Skip to main content

KEMBARA KE BUMI ANBIYA - BAHAGIAN 2

KEMBARA KE BUMI ANBIYA

BAHAGIAN 2

Perjalanan diteruskan dengan  lawatan di sekitar bandar Jerusalem (Baitul Maqdis).  Cuaca musim sejuk yang nyaman membuatkan kami tidak berasa letih walaupun perjalanan masih lagi pada hari yang sama dengan kisah di Bahagian 1. 

Bukit Zaitun (Mount of Olives)


Bukit Zaitun (Mount of Olives) merupakan banjaran gunung bersejarah di timur Kota Lama Jerusalem (Old City of Jerusalem). Nama Bukit Zaitun berasal dari kebun-kebun zaitun yang memenuhi lereng bukit pada zaman dahulu kala. 

Bukit ini terkenal dengan pemandangan Masjidil Aqsa dan Dome of Rock (Kubah Batu) yang menakjubkan. Bukit Zaitun merupakan tapak suci bagi tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Di Bukit Zaitun ini terukir abadi perjalanan sejarah para nabi dari Nabi Daud AS hingga Nabi Isa AS.

Islam
Banyak peristiwa penting berkaitan Nabi Isa AS, seorang Rasul Ulul Azmi berlaku di sini. Bukit ini diyakini sebagai tempat Nabi Isa AS diangkat ke langit oleh Allah SWT. Peristiwa ini disebut dalam Surah An Nisa, ayat 157-158.

Kristian
Di bukit ini Jesus (Nabi Isa AS) berdoa kusyuk dan memberi pengajaran pada pengikutnya tentang masa depan dan akhir zaman serta berlaku peristiwa diangkat ke langit.

Yahudi
Sejarah Yahudi mencatat bagaimana Raja Daud (Nabi Daud AS) melarikan diri melintasi bukit ini semasa pemberontakan puteranya. Di lereng bukit ini juga merupakan tapak pengebumian Yahudi yang paling bernilai tinggi dan telah digunakan selama ribuan tahun.


Saya dapat melihat pemandangan Masjidil Aqsa dengan sangat jelas daripada Bukit Zaitun. Seluruh Kota Lama Jerusalem seolah-olah terhampar di depan mata. Pandangan dari jauh pada Kompleks Al Aqsa membuatkan hati tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke tanah berkat itu. 

Maqam vs Makam

Tapak-tapak yang dilawati seterusnya bukan makam atau kubur sebaliknya MAQAM merupakan monumen peringatan yang dibina di tempat bersejarah yang menunjukkan tempat beribadah serta keberadaan seseorang di situ pada masa lalu.

Maqam Rabiatul Adawiyah


Menziarahi Masjid Rabiatul Adawiyah di Bukit Zaitun. Maqam ini dibangunkan bagi memperingati jasa beliau yang pernah mengajar dan berdakwah di Palestin.

Emak sangat meminati kisah-kisah para wali Allah dan pernah bercerita kepada saya tentang Rabiatul Adawiyah,  seorang tokoh sufi wanita yang terkenal dalam sejarah Islam kerana kecintaannya yang mendalam kepada Allah SWT. Antara kisah hikmah beliau ialah apabila beliau terlalu rindu ke Mekah tetapi beliau tidak mampu, secara sedar Kaabah itu sendiri ditarik untuk berada di hadapannya oleh Allah SWT.

Rabiatul Adawiyah menghadapi ujian besar dalam hidupnya apabila beliau telah diculik dan dijual sebagai hamba. Dalam keadaan yang sukar  dan mencabar beliau tetap teguh beribadah kepada Allah. Selepas dibebaskan, beliau memilih untuk mengabdikan seluruh hidupnya kepada Allah SWT, hidup secara zuhud dan fokus sepenuhnya kepada pencarian cinta Illahi.


Tempat Rabiatul Adawiyah beribadah dikatakan di dalam gua. Gambar menunjukkan tangga turun ke tempat beliau beribadah.

Menurut catatan ulama, beliau wafat dan dikebumikan di Basrah, Iraq. Di Bukit Zaitun, kami melawat tapak yang dikenali sebagai Maqam Rabiatul Adawiyah yang berfungsi sebagai tugu peringatan, bukannya kubur sebenar di mana jenazah disemadikan.

Maqam Salman Al-Farisi

Menziarahi Masjid dan Maqam Salman Al Farisi yang berdekatan dengan Maqam Rabiatul Adawiyah di Bukit Zaitun. 

Saya mengenali nama Salman Al Farisi semenjak di bangku sekolah sebagai sosok sahabat yang mencadangkan penggalian parit dalam Perang Khandaq. Strategi beliau dalam Perang Khandaq meletakkan beliau sebagai seorang sahabat yang penting dalam sejarah Islam.

Salman Al Farisi adalah sahabat akrab Rasulullah SAW serta dikenali sebagai seorang yang bijaksana, berani, kuat beribadat dan zuhud terhadap kesenangan dunia.

Lokasi sebenar jasad beliau dikebumikan adalah di Salman Pak, Mada'in, Iraq. Maqam Salman Al Farisi di Bukit Zaitun ini dipercayai sebagai tempat beliau bersunyi dan beribadah kepada Allah. Maqam ini juga dibina sebagai mengenang pengembaraan beliau di bumi Palestin.

Kisah pengembaraan seterusnya bersambung di BAHAGIAN 3

Comments