Hafiza adalah nama panggilan saya di kalangan keluarga dan saudara-mara. Emak bercerita bapa yang mahukan saya dipanggil Hafiza, bukan Aida. Bapa bercadang sekiranya ada anak perempuan selepas saya, adik perempuan saya itu akan dinamakan Aida Haniza. Sekiranya saya dipanggil Aida, agak susah untuk mengenalpasti Aida yang mana tanpa menyebut nama belakang.
Tapi kisah ini berkaitan saya dan sayuran yang sering menimbulkan masalah pada emak dan bapa saya. Umur saya pada ketika itu di antara 1 hingga 5 tahun. Majoriti kanak-kanak sebaya itu tidak menggemari sayuran walaupun berkali-kali diceritakan manfaat jika makan sayur-sayuran.
Princess of Vegetables
Saya teringat anak saudara saya, Yaya ( anak ketiga Emi, sepupu saya ) Yaya langsung tidak mahu makan sayuran. Yaya memberitahu dirinya adalah "Princess of Vegetables". Mana mungkin dia makan rakyatnya. Pandai betul Yaya bagi alasan. Sama seperti Princess Yaya, saya juga membuat pelbagai alasan untuk tidak makan sayuran pada masa kecil.
Moi Sawi
Emak bercerita saya adalah anak yang paling degil (ketegaq bak kata orang Kedah). Emak mula mengenalpasti saya tidak makan sayuran bila emak mengisar nasi lembut (moi) dan sayur sawi untuk saya. Pada ketika itu saya masih tidak boleh bercakap mungkin antara umur 1 hingga 2 tahun. Apabila disuapkan moi ke dalam mulut, saya membuka mulut tapi lepas suapan ketiga, mulut saya sudah penuh sebab saya tidak menelan moi yang ada sawi di dalamnya. Moi sawi itu kekal dalam mulut tanpa saya telan. Emak bercerita masa itu dia tahu anak ini memang degil tapi tidak protes. Diam tetapi degil.
Jus Tomato
Bila berumur antara 4 hingga 5 tahun, bapa saya menyuruh saya makan tomato seperti makan buah epal. Mana mungkin tomato dimakan seperti epal. Kemudian bapa cuba menyediakan jus tomato untuk saya minum. Saya tidak berupaya minum jus tomato walaupun bapa cakap kulit saya akan jadi lebih cantik jika minum jus tomato 😃
Menu sayur untuk makan tengahari
Waktu makan tengah hari selalu bermasalah bagi saya. Saya tidak mahu makan sayur. Jika emak masak sayur kubis, saya akan beritahu emak, saya nak makan karot. Esoknya emak masak sayur karot untuk saya, saya akan beritahu saya suka timun. Yang pasti saya akan beritahu hendak makan sayur yang emak tidak masak pada hari itu. Emak bercerita saya akan sentiasa mencipta alasan untuk tidak makan sayur.
Didenda kerana tidak makan sayur
Ketika waktu makan, saya duduk di kerusi khas yang agak tinggi di meja makan. Kerusi tinggi ini khas untuk kanak-kanak (toddler high chair). Saya pernah didenda oleh bapa kerana tidak mahu makan sayur. "Hafiza jangan turun dari kerusi selagi tidak makan sayur". Sudah pasti saya memilih tidak turun dari kerusi daripada makan sayur. Saya kekal di atas kerusi sehingga diselamatkan oleh pengasuh pada waktu itu. Emak memang sudah faham kedegilan saya.
Walau bagaimanapun semakin umur meningkat saya cuba untuk makan sayur setiap hari. Kini sayuran adalah menu harian wajib bagi saya. Pilihan saya selalunya sama ada sayuran dimasak, ulam, kerabu dan salad sayuran. Tetapi sayur sawi adalah pilihan terakhir saya dan saya tidak boleh makan sawi dalam kuantiti yang banyak (mungkin saya kurang suka rasa sayur sawi).
Adik saya Hanif mula makan sayuran semasa usia 18 tahun. Akan tetapi Yaya, Princess of Vegetables yang kini sudah berusia 18 tahun, masih kekal tidak makan rakyat jelatanya 😂
Anekdot
Orang yang degil tetapi dibimbing dengan baik akan menjadi insan yang tidak mengenal putus asa, teguh pendirian dalam kebaikan dan tidak mudah dipengaruhi oleh perkara negatif.
Comments
Post a Comment