Alhamdulillah..
Syukur kepada Allah kerana berpeluang membaca tulisan yang sangat memberi kesan kepada diri saya. Saya tidak menulis tulisan yang sangat indah ini, tetapi hanya berkongsi hasil tulisan yang amat bermakna ini terutama kepada wanita-wanita yang diuji. Saya sendiri pernah menganggap diri ini sebagai insan yang terpilih setelah diuji dengan pelbagai masalah dalam kehidupan. Saya tahu saya hanyalah hamba Allah yang tidak sempurna.
Walaupun diri ini dipilih untuk tidak kelihatan bahagia seperti orang lain, tetapi cukuplah dipilih untuk dekat denganMu, Ya Allah. Biarlah diri ini menjalani hidup seperti yang Engkau redhai. Sesungguhnya, saya tidak sendiri, Allah sentiasa ada. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua pembaca.
Wanita terbaik itu takdirnya sering nampak tidak sempurna di mata manusia.
“Allah mengetahui apa yang ada di dalam dada.” - Surah Al Mulk: 13
Ya Allah,
jika dunia melihat hidupku tidak sempurna,
maka ajarlah hatiku untuk melihat sebagaimana Engkau melihat.
“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” – Surah Al Baqarah: 153
Ya Allah,
Aku belajar daripada Maryam,
Wanita yang Engkau muliakan tanpa pasangan.
Dia berdiri sendiri, menahan pandangan manusia, menelan tuduhan,
memeluk sepi yang panjang.
Namun Engkau tidak pernah meninggalkannya.
Ketika dunia menjauh, Engkau mendekat.
Maryam mengajarku, Ya Allah
Bahawa kesendirian bukan tanda ditolak,
Tetapi tanda Engkau sedang memelihara hati daripada cinta yang salah.
“Dan Tuhanmu tidak pernah meninggalkanmu dan tidak pula membencimu.”
– Surah Ad Dhuha: 3
Aku belajar daripada Aishah – yang tidak memiliki anak, namun menjadi ibu kepada jutaan jiwa. Dia tidak melahirkan zuriat dari rahim, tetapi melahirkan ilmu dari hatinya.
Ya Allah, rupanya tidak semua wanita dicipta untuk memeluk bayi. Ada yang Engkau pilih untuk memeluk umat dan ketiadaan itu bukan kehampaan tetapi amanah yang besar.
“Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.” – Surah Ash Sharh: 6
Aku belajar daripada Khadijah – yang bertemu cinta bukan di usia muda, tetapi saat jiwanya telah matang. Ketika manusia berkata “terlambat”, Engkau berkata “tepat pada waktunya”.
Ya Allah,Engkau ajarkan aku bahawa jodoh bukan soal cepat atau lambat, tetapi siapa yang layak menerima hati yang telah Engkau bentuk melalui luka..
“Maka bersabarlah dengan sabar yang indah.” – Surah Al Ma’arij: 5
Aku belajar daripada Fatimah – yang hidupnya sempit, rumahnya kecil, tangannya kasar kerana kerja yang tidak pernah habis, namun hatinya yang paling lembut di sisi langit.
Ya Allah,rupanya kemuliaan tidak tinggal dalam kemewahan, tetapi dalam redha yang tidak bersyarat. Fatimah mengajarku, cukup jika engkau redha, walau dunia tidak bertepuk tangan.
“Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi Mu di dalam syurga.”
- Surah At Tahrim: 11
Dan aku belajar daripada Asiyah – wanita yang bersuamikan manusia paling kejam, namun tetap memilih Allah. Dia tidak diselamatkan daripada derita dunia, tetapi diselamatkan daripada rosak iman.
Ya Allah, kadangkala Engkau tidak mengubah keadaan, kerana yang Engkau jaga adalah hati.
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan dengan kesanggupannya.” – Surah Al Baqarah: 286
Kini aku faham, Ya Allah
wanita terbaik itu takdirnya sering nampak tidak sempurna di mata manusia –
ada yang sendiri,
ada yang tidak beranak,
ada yang diuji dengan pasangan,
ada yang diuji dengan kesempitan,
ada yang diuji dengan pengkhianatan.
Tetapi di sisi Mu
Merekalah yang paling hampir dengan langit.
Ya Allah,
Jika hidupku tidak seperti yang manusia impikan, biarlah ia seperti yang Engkau redhakan.
Jika aku tidak dipilih untuk bahagia seperti orang lain, cukuplah aku dipilih untuk dekat dengan Mu
Kuatkanlah hatiku, Ya Allah
Tetapkanlan hatiku, Ya Allah
Kerana aku tahu
Aku tidak sendiri
Engkau ada
NUKILAN DARIPADA: Tik Tok Qamar An Nada_14
SENDIRI
Belajarlah menyukai kesepian.
Kerana tidak ada orang yang akan menemanimu seumur hidup.
Orang tua berpulang, pasangan boleh berubah dan teman memilih jalannya sendiri.
Pada akhirnya dirimu yang tersisa.
Jika kamu tidak nyaman dengan dirimu sendiri
Ke mana kamu akan berlari saat dunia meninggalkanmu?
Kesepian bukan kutukan, melainkan latihan jiwa.
Allah sengaja menyingkapkan ruang hening agar engkau belajar berdialog dengan hati.
Agar engkau sedar bahawa satu-satunya tempat kembali adalah kepadaNya.
Kesepian di dunia adalah latihan menuju kesendirian di hadapan Allah.
Nanti tiada lagi pengesahan sesama manusia, hanya tanggungjawab amal.
Dan setiap orang akan datang kepada Allah pada hari kiamat SEORANG DIRI
(Surah Maryam 19 :95)
Saya adalah salah seorang wanita yang kelihatan tidak sempurna di mata manusia, tapi cukuplah dipilih untuk dekat denganMu, Ya Allah.
Comments
Post a Comment