Semenjak dari kecil saya melihat emak sangat suka memasak dan membuat pelbagai jenis kuih muih. Emak juga mempunyai buku resepi "legend" yang tercatat pelbagai resepi yang selalu emak masak. Asalnya buku resepi emak amat lusuh dan koyak sehingga saya mengambil inisiatif untuk menulis semula buku resepi emak di dalam buku nota yang baru. Saya menulis semula buku resepi baru untuk emak semasa saya berusia 14 tahun (Tingkatan 2). Resepi biskut nescafe juga saya catatkan semula dalam buku resepi itu. Kini, 39 tahun telah berlalu dan saya dapati buku resepi baru emak yang saya tulis semula juga telah menjadi buruk dan lusuh.
Semasa bulan puasa dan menjelang Hari Raya Aidilfitri saban tahun, emak akan membuat kuih raya (biskut raya) sebagai juadah kepada tetamu yang datang ke rumah pada hari raya. Sepanjang ingatan saya, emak membuat sendiri semua kuih raya dan tidak pernah membeli "kuih tunjuk" seperti zaman sekarang. Antara kuih raya yang menjadi kegemaran kami sekeluarga dan dikategorikan sebagai biskut cepat habis ialah biskut nescafe. Resepi biskut nescafe sama seperti adunan biskut biasa tetapi ditambah dengan satu sudu makan serbuk nescafe. Rasa nescafe atau kopi membuatkan biskut ini sangat sedap terutama bagi penggemar nescafe atau kopi. Emak membuat adunan biskut ini dan memasukkan doh adunan ke dalam "cookie press gun" untuk membentuk biskut.
Walaupun terdapat berbagai jenis corak mata acuan (disc) "cookie press gun", corak yang menjadi pilihan emak untuk biskut nescafe apabila beliau menggunakan "cookie press gun" adalah seperti gambar di bawah. Semenjak kecil, rupa biskut nescafe hasil tangan emak adalah seperti di dalam gambar yang bertanda anak panah.
Saya mendapat ilham untuk menulis tentang biskut nescafe emak apabila adik saya, Hanif berkongsi gambar biskut nescafe hasil tangan emak yang diminum bersama nescafe susu panas. Gambar di atas sekali diambil dalam tahun 2010 semasa emak tinggal bersama adik selama sebulan di Brisbane, Australia. Semasa di Brisbane, emak membuat biskut nescafe tanpa menggunakan "cookie press gun" tetapi hanya membentuk bulat adunan doh sebesar sudu kecil dan kemudian menekan doh dengan garpu. Gambar di bawah sempat di ambil oleh adik saya semasa emak selesai membakar biskut nescafe di rumah beliau di Brisbane.
Semasa emak masih ada, apabila kami teringin makan biskut nescafe, emak dengan senang hati membuat biskut ini, dan selalunya dibantu oleh adik atau saya. Kini kami bukan sahaja merindui biskut nescafe emak tetapi juga merindui semua masakan emak. Rasa sedap biskut nescafe emak dengan manis yang sederhana dan aroma kopi yang wangi akan sentiasa menjadi kenangan buat kami selama-lamanya.
Gambar kenangan emak semasa di Mount Cootha, Brisbane.
Sarapan pagi nasi lemak
Aroma kopi menyapa jiwa
Biskut Nescafe buatan emak
Jadi kenangan sepanjang masa
Comments
Post a Comment