Skip to main content

KUIH SPERA


Spera (disebut Sepera) adalah kuih tradisional dari utara Semenanjung Malaysia, terutama di Kedah dan Perlis. Ada yang menyebut spera adalah sepupu karipap tetapi intinya kelapa. Saya menulis tentang kuih spera sebagai catatan kenangan memandangkan emak sering membuat kuih spera dalam kuantiti yang banyak untuk disejukbekukan. Kuih ini boleh dikatakan sebagai kuih kegemaran semua ahli keluarga. Gambar di atas adalah kuih spera yang emak buatkan semasa emak berada di rumah adik saya di Brisbane.

Spera kelihatan sama dengan karipap tetapi mempunyai inti di dalam yang berbeza. Spera intinya kelapa pedas manis sama seperti cucur badak dan pulut udang. Berbeza dengan inti karipap yang menggunakan ubi kentang, daging dan dimasak dengan rempah kari. Saya akan menulis lebih lanjut tentang karipap pusing yang selalu dibuat oleh emak dalam penulisan yang lain. Kuih spera adalah unik kerana rasa intinya manis pedas dan kulitnya kekal rangup walaupun dimakan sejuk.


Ada juga yang menyebut kuih ini sebagai "coq spera". Orang Kedah menyebut ringkas cucur atau kuih sebagai "coq". Cucur kodok pisang disebut "coq kodok", cucur badak diringkaskan menjadi "coq badak". Gambar di bawah menunjukkan "coq kodok" dan "coq badak" di mana jelas kelihatan inti kuih spera sama dengan inti cucur badak. Kebiasaan emak saya ialah membuat inti kelapa ini dalam kuantiti yang banyak, dibekukan dan apabila ada kesempatan emak akan membuat kuih spera, cucur badak dan pulut udang menggunakan inti yang sama.


Resepi kuih spera versi emak

Kulit Spera (cara membuat doh)

4 cawan tepung gandum
4 sudu besar tepung beras (untuk lebih rangup)
2 sudu besar marjerin
1.5 cawan air ais yang dimasukkan sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang tidak melekat
Garam secukup rasa

Inti kelapa pedas

2 cawan kelapa parut (pilih "nyoq muda")
Bahan kisar - bawang besar, bawang putih, halia, serai, cili kering
Jintan manis setengah sudu
Jintan putih setengah sudu
Serbuk kunyit untuk warna
Garam secukup rasa
Gula (lebihkan sedikit untuk rasa manis pedas)
Udang segar dicincang

Doh kulit spera dicanai, diisi inti, dilipat dan dikelim kemas di bahagian tepi sebelum digoreng dengan minyak panas.


Emak dan kuih-muih yang disejukbekukan sangat sinonim bagi saya. Sepanjang usia saya melihat emak kerap membuat kuih-muih pelbagai jenis dan saya selalu menjadi pembantu emak. Semasa Tok Cik tinggal bersama kami di Taman Sopiah, emak dan Tok Cik sentiasa membuat kuih bersama-sama bagi mengisi masa lapang mereka. Selalunya saya akan mengusik emak bila Tok Cik kelihatan lebih rajin daripada emak dan tidak akan berhenti selagi kuih tidak selesai. Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Adik saya telah berkongsi gambar emak yang beliau tidak tahu kuih apa yang emak sedang buat. Melihat pada bahan-bahan yang ada di hadapan emak, saya pasti emak sedang membuat doh kulit spera.

Saya menyimpan cita-cita untuk rajin membuat kuih seperti emak. Tapi cita-cita ini sukar untuk menjadi kenyataan selagi saya masih bekerja. Emak telah berpencen selama 21 tahun dan dalam tempoh berkenaan emak mengisi masa lapang dengan membuat pelbagai jenis kuih-muih dan membuat pelbagai aktiviti yang lain. Semoga Allah kurniakan saya usia yang berkat, sihat dan dapat mengisi saki-baki usia dengan perkara bermanfaat sama seperti emak.

Comments