"Tiga Sekawan Kuih" yang tersusun cantik dalam piring pada gambar di atas adalah kuih berasaskan pulut hasil air tangan emak iaitu Pulut Inti, Pulut Sambal dan Pulut Udang.
Gambar tiga jenis kuih berasaskan pulut yang disimpan oleh adik saya Hanif, sangat mengusik perasaan dan menggamit memori semasa emak masih ada. Adik saya sangat menggemari pulut dan emak telah menyediakan tiga jenis kuih pulut sekaligus untuk beliau. Emak memang telah terbiasa memasak dari usia remaja, urusan masak-memasak adalah kerja yang sangat mudah bagi emak.
Masih segar di ingatan, semasa bulan puasa, emak mengajar sesi pagi di sekolah dan pulang ke rumah agak lewat. Tetapi emak masih sempat memasak makanan untuk berbuka puasa termasuk membuat kuih Pulut Sekaya (orang selain dari utara menyebutnya sebagai Pulut Seri Muka). Pak Kecik (adik emak) terkejut bila melihat emak masih sempat menyediakan juadah berbuka puasa termasuk membuat kuih pulut sekaya selepas pulang dari mengajar.
Pulut Inti, Pulut Sambal dan Pulut Udang adalah kuih pulut tradisi dari utara yang berbeza dari segi, inti, rasa dan cara bungkus. Saya tidak bercadang untuk berkongsi resepi ketiga-tiga jenis pulut ini memandangkan cara membuatnya sangat mudah dan resepi boleh didapati melalui media sosial dan pelbagai enjin carian.
Persamaan "sekawan pulut" ini ialah dibungkus dengan daun pisang. Saya sering membantu emak untuk melayur daun pisang untuk melembutkan daun supaya tidak koyak semasa membalut. Daun pisang dilayur secara membentangkan di atas api kecil dan dipanaskan pada satu sisi sahaja supaya kelihatan basah atau berminyak.
Pulut Inti
Pulut Inti merupakan hidangan tradisional yang cukup popular di sebelah utara (Kedah, Perlis dan Pulau Pinang). Pulut Inti rasanya manis dan sering dihidangkan sebagai sarapan atau minum petang. Keunikan versi utara biasanya terletak pada pulutnya yang berlemak dan inti kelapa manis yang dimasak lembab dengan aroma daun pandan yang wangi.
Inti dibuat daripada kelapa parut putih yang muda dan gula melaka. Saya lebih suka menggunakan gula merah supaya warna inti menjadi lebih gelap dan kejadiannya lebih cantik. Saya juga memasukkan sedikit garam secukup rasa ke dalam inti untuk menaikkan rasa lemak kelapa.
Inti pulut inti adalah sama dengan inti kuih ketayap. Pulut Inti dibungkus dengan daun pisang sama seperti Nasi Lemak Piramid tetapi terbuka di bahagian atas untuk menampakkan intinya. Bungkusan pulut inti selalunya bersaiz lebih kecil.
Pulut Sambal
Pulut Sambal adalah pulut bersama serunding ikan yang rasanya pedas manis.
Serunding ikan agak popular di kalangan orang Kedah. Orang Kedah gemar makan pulut bersama serunding ikan terutamanya dihidangkan bersama ketupat palas di Hari Raya. Serunding ikan ini mudah dibuat dan tahan lama. Pilihan ikan untuk membuat serunding cara utara ialah ikan kembung, ikan selayang atau ikan merah. Selalunya, ikan kembung adalah pilihan utama untuk membuat serunding ikan cara utara. Saya masih ingat emak dan saya pernah membuat serunding menggunakan isi ikan merah. Serunding ikan merah hasilnya nampak lebih halus, cantik dan sedap.
Pulut Sambal dibungkus dengan daun pisang berbentuk bunjut dan disematkan dengan lidi untuk menutup bungkusan.
Pulut Udang
Pulut Udang adalah panggilan di sebelah utara, Pulut Panggang lebih dikenali di lain-lain negeri di Semenanjung. Di sebelah utara Malaysia, inti pulut udang biasanya berasaskan kelapa dan udang kering.
Inti pulut udang utara dibuat dengan kelapa parut segar yang dimasak dengan jintan, kunyit, bawang, cili kering, serai, udang kering dan udang segar. Gabungan pulut lemak dan inti kelapa parut ini sungguh sedap terutama setelah dipanggang garing. Aroma daun pisang yang digunakan untuk membungkus pulut udang juga sangat membangkitkan selera.
Pulut Udang dibungkus dengan daun pisang yang digulung kemas dan disematkan dengan lidi pada kedua belah hujung.
Di Perlis, pulut udang dimakan bersama dengan laksa beras. Anda tidak perlu terkejut sekiranya pulut udang berada di dalam pinggan laksa anda ketika makan laksa di Kuala Perlis.
Ciri khas sajian utara
Pulut Inti, Pulut Sambal dan Pulut Udang lazimnya ditemui di gerai kuih pada waktu pagi dan petang dan rasanya yang berbeza mencerminkan kekayaan rasa utara yang asli.
Di Kedah, inti pulut udang mempunyai rasa pedas manis dengan udang kering tumbuk dan udang segar yang dicincang. Berbeza dengan rasa pulut panggang seperti di negeri lain.
Teknik bungkusan daun pisang memberikan aroma wangi dan mengekalkan kelembapan pulut. Jenis kuih dibezakan melalui cara lipatan dan bungkusan (segitiga untuk pulut inti, membunjut untuk pulut sambal).
Sekiranya berkunjung ke negeri Kedah, anda bolehlah mencuba dan merasa sendiri keunikan rasa kuih tradisional utara ini.
Comments
Post a Comment