Skip to main content

NAT POKOK GETAH




Pagi Ahad, 1 Februari 2026, sempena cuti Hari Thaipusam, saya mengambil peluang cuti umum pada hari Ahad untuk berkunjung ke Nat Pokok Getah bersama-sama "geng partner in crime" iaitu Ruhil dan Syafa.

Nat Pokok Getah terletak di Kampung Kubang, Arau, Perlis merupakan pasar pagi yang terkenal di Negeri Perlis. Nat Pokok Getah diberi nama kerana pasar pagi ini beroperasi dalam kebun getah.  Perkataan "Nat" berasal dari loghat Perlis/Kedah yang bermaksud pasar pagi yang diadakan pada hari-hari tertentu sahaja. 

Seawal 7.30 pagi kami bertolak dari Alor Setar melalui Lebuhraya Alor Setar - Changlun ke Arau. Kami bertiga yang tidak pernah berkunjung ke sini tidak mempunyai sebarang gambaran mengenai keadaan dan lokasi Nat Pokok Getah, tetapi dimaklumkan suasana sangat sesak dan agak susah untuk mencari tempat letak kereta. Tetapi atas keinginan yang tinggi untuk berkunjung ke Nat yg terkenal itu, kami andaikan perjalanan ini sebagai "kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih".

Berpandukan applikasi Waze, kami tahu kami telah tiba di kawasan Nat Pokok Getah apabila jalanraya sesak dan kenderaan bergerak perlahan. Terdapat peniaga-peniaga yang berjualan di tepi jalan besar. Mungkin terlalu ramai peniaga menyebabkan ruang niaga yang ada dalam kebun getah tidak mencukupi.

Dengan kenderaan yang bergerak amat perlahan saya sempat memandang pelbagai gerai jualan di kanan dan kiri bahu jalan. Mata tertumpu kepada gerai yang menjual arnab, terasa sangat unik apabila arnab-arnab hanya diletakkan di atas meja jualan. Saya teringat memori semasa kecil saya mengikuti bapa ke "Market Besaq Aloq Setaq" pada setiap hari Jumaat. Bapa akan membawa saya ke tempat jualan anak-anak ayam, anak-anak itik, ayam, itik dan arnab. Saya yang masih kecil pada masa itu selalu leka melihat binatang jualan ini yang diletakkan di dalam jaras (sejenis bakul yang dianyam jarang-jarang). 

Setelah mengharungi kesesakan lalu lintas dengan sabar, kami akhirnya mendapat tempat letak kereta yang agak selesa dengan caj bayaran sebanyak RM2. Suasana Nat agak nyaman dan redup di bawah pokok-pokok getah. Saya berhasrat membeli buah-buahan, "emping nyoq" dan "jagung nyoq". Ruhil bercadang mencari ikan kering "sepat ronggeng" untuk dimakan semasa bersahur menjelang Ramadan.

Kami berjalan-jalan sambil memerhati gerai jualan di dalam kawasan Nat yang luas. Pelbagai buah-buahan dijual dengan harga yang murah. Ruhil tidak berjumpa dengan ikan sepat ronggeng tetapi berjaya membeli ikan haruan kering dan ikan sepat kering.


Saya yang berhasrat untuk membeli "emping nyoq dan "jagung nyoq" terpaksa melupakan hasrat untuk membeli apabila melihat bilangan pelanggan yang beratur panjang. Mengikut maklumat pengunjung dan peniaga di sekitar, emping dan jagung nyoq yang dijual rasanya sangat sedap. Saya sepatutnya beratur dari awal semasa tiba di Nat sekiranya ingin membeli emping dan jagung nyoq.


Saya dan Syafa membeli kuih dangai iaitu kuih tradisional dari negeri utara Semenanjung yang diperbuat daripada kelapa parut, tepung pulut, gula dan garam. Kuih ini dibakar serta mempunyai rasa lemak manis dan kenyal.


Kami juga direzekikan untuk berjumpa sahabat yang sama-sama belajar di UUM semasa 30 tahun yang lalu. Walaupun telah lama tidak berjumpa tetapi mereka masih mengenali wajah Ruhil. Terima kasih sahabat yang sudi menegur kami walaupun telah lama berpisah membawa haluan masing-masing. 


Setelah hampir 2 jam berjalan-jalan di dalam kawasan Nat, saya berjaya membeli pelbagai jenis buah-buahan iaitu pisang emas, nenas MD2, limau kecil yang manis, jambu air madu merah, buah bidara dan jeruk kelubi dengan harga yang sangat berpatutan. Ruhil membeli kuih apam pukis kegemarannya. Kuih ini merupakan kuih tradisional Indonesia yang gebu, lembut dan manis yang sering dijual di pasar malam. Syafa sama seperti saya membeli kuih dangai, kacang goreng bawang putih dan buah-buahan.

Pengalaman berkunjung ke Nat Pokok Getah ini sangat menghiburkan hati apabila kami keluar dari kelaziman membeli belah di pasaraya. Suasana membeli belah di bawah rimbunan pokok getah memberikan pengalaman yang sangat unik pada kami. Selain daripada itu, barangan yang dijual juga sangat menarik dan harganya juga berpatutan.

Nat Pokok Getah merupakan pasar pagi yang boleh anda kunjungi untuk membeli pelbagai jenis barangan basah, pakaian, kuih - muih tradisional, makanan, pokok-pokok buahan dan hiasan, barangan antik dan terpakai sambil menikmati suasana kampung yang nyaman dan santai.

Comments