Setelah sembilan (9) tahun berlalu, barulah saya berpeluang menulis tentang perjalanan saya ke bumi Palestin. Perkongsian pengalaman kembara ke bumi anbiya bersama emak dan sahabat emak dalam tahun 2017 menerusi blog Coretan Aida umpama catatan kenangan ketika melancong bersama emak.
Sembilan (9) tahun merupakan tempoh yang agak lama, saya terpaksa melihat semula turutan gambar yang diambil supaya saya dapat mengingati semula kembara ke bumi para anbiya ini.
Kembara bermula apabila kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Amman, Jordan. Dari Amman, kami melalui Jambatan Raja Hussein, iaitu laluan terdekat dari Amman ke Kota Lama Jericho (Palestin @ Jerusalem)
Kemasukan ke sempadan memerlukan pasport dan pemeriksaan yang sangat ketat di Stesen Imigresen Israel. Kami telah diberi amaran oleh pemandu pelancong tentang pemeriksaan di pos sempadan Israel yang perlu melalui beberapa pos pemeriksaan dan mungkin mengambil masa yang lama. Kami dilarang menyebut perkara yang tidak elok tentang Israel. Kami juga dilarang menyebut perkataan Palestin tetapi wajib menyebutnya sebagai Jerusalem. Bagi para wanita, kami tidak dibenarkan memakai kerongsang (brooch) pada tudung kerana dikhuatiri dianggap sebagai senjata yang tajam. Penggunaan kamera dilarang sama sekali. Kami patuh dan tidak berhenti berzikir "Hasbunallah Wa Nikmal Wakeel" di dalam hati sepanjang tempoh melalui pos pemeriksaan imigresen.
Kekalutan di Pos Imigresen
Semasa di pos pemeriksaan imigresen kami semua beratur dan diperiksa oleh pegawai imigresen seorang demi seorang. Bila sampai giliran emak diperiksa, tiba-tiba penggera berbunyi dengan kuat, dan askar-askar Israel datang mengerumuni dan mengacu senapang pada emak seolah-olah emak membawa bom atau senjata. Saya amat terkejut bila melihat emak dibawa oleh askar dan pegawai imigresen ke bilik lain. Kami semua berdebar-debar tetapi saya tiada pilihan lain kecuali bergerak ke pos pemeriksaan di hadapan dan menunggu emak di situ.
Setelah hampir 1 jam baru emak berjalan keluar dan kelihatan tenang. Emak memberitahu penggera berbunyi desebabkan emak pernah menjalani pembedahan "total knee replacement" di mana tulang sendi lutut yang rosak digantikan dengan implan dibuat daripada titanium. Titanium yang ada dalam lutut emak telah menyebabkan penggera berbunyi.
Emak memahami Bahasa Inggeris tetapi emak tidak bercakap kecuali hanya menunjukkan parut pembedahan di lututnya pada askar-askar Israel. Walau bagaimanapun badan emak telah diperiksa berulang kali sehingga pihak askar dan imigresen berpuas hati emak tidak membawa sebarang senjata. Saya bersyukur mereka tidak berkasar dengan emak memandangkan ketika itu emak telah berusia 70 tahun.
Setelah semua urusan di sempadan selesai, pengembaraan di bumi para anbiya pun bermula.
Makam Nabi Musa AS di Jericho
Tempat lawatan pertama kami ialah Kompleks Masjid dan Makam Nabi Musa AS. Makam Nabi Musa AS terletak 11 km ke selatan Jericho dan 20 km ke timur Jerusalem. Kawasannya berbukit- bukau yang tandus dan tiada perkampungan di sekitarnya. Saya dapati kawasan bukit dan pasirnya berwarna kemerahan. Berziarah ke Makam Nabi Musa AS bukan sekadar kunjungan biasa tetapi kami menziarahi seorang nabi besar yang kisahnya disebut beberapa kali di dalam Al Quran.
Nabi Muhamad SAW semasa Israk Mikraj mengatakan Makam Nabi Musa AS berada di Pergunungan Merah. Ada riwayat mengatakan Nabi Muhamad mengetahui di mana Makam Nabi Musa AS tetapi baginda sengaja merahsiakannya kerana dikhuatiri kaum Yahudi akan membongkarnya.
Sultan Salahuddin Al Ayyubi pernah bermimpi di mana dia ditunjukkan tempat dimakamkan Nabi Musa AS dan kemudian di tempat itu didirikan masjid. Kompleks makam ini dibangunkan pada zaman pemerintahan Sultan Salahuddin Al Ayyubi pada akhir abad ke-12.
Gambar di bawah diambil di pintu masuk masjid dan makam Nabi Musa AS. Jelas kelihatan tudung yang saya pakai kelihatan senget dan terkebelakang akibat larangan memakai "brooch" semasa di pos imigresen Israel.
Kisah Nabi Musa AS
Kisah Nabi Musa AS yang paling saya ingati ialah bagaimana baginda berjuang menentang kezaliman Firaun yang mengaku Tuhan, mukjizat tongkat Nabi Musa AS yang berubah menjadi ular dan mukjizat terbelahnya Laut Merah untuk menyelamatkan Bani Israel dari Firaun.
Daripada cerita pemandu pelancong kami, Nabi Musa AS telah wafat sebelum memasuki Baitul Maqdis (Palestin) bersama kaumnya, Bani Israel. Nabi Musa AS wafat pada usia 120 tahun setelah memimpin Bani Israel keluar dari Mesir dan melalui perjalanan yang penuh getir.
Allah telah memerintahkan Bani Istael untuk memasuki Palestin dan berjihad melawan kaum Kan'an yang menduduki Palestin pada ketika itu. Mereka dijanjikan kemenangan tetapi mereka gentar dengan kekuatan musuh dan enggan mentaati perintah Allah. Mereka memilih untuk menunggu Nabi Musa AS berdua dengan anak saudaranya (pembantu/murid) iaitu Nabi Yusha bin Nun untuk memerangi kaum Kan'an yang ada di Palestin.
Nabi Musa AS sangat kecewa dengan kaumnya dan berdoa pada Allah agar dipisahkan dari kaumnya yang ingkar.
Allah telah menghukum Bani Israel dan mengharamkan tanah Palestin bagi mereka selama 40 tahun. Dalam tempoh itu mereka hanya berkeliaran tanpa arah di padang pasir (Padang Tih/Sinai). Bani Israel adalah kaum yang meninggalkan Nabi mereka berseorangan dan kisah ini diceritakan di dalam Al Quran pada Surah Al Maidah, ayat 24.
Allah menghukum mereka selama tempoh 40 tahun itu bertujuan untuk membentuk generasi yang baru kerana generasi yang keluar dari Mesir adalah penyembah berhala, degil, mempunyai mental kebudak-budakan dan sering bersungut-sungut. Generasi bermasalah ini akan pupus (mati) di padang pasir dalam tempoh berkenaan.
Allah mengkehendaki generasi baru yang lebih baik yang lahir di padang pasir ini, akan dipimpin oleh Nabi Yusha AS untuk memasuki tanah Palestin.
Melalui kisah Nabi Musa AS, kita dapat mengetahui sifat Bani Israel yang sanggup meninggalkan Nabi mereka sedangkan Nabi Musa AS telah bersusah-payah bersama mereka berhadapan dengan Firaun serta melintasi Laut Merah.
Iktibar daripada sikap ingkar Bani Israel ini ialah kita wajib menghindari sifat sombong dan syirik, jangan banyak bertanya tentang perkara yang sudah jelas, bersangka baik kepada Allah serta sentiasa bersyukur. Perintah Allah wajib dipatuhi dengan ikhlas dan bukannya mencipta pelbagai helah untuk menjadi manusia yang ingkar.
Semasa bersekolah, saya menghafal ada 5 orang Nabi yang digelar Rasul Ulul Azmi (cara hafalan saya ialah Muhamad, Isa, Musa, Ibrahim, Nuh). Setelah memahami perjuangan Nabi Musa AS, memang wajar baginda bergelar Rasul Ulul Azmi, iaitu gelaran bagi Nabi yang menghadapi ujian berat ketika menyampaikan dakwah.
Kisah pengembaraan seterusnya bersambung di BAHAGIAN 2
Comments
Post a Comment