Skip to main content

CATATAN PERJALANAN HAJI 1446H 2025M - PART 4


MADINAH - KOTA YANG BERCAHAYA


Hati berbunga-bunga apabila berada di Madinah. Madinah merupakan tempat yang sangat tenang, penuh rasa keinsafan dan kerinduan kepada Rasulullah SAW. Allah memilih Madinah sebagai tempat bersemadi jasad Rasululullah SAW. Masjid Al Nabawi atau Masjid Nabi adalah masjid kedua paling suci dalam Islam selepas Masjidil Haram di Mekah.

Jemaah haji bagi penerbangan KTO31 ditempatkan di Hotel Movenpick, Madinah. Saya menginap bersama 3 orang  jemaah wanita dan bilik hotel untuk 4 orang sebilik ini juga amat selesa. Rakan sebilik saya semua berasal dari Kedah. Para jemaah haji KT031 berada di Madinah selama 6 hari, bermula daripada 9 Mei hingga 14 Mei 2025.

Rutin di Madinah ialah solat berjemaah di Masjid Nabawi. Bagi saya solat berjemaah dan beriktikaf di dalam masjid adalah aktiviti yang paling menyeronokkan. Tetapi sekiranya lewat ke masjid pada hampir waktu solat, jemaah hanya boleh bersolat di perkarangan masjid apabila pintu masuk ke dalam Masjid Nabawi ditutup bagi mengelakkan jemaah terlalu ramai di dalam masjid.


Pintu 328 Masjid Nabawi


Pintu nostagia ini merupakan pintu masuk ke Masjid Nabawi dari Hotel Movenpick. Jarak dari hotel ke Masjid Nabawi adalah 50 meter. Saya menggunakan Pintu 328 setiap kali bersolat jemaah di Masjid Nabawi. Bersolat di Masjid Nabawi membuatkan fikiran saya teringat dan rindu pada arwah emak. Kunjungan saya ke Madinah kali ini sebagai jemaah haji merupakan jemputan Allah kali ketiga untuk saya.

Kenangan ibadah umrah bersama emak

Allah menjemput saya untuk menunaikan ibadah umrah kali pertama pada tahun 2009. Paling saya ingati ialah mengerjakan ibadah umrah kali kedua bersama emak pada tahun 2018. Emak ketika itu telah berusia 71 tahun pada mulanya enggan ke luar negara dengan alasan beliau takut meninggal dunia di luar negara dan menyusahkan anak-anak untuk menguruskan jenazah. Tetapi sampai saat akhir emak tiba-tiba bersuara, "Hafiza, emak rindu Baitullah". Mendengar hasrat emak saya terus bersetuju untuk menemani emak untuk mengerjakan ibadah umrah, walaupun pada masa itu hampir penghujung tahun dan proses penutupan akaun pejabat perlu dilaksanakan. Tambahan pula pada tempoh berkenaan pihak audit sedang berada di pejabat melaksanakan audit Indeks Akauntabiliti. Saya bercuti dan meninggalkan pejabat selama dua minggu demi menunaikan hasrat arwah emak.

Emak ketika itu sudah tidak kuat berjalan dan saya membawa emak untuk solat di Masjid Nabawi dengan menggunakan kerusi roda. Saya masih ingat emak menangis semasa mula menjejaki Masjid Nabawi dan emak meminta saya menolak kerusi roda beliau menghadap kubah hijau dari perkarangan masjid. Saya turuti semua kehendak emak, saya melihat emak menangis semasa mengucapkan, "Assalamualaika Ya Rasulullah". Emak berkata di usia yang lanjut sebegini, emak  tidak menyangka sama sekali Allah akan menjemput emak ke sini lagi. Dengan linangan airmata emak mengucapkan rasa syukur pada Allah.


Memori ini sentiasa menjelma di fikiran saya setiap kali saya solat di Masjid Nabawi. Airmata memang tidak mampu saya tahan. Hanya doa yang mampu saya titipkan buat arwah emak yang saya rindui.

Hari-hari di Madinah

Selain daripada solat di Masjid Nabawi, jemaah juga boleh minum air zam zam tanpa had. Tempat mengambil air zam zam  disediakan secara teratur di Masjid Nabawi. Setiap selesai waktu solat, ramai jemaah mengambil kesempatan untuk bersedekah kurma dan pelbagai makanan serta minuman.


Makanan yang disediakan oleh Tabung Haji bagi jemaah haji Muassassah ialah makan tengahari dan makan malam. Saya masih ingat, saya selalu sesat ketika mencari tempat  makan di dalam hotel. 

Sarapan pagi diuruskan sendiri oleh jemaah haji. Saya bertuah dikurniakan Allah rakan sebilik yang amat baik di Madinah. Jamaliah (Maliah), Kak Roslina dan Kak Sariah, kami bertiga berkongsi sarapan pagi dengan bekalan serunding yang kami sama-sama bawa dari  Malaysia serta membeli roti di pasaraya Ben Dawood yang terletak di paras bawah hotel. Paling tidak lupa ialah acar limau yang memang menjadi kegemaran saya, dibuat sendiri oleh Maliah yang menjadi pembuka selera kami setiap kali waktu makan tengahari dan malam.

Pihak Tabung Haji sentiasa mengadakan taklimat kepada jemaah haji terutama mengenai pergerakan jemaah haji dari Madinah ke Mekah. Jemaah KT031 akan bertolak ke Mekah dengan menaiki bas dan berniat ihram di miqat Bir Ali.

Situasi "bercuti" solat

Semasa tiga hari terakhir di Madinah saya "bercuti" dan tidak dapat menunaikan solat di Masjid Nabawi dan tidak dapat masuk ke Raudhah. Hati rasa tidak gembira tetapi saya tahu saya perlu redha dengan setiap kurniaan Allah pada saya. Apabila berada di Madinah tetapi tidak dapat masuk dan berdoa di dalam Raudhah, bagi saya itu adalah suatu kerugian.

Bagi mengelakkan kekeliruan semasa berniat umrah sebelum memasuki kota Mekah dalam keadaan "bercuti", saya mendapatkan khidmat nasihat daripada ustazah yang bertugas dengan Tabung Haji. Saya sempat menyuarakan kesedihan saya yang tidak dapat masuk ke Raudhah. Ustazah dengan nada lembut memujuk saya dengan mengatakan jika kita redha dengan segala yang Allah kurniakan, pahala yang diterima adalah sama dengan orang yang melaksanakan ibadah berkenaan.

Bertolak ke Mekah

Para jemaah haji dibawa ke Mekah dengan menaiki bas. Taklimat yang diberi oleh pihak Tabung Haji sangat membantu bagi melancarkan perjalanan dan menyiapkan diri untuk melaksanakan ibadah umrah. Saya menaiki bas sendirian dan apabila berada dalam bas saya dapati semua jemaah wanita duduk bersama pasangan masing-masing. Saya tercari-cari kerusi yang masih kosong dan hanya ada dua kerusi yang masih kosong untuk saya. Sebentar kemudian ada seorang jemaah wanita yang juga berseorangan bertanya bolehkah beliau duduk di sebelah saya. Pertama kali saya berjumpa dengan Kelesom, jemaah dari Perlis yang juga datang berseorangan. Som, panggilan mesra untuk beliau merupakan salah seorang rakan sebilik saya di Hotel Abraj Janariyah di Mekah.


Cara niat umrah dan berada dalam ihram bagi jemaah yang dalam keadaan haid

Pengalaman ini saya catatkan di sini untuk dikongsikan bersama semua pembaca.

Berniat ihram di Miqat (sebagai jemaah dari Madinah, saya berniat umrah dan berihram dengannya di Bir Ali)

Walaupun masih haid, saya tetap sah dalam ihram dan perlu mematuhi semua larangan dalam ihram.

Menunggu waktu suci dan menjaga larangan ihram. Antaranya tidak memakai wangi-wangian, tidak memotong kuku dan rambut serta menjaga aurat dan adab. Ustazah juga berpesan supaya saya  mengeringkan rambut selepas mandi secara memedap tuala perlahan-lahan di kepala.

Apabila haid berhenti, barulah mandi wajib, terus ke Masjidil Haram untuk tawaf umrah, saie dan selesai umrah dengan bertahalul (bercukur/bergunting).

Perjalanan dengan bas ke Mekah mengambil masa lebih kurang 8 jam. Hati berasa gementar bercampur baur dengan gembira dan sentiasa berdoa supaya sihat walafiat serta dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

Comments