KEMBARA KE BUMI ANBIYA
BAHAGIAN 5
Masih lagi berada di dalam kawasan Kompleks Al Aqsa, kali ini kami melawat Masjid As Sakhrah atau lebih dikenali sebagai Dome of Rock atau Masjid Kubah Emas. Terletak berdekatan dengan Masjid Al Qibli. Gambar di atas menunjukkan kedudukan Masjid Al Qibli dan Masjid Kubah Emas di dalam Kompleks Al Aqsa.
Masjid Kubah Emas atau Dome of Rock
Bangunan bersegi lapan dan berkubah emas yang terletak di tengah-tengah Kompleks Al Aqsa ini dibina di atas batu suci tempat Nabi Muhamad SAW memijaknya sebelum naik ke langit (Mikraj). Juga disebut Qubattul Mikraj bermaksud kubah tempat dimikrajkan.
Gambar di atas menunjukkan Sakhrah iaitu batu yang ingin mengikut Rasulullah SAW mikraj ke langit kerana kecintaannya kepada baginda. Batu tersebut dikatakan terangkat sedikit dari bumi selepas dilarang oleh Rasulullah SAW daripada terus mengikutnya.
Walaupun ada cerita popular tentang batu Sakhrah yang dikatakan terapung itu, fakta yang lebih tepat ialah batu itu terangkat sedikit ketika Nabi Muhamad SAW naik ke langit.
Hasil pembacaan saya, saya terjumpa catatan pengalaman seorang ulama besar iaitu Al Imam Abu Bakar Ibnul 'Arabi.
Menurut beliau, "Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Al Aqsa, tergantung dan terpisah dari bumi, tiada yang memegangnya melainkan Yang Memegang langit. Batu itu tergantung sehingga saya sendiri takut berada di bawahnya, bimbang batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya."
Ssesungguhnya hanya Allah yang mengetahui kebenaran hakiki mengenai batu Sakhrah itu. Wallahualam.
Saat ini batu Sakhrah digambarkan seolah-olah payung besar dan seperti gua jika kita masuk ke bawahnya. Ada yang mengatakan, sekarang batu itu dikonkrit dan tidak kelihatan tergantung. Di ruang bawah batu ada keluasan ruang solat untuk 25 orang atau lebih.
Saya berpeluang turun ke bawah batu Sakhrah dan melihat sendiri keadaan di bawah batu yang seakan-akan gua. Tetapi batu itu tidak lagi kelihatan tergantung. Ramai yang turun ke bawah batu untuk menunaikan solat sunat dan berdoa serta memuji kebesaran Allah SWT. Kelihatan dalam gambar ramai yang sedang menuruni tangga untuk masuk ke ruang bawah batu dengan pintu masuk umpama pintu gua.
Walaupun tiada hadis sahih berkenaan batu Sakhrah, batu yang terletak di tengah-tengah Al Aqsa itu tetap dihormati sebagai mercu tanda sejarah di Kompleks Al Aqsa. Juga disebut sebagai Sakhrah Muqadassah atau Batu Suci, batu ini memiliki kesucian yang setara dengan Hajarul Aswad yang terletak di Kaabah, Mekah.
Masjid Buraq
Lokasi Masjid Buraq di sebelah bucu kanan Masjid Qibli. Masjid ini terletak di ruang bawah tanah. Ada pintu kecil dan anak tangga yang agak menjunam turun ke tempat solat masjid yang terletak di bahagian bawah.
Di sinilah lokasi Nabi Muhamad SAW menambat Buraq, haiwan tunggangan dari syurga yang sepantas kilat, sebelum baginda mengimamkan solat para Nabi dan kemudiannya naik ke langit (Mikraj). Di dinding sebelah kiri, terdapat gelung besi yang dipasang untuk menandakan tempat Buraq ditambat.
Di sebelah Masjid Buraq letaknya Tembok Ratapan (Wailing Wall) iaitu sebahagian daripada tembok luar Kompleks Al Aqsa yang dianggap suci oleh Yahudi. Dinding sebelah kanan Masjid Buraq ini berkongsi dengan Tembok Ratapan Yahudi di mana Masjid Buraq di dalam Al Aqsa manakala Tembok Ratapan di bahagian luar tembok menjadikan kawasan ini sangat sensitif dan bersejarah bagi umat Islam dan Yahudi. Tembok Ratapan inilah di mana orang Yahudi meratap dan mengangguk-angguk kepala dalam salah satu ritual mereka.
Kisah pengembaraan seterusnya bersambung di BAHAGIAN 6
Comments
Post a Comment