KEMBARA KE BUMI ANBIYA
BAHAGIAN 6
Destinasi seterusnya ialah lawatan ke Masjid al-Marwani di dalam Kompleks Al Aqsa. Kunjungan ke sini banyak memberi kesan spiritual pada jiwa saya bila merasai sendiri berada di Mihrab Nabi Zakaria AS dan Mihrab Maryam. Saya juga merasakan kisah hidup saya juga tidak jauh bezanya dengan kisah di Mihrab Maryam. Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya.
Masjid al-Marwani (Musolla Marwani)
Masjid al-Mawarni atau Musolla Marwani terletak di bawah tanah dataran Kompleks Al Aqsa. Pada asalnya masjid ini masih di atas tanah lagi sebelum Masjid Al Qibli dibina. Semasa pembangunan Masjid Al Qibli, Masjid Al Marwani ini akhirnya terletak di ruang bawah sebelah timur Masjid Al Qibli. Gambar di bawah menunjukkan pintu masuk ke bawah tanah dan tangga yang sama dari bawah tanah keluar dari Masjid Al Marwani
Ruang dalam masjid ini dijadikan ruang solat tambahan jika Masjid Al Qibli dan Dataran Al Aqsa mengalami limpahan jemaah. Masjid ini mampu memuatkan 10,000 jemaah dalam satu masa.
Asal-usul binaan mengikut kepercayaan tradisi masyarakat setempat, dikatakan sebahagian daripada struktur asal bawah tanah masjid ini dibina oleh Nabi Sulaiman AS dengan bantuan jin. Di ruang bawah terdapat tiang-tiang teras batu yang dipercayai telah dibangunkan oleh pekerja-pekerja jin pada zaman Nabi Sulaiman AS (Surah Saba': 12-13).
Semasa zaman tentera salib, ruang masjid ini digunakan sebagai bangsal kuda dan digelar Solomon's Stable. Selepas berjaya membebaskan Baitul Maqdis, Sultan Sallahuddin Al Ayyubi memeritahkan kawasan itu dibersihkan dan dipulihkan untuk digunakan semula sebagai tempat solat. Gambar di bawah menunjukkan masih terdapat kesan lubang pada tiang masjid yang digunakan untuk menambat kuda tentera salib.
Mihrab Nabi Zakaria AS
Nabi Zakaria AS ialah seorang Nabi yang diutuskan Allah untuk berdakwah kepada Bani Israel dan beliau meneruskan ajaran dari Nabi Sulaiman AS dan Nabi Daud AS. Nabi Zakaria AS adalah pengelola Baitul Maqdis dan penjaga Maryam, ibunda Nabi Isa AS (Surah Ali Imran : 35)
Mihrab Nabi Zakaria AS ialah tempat khusus di bahagian timur Masjid Al Qibli di mana Nabi Zakaria AS beribadat dan menjaga Maryam.
Dipercayai Nabi Zakaria AS sering berkunjung ke bilik Maryam melalui laluan ini. Gambar di bawah menunjukkan laluan menuju ke bilik kecil di mana tempat Maryam beribadat.
Semasa melawat Maryam, Nabi Zakaria AS menemukan makanan dan buah-buahan yang bukan musimnya. Buah musim dingin ada di musim panas dan sebaliknya. Lantas Nabi Zakaria AS bertanya Maryam di manakah beliau perolehi makanan ini sedangkan beliau tidak pernah keluar dari mihrabnya dan tiada siapa yang mengunjunginya. Maryam menjawab," Makanan ini pemberian Allah kepadaku. Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa perhitungan (Surah Ali Imran : 37)
Mihrab Maryam
Nabi Zakaria berdoa di mihrab Maryam setelah melihat karamah rezeki yang Allah berikan kepada Maryam. Tiada yang mustahil bagi Allah. Nabi Zakaria AS telah berdoa selama 70 tahun memohon keturunan dengan ikhlas dan sabar walaupun usianya sudah lanjut dan isterinya mandul. Doa Nabi Zakaria AS di mihrab ini dikabulkan Allah dan baginda dikurniakan seorang pewaris iaitu Nabi Yahya AS.
Gambar di bawah menunjukkan tangga naik ke mihrab Maryam tetapi pintu bilik kecil telah dikunci untuk pengunjung dan kami hanya dapat melihat bilik kecil mihrab Maryam itu dari luar melalui jaring besi di pintu masuk.
Saya telah membuat carian gambar suasana bilik kecil mihrab Maryam yang lebih jelas seperti di bawah.
Emak bergosip
Di kaki lima di hadapan bilik kecil mihrab Maryam saya telah bersolat sunat dan memohon dikurniakan zuriat memandangkan saya juga menghadapi situasi yang sama iaitu tiada zuriat.
Selesai solat saya terdengar emak bergosip dengan jemaah wanita yang lain mengatakan emak hairan dengan saya yang sentiasa kelihatan tenang dalam keadaan tiada zuriat dan tiada keinginan langsung untuk mengambil anak angkat. Sempat lagi emak bercakap-cakap bergosip di belakang saya !!! Saya hanya diam dan tersenyum sendirian dengan gelagat emak.
Tenang tanpa zuriat
Pada mulanya saya juga berasa sedih dengan keadaan tiada zuriat, tambahan pula masyarakat sering memberi gambaran hidup saya akan berakhir keseorangan di usia tua dan akan mati sendirian. Namun begitu, kita semua tidak tahu sama ada kita sempat melewati usia tua atau tidak. Ajal maut adalah rahsia Allah.
Bagi saya, jika kehidupan kita tidak berjalan seperti yang kita inginkan bermakna ianya berjalan seperti yang Allah inginkan. Saya yakin pilihan Allah adalah yang terbaik untuk saya dan suatu hari nanti saya akan bersyukur dengan takdir ini.
Ya, ada benarnya ! Selepas 20 tahun melayari perkahwinan saya kembali sendiri. Saya masih tetap yakin semua takdir Allah adalah terbaik untuk saya.
Semasa mengerjakan ibadah haji tahun lepas, di hadapan Kaabah saya bersyukur dengan semua anugerah Allah pada kehidupan saya walaupun tanpa zuriat, bersendirian dan kelihatan tidak sempurna pada orang lain. Ujian kehidupan tetap silih berganti tetapi saya bahagia dan menikmati kehidupan saya walaupun masyarakat menganggap hidup saya sebaliknya. Sesungguhnya Allah sentiasa dekat. Allah adalah sebaik-baik pengatur rezeki dan jalan cerita hidup kita.
Apa yang Allah tentukan itulah yang terbaik. ❤️
Kisah pengembaraan seterusnya bersambung di BAHAGIAN 7
Comments
Post a Comment