Skip to main content

KEMBARA KE BUMI ANBIYA - BAHAGIAN 3

KEMBARA KE BUMI ANBIYA
BAHAGIAN 3


Kenangan membeli cenderamata untuk Nana semasa di Bukit Zaitun. Saya membeli topi musim sejuk dengan sulaman perkataan Jerusalem. Agak sukar untuk saya berjumpa cenderamata yang dijual dengan tulisan perkataan Palestine.

Hari berikutnya bermula dengan perjalanan yang lebih menarik dan mencabar. Saya telah menjejakkan kaki ke Kompleks Masjid Al Aqsa untuk menunaikan solat subuh. Kami solat di Masjid Kubah Kelabu, juga dikenali dengan nama Masjid Al-Qibli atau Jami'al Aqsa.


Diberi nama Masjid al-Qibli kerana kedudukannya paling hampir dengan arah kiblat (Mekah). Saya tidak berani mengambil gambar pada kali pertama masuk kawasan Al Aqsa kerana bimbang telefon dirampas oleh askar-askar  Israel yang berkawal di pintu masuk. Saya akan menulis dengan lebih lanjut tentang tanah berkat Al Aqsa ini di bahagian seterusnya.

Gambar dibawah ialah pintu masuk utama Masjid Al Qibli. Gambar diambil setelah kali kedua saya masuk ke Kompleks Al Aqsa.


Terpana dengan bebelan pemandu bas

Selepas sarapan kami menaiki bas untuk ke Hebron. Jarak Kota Lama Jerusalem dengan Hebron adalah lebih kurang 35 km. Destinasi seterusnya ialah Masjid Ibrahimi yang juga dikenali sebagai Al-Haram Al-Ibrahimi.

Sepanjang perjalanan, pemandu bas yang peramah tidak berhenti berbual dengan pemandu pelancong kami yang fasih berbahasa Arab. Pemandu bas bercerita tentang bagaimana keluarganya dibunuh oleh rejim Zionis Israel dan rumah serta tanah milik keluarganya telah dirampas.

Pemandu bas ini dengan semangat berkobar-kobar berkata kami rakyat Palestin tidak akan takut dengan kematian. Kami akan berjihad di jalan Allah dan tidak akan meninggalkan bumi Palestin. Menurut beliau, walaupun Arab Saudi dan negara-negara Islam yang lain kaya dengan hasil minyak, tapi nasib Palestin tidak boleh diharapkan kepada mereka. Kami hanya boleh menunggu Nabi Isa AS turun di akhir zaman dan selamatkan seluruh umat Islam termasuk rakyat Palestin.

Saya terpana seketika dengan kata-kata pemandu bas walaupun saya hanya faham setelah diterjemah oleh pemandu pelancong. Daripada aksi percakapan pemandu bas, saya yakin semangat juang beliau sangat tinggi walaupun diancam kehilangan nyawa. 

Memang benar, berdasarkan Hadis Nabi SAW, Nabi Isa AS akan turun ke bumi (diutuskan) untuk menyelamatkan umat Islam dan membunuh Dajal di Gerbang Lod (Bab Lud). Saat ini, Lod merupakan kota moden di tenggara Tel Aviv, Israel.

Saya tidak pernah berjumpa orang yang amat teguh pendiriannya sebagaimana pemandu bas Palestin itu di Malaysia. Semoga Allah merahmati kehidupan beliau.

Masjid Ibrahimi


Masjid Ibrahimi yang juga dikenali sebagai Makam Nabi Ibrahim dan keluarganya adalah tempat suci bagi umat Islam dan Yahudi yang terletak di Kota Lama Hebron, Tebing Barat. Gambar di atas menunjukkan laluan menaiki tangga menuju ke Masjid Ibrahimi. Tempat ini juga dikenali sebagai Cave of Patriarchs atau Cave of Makhpela adalah rangkaian gua bawah tanah yang terletak di dalam Kompleks Masjid Ibrahimi. Gambar di bawah ialah pintu masuk ke gua bawah tanah yang telah ditutup rapi.


Kami perlu melalui pos pemeriksaan tentera sebelum masuk dan masjid ini terbahagi kepada dua bahagian. Sebahagian masjid dan sebahagian sinagog (kuil Yahudi). Di sini tersimpan jasad Nabi Ibrahim AS dan Siti Sarah, Nabi Ishak AS dan isteri, Nabi Yaakub AS dan isteri. Gua ini juga turut menyimpan jasad Nabi Yusuf AS.

Emak sangat gembira apabila berada di sisi Makam Nabi Ibrahim AS yang juga seorang Rasul Ulul Azmi. Emak semakin teruja bila diberitahu oleh pemandu pelancong, Rasulullah SAW pernah menziarahi makam ini.


Di dalam masjid, makam-makam para nabi ditanda secara simbolik sementara jasad mereka sebenarnya berada 17 meter di bawah lantai masjid. Gambar di bawah kelihatan mimbar kayu bertatahkan gading hadiah daripada Sultan Salahuddin Al Ayyubi yang berusia 800 tahun dan masih elok terpelihara.



Sejujurnya saya bersyukur pada Allah kerana berpeluang berziarah di sini. Tempat ni merupakan salah satu destinasi suci bagi orang Islam selepas Mekah, Madinah dan Al Aqsa.

Kisah pengembaraan seterusnya bersambung di BAHAGIAN 4

Comments