Skip to main content

KEMBARA KE BUMI ANBIYA - BAHAGIAN 4

KEMBARA KE BUMI ANBIYA

BAHAGIAN 4

Ketika berada di dalam bas pulang dari Hebron, fikiran dan perasaan saya agak terganggu bila memikirkan nasib kanak-kanak yang tinggal di wilayah Tebing Barat. Kanak-kanak yang sedang bermain kelihatan kasar akibat hidup dalam keadaan mencabar tetapi mereka peramah. Ada di kalangan kami yang bersedekah wang dan gula-gula walaupun ditegah oleh pemandu pelancong warga Palestin.

Kanak-kanak di Hebron sebenarnya berdepan dengan risiko keselamatan, sekatan pergerakan oleh tentera Israel, terdedah kepada risiko serangan, kecederaan dan penculikan oleh peneroka haram Israel. Hidup dalam keadaan sukar, kanak-kanak Hebron terkenal dengan ketabahan dan keberanian. Mereka perlu berani untuk meneruskan kelangsungan hidup. Saya kagum dengan  kekuatan jiwa mereka. Mata tiba-tiba tertumpu kepada pemandu bas  yang bebelannya sebentar tadi memberi kesan pada jiwa saya. Akhirnya, saya faham mengapa semangat juang beliau amat tinggi !

Destinasi seterusnya ialah lawatan ke seluruh tanah berkat Al Aqsa.

Kompleks Al Aqsa

Al Aqsa bermaksud masjid/tempat suci yang paling jauh. Al Haram Ash-Sharif adalah nama lain bagi Kompleks Al Aqsa. Kompleks yang dikelilingi tembok ini mempunyai kawasan seluas 14 hektar terletak di Kota Lama Baitul Maqdis (Jerusalem). 

Menurut pandangan ulama, Nabi Adam AS adalah orang pertama yang membina Masjid Al Aqsa, iaitu kira-kira 40 tahun selepas pembinaan Kaabah di Mekah. Binaan pertama ini telah musnah ketika peristiwa banjir besar Nabi Nuh AS, kemudian dibina kembali oleh Nabi Ibrahim AS di atas tapaknya yang asal.

Keseluruhan kawasan adalah tanah wakaf umat Islam yang diwarisi sejak zaman para nabi dan dikuatkan dengan pengiktirafan oleh Khalifah Umar Al Khattab. Tanah tersebut adalah untuk kepentingan agama Islam selama-lamanya. Al Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci dalam Islam, kiblat pertama sebelum kiblat dipindahkan ke Masjidil Haram, Mekah dan lokasi berlakunya peristiwa Israk Mikraj.

Kompleks ini terletak tidak jauh dari hotel kami menginap dan kami hanya berjalan kaki ke gerbang masuk tembok Al Aqsa.



Melangkah masuk gerbang Al Aqsa saya merasakan seolah-olah saya berada di dalam sebuah kota lama. Perjalanan untuk sampai ke pintu masuk masjid lebih kurang 20 minit. Saya berkongsi gambar-gambar yang ada untuk tatapan pembaca.




Kompleks Al Aqsa mempunyai empat masjid di dalamnya iaitu Masjid al-Qibli, Masjid Kubah Emas (Dome of Rock), Masjid Buraq dan Masjid al-Marwani (Musolla Marwani)

Masjid al-Qibli


Masjid utama di Al Aqsa dan di sini juga merupakan tempat para Nabi dan Rasul bersujud. Ramai yang menyangka masjid ini adalah seluruh Masjid Al Aqsa tetapi masjid ini hanyalah salah satu bahagian daripada keseluruhan kawasan yang diberkati dan suci tersebut.

Mampu memuatkan sehingga 5,500 jemaah, masjid ini terletak sebelah selatan Al Aqsa tepat ke arah kiblat. Saya sempat bergambar di dalam Masjid Qibli dan diceritakan oleh pemandu pelancong, di sini juga sering berlaku pertumpahan darah akibat serbuan tentera Israel terhadap jemaah Palestin terutamanya pada waktu subuh dan semasa bulan Ramadan.


Gambar di bawah menunjukkan mihrab dan mimbar di dalam Masjid Qibli. Mihrab adalah ceruk dinding masjid yang menunjukkan arah kiblat ke Mekah. Mimbar adalah tempat untuk khatib menyampaikan khutbah.


Mimbar Salahuddin yang terkenal

Mimbar Masjid Qibli mempunyai kisah tersendiri yang mahsyur. Dikenali sebagai Mimbar Sallahudin. Dibina atas arahan Sultan Nuruddin Zanki di Aleppo, Syria yang bercita-cita untuk membawa mimbar ini ke Al Aqsa selepas bebasnya Baitul Maqdis dari tentera salib tetapi baginda wafat sebelum impian itu tercapai. Mimbar dengan ukiran daripada kayu cedar ini sangat halus buatan dan disemat dengan gading gajah dan cengkerang. Buatannya sangat rumit dan mengambil masa bertahun-tahun.

Sultan Sallahudin Al Ayyubi membawa mimbar itu dari Aleppo dan memasangnya di Masjid Qibli selepas berjaya membebaskan Baitul Maqdis daripada tentera salib. 

Mimbar asal ini pernah musnah terbakar dalam peristiwa pembakaran Al Aqsa oleh pelampau zionis dalam serangan yang disengajakan dalam tahun 1969. Mimbar replika yang ada sekarang ini digantikan baru dengan seliaan kerajaan Jordan dan dipastikan pembinaannya tepat seperti mimbar yang asal.

Ada dua mimbar yang dihadiahkan oleh Sultan Salahuddin Al Ayyubi iaitu satu di Masjid Qibli dan satu lagi di Masjid Ibrahimi, Hebron yang masih utuh sehingga kini walaupun telah berusia lebih kurang 800 tahun.

Kisah pengembaraan seterusnya bersambung di BAHAGIAN 5

Comments