Skip to main content

KEMBARA KE BUMI ANBIYA - BAHAGIAN 8

KEMBARA KE BUMI ANBIYA

BAHAGIAN 8


Ain Musa (Mata Air Musa)

Ain Musa (Mata Air Musa) di
Jordan ialah mata air bersejarah di pinggir bandar Wadi Musa berdekatan tapak arkeologi Petra. Merupakan mukjizat Nabi Musa AS yang memukul batu dengan tongkatnya atas perintah Allah lalu terpancar mata air. Mata air ini masih mengalirkan air sehingga hari ini dan terletak di dalam sebuah struktur bangunan kecil berbumbung tiga kubah yang sering dikunjungi pelancong ke Jordan.


Perjuangan luar biasa Nabi Musa AS

Saya telah bercerita sebahagian kisah perjuangan Nabi Musa AS di Bahagian 1 selepas menziarahi Makam Nabi Musa AS di Jericho. Nabi Musa AS dibesarkan di istana Firaun, tiba-tiba meninggalkan segalanya demi menyelamatkan kaumnya. Dari Mesir, baginda memimpin Bani Israel membelah Laut Merah dan mengalahkan Firaun dan tenteranya.

Setelah keluar dari Mesir, Nabi Musa AS membawa kaumnya merentasi padang pasir yang tandus (semasa perjalanan mereka di bumi Jordan). Mereka kehausan, kehabisan bekalan air dan meminta air dari baginda. Atas perintah Allah SWT, Nabi Musa AS telah mengetuk seketul batu besar menggunakan tongkatnya. Hasil ketukan itu, batu itu terbelah dan terpancar 12 mata air, mewakili setiap satu daripada 12 suku kaum Bani Israel agar mereka tidak berebut- rebut untuk mendapatkan bekalan air. (Surah Al Baqarah : 60)


Kami tiba di Ain Musa menjelang malam, saya dapati air dari Mata Air Musa ini mengalir tanpa henti. Saya dan emak membasuh muka dengan air dari mata air tersebut. Ramai juga yang menadah air di dalam botol mineral untuk dibawa  balik ke hotel. Gambar di bawah kelihatan emak sedang duduk di atas sebahagian batu yang dipercayai diketuk dengan tongkat Nabi Musa AS.


Menurut sejarah, sumber air ini pernah disalurkan oleh kaum Nabatean ke dalam kota Petra menggunakan sistem saliran yang sangat maju pada zaman dahulu.

Selepas melawat Ain Musa kami bertolak ke Edom Hotel yang terletak di tengah bandar Wadi Musa. Sampai di Edom Hotel kami terus disajikan dengan jamuan makan malam. Menu makan malam lebih kepada hidangan tradisional Jordan dan Timur Tengah yang menyelerakan. Tetapi setiap meja hidangan hanya terhad kepada satu jug minuman air sejuk. Sudah pasti satu jug air sejuk tidak mencukupi untuk kami yang memang dahaga setelah perjalanan jauh. Kami cuba bertanya sekiranya kami boleh membeli air mineral atau membayar tambahan untuk satu lagi jug air sejuk. Malangnya, pramusaji hotel memaklumkan air mineral atau air sejuk tidak dijual kepada pelanggan.


Emak bergosip lagi

Emak dan kawan-kawan emak mula bergosip lagi bila hotel tidak menjual air mineral dan air sejuk yang disediakan semasa makan malam juga terhad. Kali ini sasaran yang kena gosip bukan lagi saya, tapi kerajaan Jordan !!! 🤣
"Geng gosip" emak menyalahkan negara Jordan yang tidak menggunakan sumber air yang telah Allah izinkan mengalir tanpa henti di Ain Musa dikomersialkan untuk minuman orang ramai. Saya agak terhibur bila mendengar kumpulan sahabat guru-guru pencen ini bersembang.

Saya telah membuat carian di enjin carian web dan memang betul kerajaan Jordan tidak mengkomersialkan air mineral Ain Musa di Wadi Musa walaupun air dari mata air ini disahkan kaya dengan kandungan mineral dan boleh diminum terus oleh orang ramai. Kerajaan Jordan lebih menumpukan Ain Musa kepada aspek kepentingan agama, sejarah, kegunaan ziarah, pertanian dan bekalan air tempatan.

Keesokan harinya selepas sarapan kami semua bersiap sedia untuk ke tapak arkeologi bandar purba Petra yang lokasinya berdekatan dengan hotel. Saya sempat bergambar dengan emak di hadapan Edom Hotel sebelum bertolak ke Petra. Gambar berikut adalah ahli-ahli rombongan yang menyertai lawatan ke Palestin dan Jordan ini.


Kisah pengembaraan seterusnya bersambung di BAHAGIAN 9

Comments