Semasa saya kanak-kanak, apabila diberitahu bapa yang beliau akan ke rumah Wan Man dan Tok Eshah, saya akan melompat keriangan sambil berharap Kak Ja, iaitu sepupu kegemaran dan kesayangan saya juga akan berada di sana. Rumah Wan Man yang kami menyebutnya sebagai "Rumah Tok" adalah tempat saya bermain-main dengan bebas dan riang. Rakan sepermainan saya di kampung ialah sepupu saya Kak Ja dan Marzuki, dua pupu saya iaitu Iti dan Not. Sambil membelek gambar-gambar lama yang disimpan oleh emak, saya terasa untuk berkongsi gambar kenangan ini untuk tatapan pembaca.
Gambar Wan Man di ruang tamu rumah bersama Kak Ja dan Marzuki
Gambar Tok Eshah di halaman rumah bersama Kak Ja dan Marzuki
Kampung Selarong Batang adalah nama kampung sebelah bapa saya yang terletak di Batu 8, Simpang Empat (Kangkong). Sudah lebih 20 tahun saya tidak menjejaki kaki ke Kampung Selarong Batang selepas Rumah Tok dirobohkan kerana kayu-kayu telah reput diserang anai-anai dan tiada siapa lagi yang tinggal di situ.
Dalam ingatan saya Rumah Tok agak besar dan memanjang. Rumah hadapan tinggi dan di bawah rumah diletakkan pangkin kayu untuk kami berkumpul dan bersembang. Saya masih boleh mengingati kami berkumpul di situ semasa proses menumbuk padi menggunakan lesung kaki. Di situ juga kami menumbuk beras untuk dibuat kuih beras.
Nota :
Lesung kaki atau lesung hindik digunakan untuk menumbuk padi menjadi beras dengan cara memijak hujung alu. Lesung ini terdiri daripada ibu lesung dan alu memanjang.
Antara tempat pilihan untuk kami bermain ialah di beranda Rumah Tok. Ada kerusi rotan di beranda untuk duduk santai. Saya tidak mempunyai gambar Rumah Tok tetapi setiap inci gambaran Rumah Tok terpahat di ingatan saya.
Saya mempunyai gambar bersama emak di hadapan Rumah Tok. Kelihatan kereta bapa diletakkan di bawah rumah dan sebahagian kawasan beranda di dalam gambar.
Dibawah adalah gambar saya yang montel sedang duduk di atas tangga hadapan rumah menuju ke beranda.
Gambar Wan Man yang sedang mendukung Kak Ja di beranda rumah sangat mengusik perasaan saya.
Pada 6 Februari 2026 yang lepas, saya telah berpeluang ke Kampung Selarong Batang berkunjung ke rumah Not (Nor Hana), dua pupu saya dan rakan sepermainan di kampung semasa kecil. Saya mengambil Iti (Siti Hajar) di rumahnya terlebih dahulu. Iti ialah kakak Not, beliau yang menunjukkan jalan masuk ke kampung. Tanpa Iti, saya pasti tidak dapat mengenali jalan masuk kampung dari tepi jalan besar disebabkan keadaan telah berubah.
Kawasan tanah Rumah Tok telah dipenuhi rimbunan pohon agak besar dan semak belukar serta kelihatan terbiar tidak terurus akibat masalah dalam pengurusan harta pusaka.
Menjejaki semula ke kampung membuatkan fikiran terus terbayang kawasan Rumah Tok yang luas, di kiri rumah terdapat pokok teh ditanam sebagai pokok pagar, di kanan rumah ada saliran seumpama sungai kecil, pokok-pokok limau yang di tanam Wan Man, pokok teh yang dibentuk seperti burung (topiary) di hadapan rumah, pokok jambu batu di belakang dapur, pokok amra (kedondong) di tepi rumah, reban ayam dan jelapang padi.
Bersama Iti dan Not saya menelusuri jalan-jalan kampung di mana saya selalu bermain dan merayau bersama Kak Ja semasa kecil dulu. Jalan kampung telah diturap dan sebahagian rumah saudara yang berdekatan kelihatan kosong tiada berpenghuni. Saya teringat emak gemar bersembang-sembang di rumah-rumah ini sekiranya ada kenduri-kendara atau semasa hari raya. Walaupun bapa telah meninggal dunia semasa saya berumur 8 tahun, emak kerap membawa kami pulang ke kampung untuk menziarahi Tok Eshah.
Berjalan ke arah bendang (sawah) tempat saya bermain dan berkelah bersama Iti dan Not suatu masa dulu seakan menggamit semula memori. Pokok keriang besar yang menjadi tempat teduhan kami untuk bermain dan berkelah telah ditebang dan seluruh kawasan bendang kelihatan berbeza setelah berpuluh tahun saya tidak ke situ. Saya juga sempat bergambar kenangan bersama Iti dan Not (gambar di atas sekali) di tepi bendang. Saya merasakan bunga seri pagi kelihatan sangat indah bila tumbuh melata di tepian bendang. Saya tertawa sendirian apabila bunga seri pagi pun berjaya membuatkan hati saya berbunga-bunga kegembiraan. Terasa seolah saya tinggal di bandar besar. "Padahal dok di Aloq Setaq saja pun." getus hati saya 😃
Semua kenangan semasa berpulang ke Rumah Tok sewaktu kecil seolah-olah melekat di ingatan. Saya juga agak rapat dengan adik-adik bapa saya iaitu Mak Tam (Zulita binti Man) dan Makcik (Rosmina binti Man). Tok Eshah panjang umurnya, beliau meninggal dunia di usia 90an akibat sakit tua. Dibawah adalah gambar Tok Eshah bersama Kak Ja sepupu kegemaran/kesayangan saya. Walaupun agak lama saya tidak berjumpa Kak Ja, saya doakan Kak Ja sentiasa sihat, gembira serta dimurahkan rezeki.
Ribuan terima kasih diucapkan pada Iti dan Not yang sudi menemani saya meninjau kawasan kampung sekaligus mengimbas memori masa lalu. Wan Man dan Tok Eshah serta semua adik beradik bapa saya telah meninggal dunia. Wa Lah, Mak Chaq Nen, Pak Teh, Pak Su, Mak Tam dan Makcik merupakan panggilan untuk adik beradik bapa saya. Semuanya telah tiada dan sama-sama kita hadiahkan Al Fatihah kepada mereka serta mendoakan semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Comments
Post a Comment