Skip to main content

RENDANG RAYA, KENANGAN BERSAMA EMAK

RENDANG RAYA, KENANGAN BERSAMA EMAK


Menjelang hari raya, emak akan menjadi orang yang paling sibuk di dapur rumah Taman Sopiah. Apabila emak sibuk, saya pun terpaksa menjadi sibuk sebelum emak "bersuara". Sehari sebelum hari raya, saya wajib bercuti dan berada di rumah Taman Sopiah untuk bertugas sebagai pembantu emak di dapur. 

Mungkin saya adalah pembantu yang paling mahir dan "tahan leteran" memandangkan semenjak kecil saya sudah biasa membantu emak dengan kerja-kerja di dapur. Akibat "terlalu" cekap, mahir dan pantas membuat kerja membantu emak di dapur, saya pernah membuang semangkuk minyak masak yang emak hendak gunakan untuk menggoreng ikan. Bukan sahaja minyak dibuang, tetapi mangkuk yang diguna untuk mengisi minyak siap dibasuh dan dikeringkan dalam "para". Kehilangan minyak untuk menggoreng ikan ini umpama suatu misteri kepada emak sehingga saya memberitahu saya yang membuangnya.

Rumah Taman Sopiah, mempunyai para pinggan mangkuk seperti rumah orang dahulu. Para pinggan mangkuk ini berlantai kayu jarang supaya aliran udara lebih baik dan pinggan mudah kering. Saya berkongsi gambar para pinggan mangkuk sebagai kenangan arwah bapa membina rumah ini dalam tahun 1975. 


Dalam insiden lain, saya pernah membasuh kuali panas selepas menggoreng ikan sebaik saja emak meletakkan kuali panas ini ke dalam sinki. Semua jari saya menjadi kemerahan akibat terpegang kuali yang masih panas. Emak kemudiannya menjadi sangat berhati-hati jika saya membantu beliau di dapur, risau insiden terpegang kuali panas berulang lagi. 

Rendang Raya Emak

Selepas emak meninggal dunia pada tahun 2023, saya baru menyedari saya tidak mempunyai salinan resepi untuk rendang yang emak masak pada hari raya saban tahun. Saya bersama adik saya, Maziah hanya meneka kuantiti bahan-bahan walaupun kami sedia maklum bahan apa yang ada dalam resepi rendang emak. Sehingga pada awal tahun ini, adik saya Hanif menunjukkan koleksi gambar yang beliau simpan. Melihat pada gambar, saya dapat mengagak kuantiti bahan-bahan untuk membuat rendang mengikut cara emak.


Walaupun emak telah meninggalkan kami semua hampir 3 tahun, menjelang hari raya saya semakin merindui emak. Saya akan mula terbayang bagaimana emak sibuk membuka daun palas, menanak pulut, membalut dan merebus ketupat, memasak rendang, memasak nasi bukhari yang sedap, daging masak hitam, dalca dan ayam goreng rempah "signature dish" emak. Paling saya ingat bila emak dan Tok Cik mengukus kek buah dengan aroma buah pala yang sedap selama 4 jam. 


Kisah Santan

Kisah ini berlaku dalam tahun 1990an apabila emak menyuruh adik saya Hafeez keluar ke pasar membeli santan, sehari sebelum hari raya. Selepas solat subuh, Hafeez keluar ke pasar tetapi sehingga pukul 11 pagi, beliau masih belum pulang ke rumah. Emak sangat risau dan hampir hendak laporkan kehilangan adik pada pihak polis. Saya beritahu emak, kehilangan adik masih belum melepasi tempoh 24 jam, jadi belum sesuai untuk membuat laporan polis. Akhirnya Hafeez pulang membawa santan. Beliau terpaksa berbaris panjang selama beberapa jam sebelum berjaya membeli santan. Pada hari raya tahun berkenaan, Hafeez menjadi watak paling popular sebagai "anak yang taat" apabila emak bercerita kepada semua tetamu yang datang tentang kisah Hafeez dan santan.  😂

Resepi Rendang Raya Emak

Berikut adalah resepi bergambar untuk memasak rendang daging untuk kuantiti 3.5 kg daging. Bahan-bahan yang digunakan seperti di dalam gambar di bawah.


Semua bahan di atas dikisar kecuali daun kunyit yang akan dihiris halus dan dimasukkan apabila rendang hampir siap. Lengkuas dan santan tiada dalam gambar.  Ketika gambar di ambil, lengkuas (ukuran 3 inci) dan santan (1 kg) masih lagi berada di pasar. Lengkuas dikupas dan dihiris nipis sebelum dikisar.


Gambar di atas menunjukkan bahan-bahan yang telah dikisar. Saya mengisar lengkuas bersama dengan serai dan kelihatan dalam gambar, plastik berisi kerisik di sebelah atas kanan. Saya menggunakan setengah plastik kerisik untuk rendang daging ini.


Panaskan minyak dalam kuali, tumis semua bahan yang dikisar iaitu bawang, serai, kunyit, halia, lengkuas dan cili kering sehingga wangi. Kemudian masukkan daging.


Setelah daging empuk dan tumisan tadi telah pecah minyak, masukkan santan dan kerisik. Perasakan dengan gula dan garam. Saya menggunakan "gula gerek" untuk membangkitkan sedikit rasa lemak manis dan wangi. Teruskan masak sehingga daging benar-benar empuk dan kuah menjadi sedikit kering. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit bagi menambah aroma rendang. Setiap tahun saya akan masukkan juga hirisan daun limau purut tetapi tahun ini tiada daun limau purut di dalam rendang kerana pokok limau purut kecil saya telah dicantas oleh orang yang datang mesin rumput.


Rendang daging cara emak telah siap dan sedap dimakan bersama ketupat daun palas atau nasi.

Takbir raya sayup bergema
Rendang emak mengusik jiwa

Comments