "Reunion" di Pulau Langkawi merupakan kali pertama saya berjumpa dengan Azie selepas meninggalkan persekolahan. Kelihatan dalam gambar Azie sangat bergaya dengan cermin mata hitamnya.


Semasa "reunion" bersama sahabat Asmarian di Perth, Australia. Saya berjumpa semula  dengan Zaimah setelah 30 tahun terpisah. Perbualan kami masih seperti biasa tanpa ada rasa kekok walaupun sekian lama tidak pernah berjumpa.


Dua orang sahabat dari kelas SRT yang telah meninggal dunia ialah Junaidah dan Sharifah Shereena (Cien). Arwah Junaidah telah meninggal dunia semasa  beliau berusia 30an. Arwah Cien meninggal dunia pada 28 Mac 2025. Semasa hayatnya, Cien sentiasa menghubungi saya apabila beliau pulang ke Alor Setar.

Gambar di bawah diambil semasa Rozerin, Mastura dan Huzanna melawat Cien yang sedang sakit di hospital. Cien pada masa itu yang sedang sakit agak teruk masih berupaya bergelak ketawa dengan sahabat SRT yang menziarahi beliau.


Ucapan terima kasih juga kepada Mariatul Hifthiah yang sering membawa saya berjumpa sahabat Asmarian terutama semasa tahap terendah dalam hidup saya. Berseorangan selepas kematian ibu lebih sakit daripada bersendirian tanpa suami. Berjumpa dan bersembang dengan sahabat-sahabat Asmarian sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesedihan saya pada masa itu.

"Group Limited Edition" merupakan sahabat SRT yang berada di dalam kumpulan applikasi whatsapp. Kami telah bersahabat semenjak tadika, sekolah rendah, kelas SRT dan masih berhubung sehingga kini. Lima sahabat ialah Rozerin, Najmeyah, Nuritahaliza, Faizah dan Mastura Noorshahida. Terima kasih kerana sentiasa bersama-sama di applikasi whatsapp saban hari. Walaupun jauh di mata tetapi kita sentiasa dekat di hati. Saya mengenali Najmeyah dan Nuritahaliza semenjak dari tadika St Thomas. Persahabatan kami bertiga telah terjalin selama 47 tahun. Alhamdulillah.

"Reunion" semasa perkahwinan anak sahabat SRT

Ucapan terima kasih sekali lagi kepada Mariatul Hifthiah kerana dengan jemputan beliau, kami semua telah berkumpul dan berjumpa semula selepas 38 tahun berlalu, di usia masing-masing 53 tahun. Gambar di atas sekali adalah sahabat kelas SRT yang menghadiri majlis iaitu Hamidah, Nor Hazaimah, Siti Dasima, Nazirah (Azie), Faizah dan saya. Kami bersembang dan bergelak ketawa sama seperti dahulu walaupun 38 tahun telah berlalu.

Turut sama menghadiri majlis juga adalah sahabat Asmarian yang dulu pernah belajar dalam pelbagai aliran. Berjumpa dengan sahabat Asmarian sentiasa membuatkan saya ceria dan teringat pada alam persekolahan yang lalu. Semoga persahabatan kita semua kekal sehingga ke syurga, walaupun pada satu masa nanti kita semua bakal berpisah bila meninggalkan dunia yang fana ini. Bak kata arwah Cien, "Kita jumpa lagi nanti di syurga".

Comments