Dari Malabar, India ke Singapura
Emak selalu cerita tentang asal usul Wan Murad ( ayah kepada emak ). Diceritakan datuk kepada Wan Murad yang bernama Maidin datang dari Malabar, India dengan menaiki kapal yang berlayar dan berlabuh di Singapura. Maidin memulakan perniagaan di Singapura dan dikatakan mempunyai pinggan mangkuk dan cawan yang bercop. Emak berpendapat Maidin mempunyai perniagaan restoran dengan pinggan mangkuk dicop nama perniagaan beliau.
Maidin kemudiannya berkahwin dengan Cina Singapura yang emak sebut sebagai Tok Nya dan kemudian mereka berpindah ke Siam.
Tok Nya semasa berkahwin dengan Maidin sudah mempunyai 2 orang anak hasil dari perkahwinan terdahulu. Emak berpendapat Maidin dan Tok Nya berpindah ke Siam berkemungkinan mereka dipulau oleh komuniti India Muslim Singapura kerana Maidin telah berkahwin dengan wanita berbangsa Cina.
Emak juga bercerita semasa di Siam, Tok Nya seorang wanita yang cantik telah diculik oleh Raja Siam. Diceritakan Tok Nya sedang menyidai ( mengangin ) rambut panjangnya yang masih basah di tingkap rumah. Pada masa yang sama Raja Siam telah lalu di kawasan itu dan ternampak Tok Nya yang sedang mengeringkan rambut panjangnya yang cantik. Baginda terus menitahkan supaya Tok Nya ditangkap dan dibawa ke istana.
Maidin sangat susah hati apabila Tok Nya diculik oleh Raja Siam. Beliau telah membuat kenduri dan doa hajat selama sebulan. Berdoa supaya Tok Nya dapat kembali ke pangkuannya.
Emak bercerita Maidin telah mengupah orang yang membawa masuk bekalan makanan ke istana untuk menyeludup Tok Nya keluar dari istana. Tok Nya berjaya diseludup keluar dari istana Raja Siam. Maidin kemudian membawa keluarganya berpindah ke Kedah dan menetap di Alor Setar.

Al Fatihan buat ibu penulis
ReplyDelete