Murtabak adalah antara makanan yang selalu dibuat oleh emak. Emak selalunya akan membuat murtabak dalam kuantiti yang banyak dan akan disejuk bekukan (frozen) untuk dimakan pada bila-bila masa. Murtabak ialah sejenis makanan berlauk seperti roti canai tetapi berlapis dengan inti daging cincang, telur, rempah, bawang dan lain-lain.
Saya sempat membuat carian tentang murtabak dan mendapati perkataan asalnya adalah "martabak" yang diambil daripada Bahasa Arab iaitu "mutabbaq" yang bererti hidangan berlapis yang dimasak dalam talam rata. Kelihatan dalam gambar dibawah, murtabak hasil tangan emak sedang digoreng dengan minyak yang sedikit di dalam kuali besar yang rata.
Murtabak yang dibuat oleh emak melibatkan dua proses utama iaitu membuat kulit roti canai segera dan membuat inti murtabak.
Resepi Kulit Murtabak
2.5 - 3 cawan tepung gandum
1 sudu besar minyak/mentega cair
1-2 sudu besar susu pekat manis
Air sejuk secukupnya
Garam secukup rasa
Minyak masak (untuk merendam doh)
Untuk membuat roti canai segera yang lembut, campurkan tepung gandum sedikit demi sedikit dengan air sejuk, sedikit garam, susu pekat manis dan minyak masak/mentega cair. Uli sehingga lembut.
Bahagikan doh kepada bebola-bebola kecil kemudian direndam dalam minyak masak. Biarkan bebola doh berehat selama 1 - 2 jam atau lebih lama. Gambar menunjukkan bebola doh emak yang direndam di dalam minyak masak.
Tip cara emak untuk membuat kulit murtabak (resepi roti canai segera)
Campuran susu pekat manis dalam roti canai akan memberi tekstur yang lebih lembut dan seimbangkan rasa lemak manis dan masin pada roti canai.
Doh roti canai direndam dalam minyak masak bertujuan untuk melembutkan doh serta menghalang doh dari kering dan melekit. Lapisan minyak akan menjadikan doh berkembang sekata serta mudah diregangkan sehingga menjadi nipis tanpa koyak. Lapisan minyak ini apabila dipanaskan (dimasak) akan menghasilkan roti canai yang kembang cantik, lembut di dalam dan rangup di luar.
Resepi Inti Murtabak
300 gm daging cincang (ayam/lembu)
1 biji bawang besar dipotong dadu
2 ulas bawang putih
2 - 3 sudu besar rempah kari daging
2 - 3 biji telur dikacau
Garam, lada hitam secukup rasa
Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi, masukkan daging cincang, tumis hingga masak. Tambah rempah kari, garam dan lada hitam, masak sehingga kuning dan pecah minyak sehingga inti daging masak. Sejukkan inti daging sebentar.
Campur telur yang telah dikacau rata dengan inti daging yang telah dimasak. Kacau sebati.
Tip cara emak untuk meyedapkan inti murtabak
Emak mencampur sedikit rempah kurma bersama rempah kari untuk menambah rasa sedap pada inti murtabak.
Emak juga akan memasak terlebih dahulu inti daging yang dikacau dengan telur dalam acuan kecil berbentuk segi empat tepat yang ditempah khas oleh emak mengikut saiz mini murtabak yang emak kehendaki.
Contoh "ring murtabak" yang emak gunakan untuk membuat inti murtabak adalah seperti gambar dibawah.
Rakaman berikut menunjukkan emak sedang membalut inti daging yang telah dimasak dengan doh roti yang telah dicanai. Kelihatan emak membalikkan balutan kulit roti canai di kedua-dua belah supaya murtabak tidak menjadi tebal sebelah. Emak berpendapat murtabak yang seimbang ketebalannya akan lebih sedap apabila dimakan. Kerangupan murtabak akan lebih terasa apabila dimakan panas-panas.
Adik saya telah merakam proses membuat murtabak oleh emak sambil berbual-bual di antara saya, adik-adik dan emak di meja dapur. Rakaman ini akan menjadi kenangan buat kami semua selama-lamanya.
Gambar berikut adalah murtabak yang telah siap sebelum digoreng.
Tip cara emak
Emak akan menggoreng murtabak separuh masak sebelum disejuk bekukan.
Emak kerap membuat murtabak sejuk beku ini semasa bulan puasa bagi memudahkan untuk dimakan semasa berbuka puasa dan waktu sahur.
Kulit popia juga boleh digunakan bagi menggantikan kulit roti canai segera yang agak mengambil masa untuk membuatnya.
Perkongsian resepi dan panduan membuat murtabak cara emak diharap dapat memberi manfaat kepada semua pembaca blog ini. Selain daripada itu, catatan ini juga merupakan suatu catatan kenangan kasih sayang seorang emak yang tiada galang-gantinya.
Comments
Post a Comment