Skip to main content

BILA EMAK BERCERITA...KISAH 2

Emak sering bercerita tentang Che Mat bin Maidin, moyang saya. Che Mat adalah anak kepada Maidin dan Tok Nya. Che Mat boleh bertutur dalam 5 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Siam.

Emak mengatakan Che Mat  juga bertugas sebagai jurubahasa Sultan dan berkhidmat sebagai kerani dalam pentadbiran negeri Kedah. Nama moyang saya Che Mat bin Maidin tercatat  dalam sejarah pendidikan negeri Kedah.

" Pada tahun 1897, sekolah melayu yang pertama di Alor Setar didirikan di Jalan Baharu atas inisiatif Wan Abdullah, seorang Menteri di Kedah dengan guru pertamanya, Che Ahmad bin Kerani Maidin. Sebelum itu tiada sekolah didirikan di bandar Alor Setar..."

Che Mat berkahwin dengan Tok Yah ( Tok Yah digelar Tok Yah Tembun kerana Tok Yah berbadan besar dan emak bercerita Tok Yah Tembun tidak dapat berkongsi dengan penumpang lain sekiranya menaiki beca ). 

Sebelum Tok Yah berkahwin dengan Che Mat, Tok Yah telah mempunyai 7 orang anak. Diceritakan Tok Yah bersuamikan seorang penagih candu. Suami Tok Yah telah meminjam perahu dan dayung Che Mat dan terus hilang bersama- sama perahu dan dayung yang dipinjamnya.

Setelah sekian lama hilang, Tok Yah yang menjaga 7 orang anaknya telah dipinang oleh Che Mat. Emak bercerita semasa meminang Tok Yah, Che Mat berkias yang dia mahukan perahu yang mempunyai 7 pendayung. Maksud Che Mat ialah Che Mat sudi berkahwin dan menjaga Tok Yah dan 7 orang anaknya. 

Akhirnya Che Mat mengahwini Tok Yah dan dikurniakan 2 orang anak iaitu Murad dan Wan Teh. Murad adalah datuk saya ( ayah emak saya, Habibah binti Murad ).

Emak bercerita yang Che Mat mempunyai 4 orang isteri dalam satu masa. Che Mat tidak pernah ingat giliran isteri-isteri yang mana, pemandu beca Che Mat selalunya akan mengingati giliran mana dan terus membawa Che Mat ke rumah isteri mengikut giliran.

Anekdot

Poligami pada masa dahulu lebih kepada membantu wanita ( janda, balu yang tiada tempat bergantung ). Tiada pula istilah penyondol atau perampas seperti yang dinyatakan dalam media sosial masa kini 😆

Comments

  1. Tahniah Aida.Teruskan menulis.Hebat sungguh salasilah keluarga hang.Tak sabar nak tunggu kisah 3 dan seterusnya.

    ReplyDelete
  2. Poligami halal dalam agama.Tapi nafsu perempuan biasanya nak 100% memiliki.Tak mau berkongsi.Yang paling utama,sang suami.
    Sepatutnya kena main peranan,faham maksud adil yg tepat dan betul2 faham hukum hakam dalam agama.Bukan ikut nafsu dan kehendak dunia semata-mata.Apa2pun berbalik kpd agama dan hukum yang sebenar2nya yg dah Allah swt tetapkan.Ni cara fikir Sep la🥰

    ReplyDelete

Post a Comment