KEMBARA KE BUMI ANBIYA
BAHAGIAN 7
Setelah menjelajah hampir keseluruhan Kompleks Al Aqsa, tiba masanya kami meninggalkan tanah berkat dan suci ini dengan membawa pulang pengalaman dan pengajaran yang amat bernilai. Pelancong beragama Islam hanya dibenarkan berada di Palestin (Jerusalem) selama 3 hari 2 malam. Hari ini merupakan hari terakhir kami berada di sini dan akan bertolak pulang ke Jordan.
Berjalan pulang ke hotel, kami melalui pasar-pasar jualan di Kota Lama Baitul Maqdis. Pasar di Kota Lama Baitul Maqdis menggambarkan usaha warga Palestin untuk mencari rezeki di tanah mereka sendiri walaupun pergerakan mereka terbatas. Pelbagai barangan dijual dan seperti kebiasaan saya akan mudah tertarik pada kedai yang menjual manisan dan gula-gula yang berwarna-warni. "My inner child is screaming" bila terjumpa kedai gula-gula walaupun saya tidak membelinya. 😂
Kami bertolak ke Jordan dengan menaiki bas dan berpeluang melalui pinggir bandar Tel Aviv. Tel Aviv adalah bandar dan pusat ekonomi utama negara Israel. Saya dapat melihat perbezaan yang amat ketara antara bandar Kota Lama Baitul Maqdis dan Hebron dengan bandar Tel Aviv. Bandar Tel Aviv sangat moden dan majoriti penghuninya ialah kaum Yahudi.
Laut Mati
Laut Mati terletak di sempadan Jordan dan Palestin. Kawasan Laut Mati ini dipercayai tapak asal negeri kaum Nabi Luth AS iaitu Sodom dan Gomorrah. Laut Mati adalah titik terendah di bumi dengan kedalaman lebih 400 meter di bawah aras laut. Untuk sampai ke Laut Mati, kita perlu menuruni lurah yang sangat jauh ke dalam. Suhu Laut Mati adalah panas dan cerah sepanjang tahun.
Dari Kota Lama Baitul Maqdis, saya berbaju sejuk tetapi apabila tiba di Laut Mati saya terpaksa menanggalkan semua pakaian sejuk saya dan akhirnya berpakaian seperti di Malaysia. Gambar berikut adalah suasana panas terik Laut Mati dan saya "berselfie" dengan keadaan tudung saya yang longgar dan terkebelakang akibat larangan memakai dan membawa "brooch" ke Palestin. Adalah melucukan bila askar Israel menganggap "brooch" adalah sejenis senjata tajam. Saya akan mengingati perkara ini sehingga akhir hayat.
Laut Mati adalah hukuman Allah terhadap kaum Nabi Luth AS. Airnya terlalu masin sehingga tiada kehidupan yang hidup sesuai dengan sifat kawasan yang dikutuk dan diazab Allah.
Nabi Luth AS adalah anak saudara Nabi Ibrahim AS yang mengikut Nabi Ibrahim berpindah dari Babylon ke Palestin dan Mesir dan kemudian mendiami Kota Sodom di wilayah Jordan. Menurut Al Quran, kaum Nabi Luth AS dibinasakan kerana mengamalkan gaya hidup songsang dan menolak dakwah baginda.
Allah telah mengutuskan tiga malaikat iaitu Jibril, Mikail dan Israfil dalam rupa manusia yang sangat tampan sebagai tetamu Nabi Luth AS. Kebimbangan Nabi Luth AS yang kaumnya akan berbuat perkara keji kepada tetamunya menjadi kenyataan. Isteri Nabi Luth AS telah sengaja membocorkan rahsia kedatangan tetamu yang tampan kepada penduduk Sodom. Mereka telah mengepung rumah Nabi Luth AS dan menggesa tetamu-tetamu yang tampan itu diserahkan pada mereka.
Nabi Luth AS berusaha melindungi tetamunya dan menyeru kaumnya menjauhi larangan Allah tetapi mereka ingkar. Malaikat meminta Nabi Luth AS dan kaumnya meninggalkan negeri itu pada malam hari bersama pengikutnya. Menjelang fajar menyingsing, azab Allah pun datang.
Malaikat telah mengangkat negeri mereka ke langit dan diterbalikkannya ke bawah. Mereka juga dihujani batu-batu dari tanah yang keras bertubi-tubi. Semua penduduk yang ingkar termasuk isteri Nabi Luth AS binasa.
Al Quran dan Kisah Nabi Luth AS
Surah Al 'Araf : 80- 84
Kaum Nabi Luth merupakan kaum pertama (pelopor) yang melakukan perbuatan homoseksual secara terang-terangan.
Surah Hud : 77 - 83
Kisah kedatangan malaikat yang menyamar sebagai tetamu tampan. Kepungan penduduk Sodom di rumah Nabi Luth AS dan azab yang ditimpa menjelang subuh.
Surah Al Hijr : 57 -58
Dialog Nabi Luth AS dengan para malaikat sebelum negeri itu diterbalikkan dan dihujani batu.
Surah As Syu'ara : 160 - 175
Penolakan kaum Luth terhadap dakwah baginda dan bagaimana Allah selamatkan Nabi Luth AS dan keluarga kecuali isterinya.
Surah Al Ankabut : 28 - 35
Doa Nabi Luth AS memohon pertolongan Allah terhadap kaum yang melakukan kerosakan. Tanda kehancuran mereka menjadi bukti kepada orang yang berakal.
Surah Al Qamar : 33 - 40
Gambaran ringkas tentang azab hujan batu yang menimpa mereka dan bagaimana keluarga Nabi Luth AS diselamatkan pada waktu sebelum fajar.
Surah Adz Dzariyat : 31 - 37
Kisah perbualan Nabi Ibrahim AS dengan para malaikat sebelum mereka bergerak ke negeri kaum Luth untuk menjalankan perintah azab.
Hukum melawat tempat azab
Hukumnya adalah makruh jika tujuannya hanyalah untuk berseronok atau melancong tanpa pengajaran.
Saya hanya pergi ke situ atas program lawatan walaupun emak asyik menyebut Rasulullah SAW melarang kita mendekati tempat yang dilaknat dan diazab Allah. Saya faham, emak selalunya akan risau dan tidak selesa melakukan perkara yang ditegah oleh Rasulullah.
Saya merasakan lawatan ini memberi rasa keinsafan dan iktibar dengan melihat sendiri bukti kekuasaan Allah. Saya langsung tidak menghampiri laut kerana berasa gerun apabila amat jelas kelihatan laut itu seolah-olah terbenam paling bawah dan tebing daratan tempat saya berdiri sangat tinggi dan membentuk lurah yang dalam serta jauh dari laut.
Nauzubillahiminzalik
Lokasi lawatan seterusnya ialah Ain Musa atau Mata Air Musa di Jordan.
Kisah pengembaraan seterusnya bersambung di BAHAGIAN 8
Comments
Post a Comment