Skip to main content

KEMBARA KE BUMI ANBIYA - BAHAGIAN 9

KEMBARA KE BUMI ANBIYA

BAHAGIAN 9

Bandar Purba Petra

Bandar purba Petra, yang juga dikenali sebagai " Lost City" atau "Bandar Batu" merupakan ibu kota purba kerajaan Nabatea di selatan Jordan. Terletak di lembah di antara gunung-ganang dan terkenal dengan seni bina yang dipahat terus pada tebing batu berwarna merah jambu, Petra adalah sejarah kaum purba dan laluan para Nabi menjadikannya tapak arkeologi yang sangat bernilai.

Petra Visitor Centre, Wadi Musa

Merupakan pintu masuk utama ke tapak arkeologi. Di sini pemandu pelancong menguruskan pembelian tiket untuk masuk ke tapak arkeologi bandar purba Petra. Sambil menunggu pembelian tiket, emak dan kawan-kawan sempat berbual-bual. Saya berpeluang mengambil gambar kenangan kumpulan mereka iaitu dari kiri Cikgu Aishah, Cikgu Rohani, emak saya Cikgu Habibah dan Cikgu Hamidah. Mereka semua telah berpencen dan mengajar di sekolah yang sama semasa masih berkhidmat.



Al Khazneh (The Treasury atau Perbendaharaan)


Gambar di atas ialah The Treasury atau Al Khazneh dalam bahasa Arab. Monumen yang paling terkenal di bandar purba Petra, Jordan. Dibina oleh kaum Nabatean, struktur setinggi 39.5 meter ini tidak dibina menggunakan blok batu, sebaliknya diukir terus ke dalam tebing batu pasir berwarna merah jambu dari atas ke bawah.

Fungsi sebenar The Treasury atau Perbendaharaan ini menurut ahli arkeologi adalah sebagai makam diraja atau kuil, bukan sebagai tempat menyimpan harta.


Al Siq (Batu Terbelah atau Ngarai)

Merupakan pintu masuk utama dan laluan ke bandar purba Petra. Al Siq bukan sekadar jalan biasa tetapi sebuah ngarai (cleft/canyon) sempit yang terbentuk secara semulajadi akibat aktiviti rekahan bumi di sepanjang 1.2 km masuk ke Petra. Di kiri kanan adalah dinding batu pasir dengan ketinggian 80 meter. Selain pintu masuk, kaum Nabatean membina saluran air di sepanjang dinding Al Siq untuk mengalirkan air bersih ke pusat bandar Petra.

Perjalanan ke tapak arkeologi

Jarak dari pintu utama kira-kira 2 km dan masa berjalan kaki antara 30 hingga 45 minit. Jika tidak mahu berjalan kaki pilihan yang ada pada ketika itu ialah menunggang unta, kuda atau menaiki kereta kuda kecil yang hanya muat untuk 2 orang penumpang.


Saya mula berdebar-debar dengan pilihan yang ada. Kereta kuda kecil yang ada sangat terhad dan pelancong juga ramai. Pilihan untuk saya menunggang unta, pasti tidak sama sekali, dengan ketinggian unta dan bonggol tinggi di belakang unta, saya sudah bayangkan saya akan jatuh tergolek umpama nangka busuk.


Emak dan Cikgu Hamidah yang bertongkat memang tiada pilihan lain kecuali menunggu giliran untuk menaiki kereta kuda kecil. Akhirnya saya dan Cikgu Rohani terpaksa menunggang kuda sehingga pintu masuk Al Siq. Sukar saya gambarkan perasaan saya ketika menunggang kuda, antara rasa takut, seronok dan rasa kasihan pada kuda yang membawa saya semuanya bercampur-baur. Menunggang kuda rupanya sangat seronok bila kita mula pandai mengimbangi badan dengan pergerakan kuda. Suatu pengalaman yang menarik !! Tetapi maaf, saya tidak sanggup untuk berkongsi gambar saya menunggang kuda di sini.


Menelusuri Al Siq umpama lorong menuju ke zaman silam. Lorong sempit yang diapit tebing batu tinggi dengan cahaya matahari yang terpancar masuk melalui celah kecil dinding pasir merah dan jingga kelihatan sangat indah. Setiap langkah terasa seperti berada di alam yang lain.


Keluar dari Al Siq, terus saya ternampak Al Khazneh, ikon utama Petra. Saya yang pernah bercita-cita menjadi ahli arkeologi dan sejarawan ini terasa seolah-olah diri ini Indiana Jones !! Melihat struktur Al Khazneh saya terpesona serta kagum dengan keindahannya. Gunung dipahat dengan indah, gunung ditebuk seakan mereka mampu menakluk batu-batan gunung. Memang wajar, Petra diiktiraf sebagai salah satu daripada tujuh (7) keajaiban dunia.

Gambar sekitar Petra

Emak dan kawan-kawan bergambar dengan pemandu pelancong kami yang fasih berbahasa Arab.


Lereng bukit dan gunung batu pasir yang tinggi memberikan perlindungan semulajadi kepada ibukota ini. 

Pengalaman menaiki kereta kuda kecil

Saya berpeluang menaiki kereta kuda kecil semasa keluar dari tapak arkeologi. Kereta kuda yang kecil dinaiki bersama pemandu kereta kuda, Cikgu Aishah dan saya. Kereta kuda dipandu sangat laju sehingga saya terasa seolah-olah hampir terkeluar jatuh dari kereta kuda. Tambahan pula kami berkongsi tempat duduk dalam kereta kuda kecil itu. Pengalaman yang menakutkan tapi menggelikan hati. Saya dan Cikgu Aishah ketawa sepanjang  perjalanan keluar. Sangat melucukan bila kami sendiri tidak tahu  di mana tangan kami perlu memegang untuk elakkan dari terkeluar jatuh daripada kereta kuda. 


Kegemilangan dan Kejatuhan Petra

Petra merupakan lokasi strategik bagi laluan perdagangan. Kepakaran kaum Nabatean dalam teknologi mengurus sumber air ke kawasan gersang serta kepakaran dalam seni bina teknik pahatan telah melonjak kegemilangan ibu kota purba ini  pada awal Masihi.

Kota ini kemudian jatuh ke tangan Empayar Rom. Perubahan laluan perdagangan laut dan gempa bumi yang dasyat membuatkan kota ini ditinggalkan. 

Petra hilang dari pengetahuan dunia Barat selama ratusan tahun sehingga ditemui semula oleh pengembara Switzerland pada tahun 1812.

Indiana Jones and the Last Crusades (1989)

Saya mula mengenali kota purba Petra ini pada tahun 1989, semasa berumur 17 tahun, melalui filem Indiana Jones and the Last Crusades. Semasa itu saya bercita-cita menjadi ahli arkeologi tapi berakhir dengan menjadi seorang jurukira. 😆

Kisah pengembaraan seterusnya bersambung di BAHAGIAN 10

Comments