Skip to main content

KISAH 6 - KU SANGKA PANAS HINGGA KE PETANG, RUPANYA HUJAN DI TENGAH HARI



Rentetan dari KISAH 4 ( Air Buyung Tok Yah ) dan KISAH 5 ( Pak Mat Geduk- geduk )...

Kedua moyang saya iatu Tok Wan Ahmad dan Tok Yah mempunyai 5 orang anak dari perkahwinan mereka iaitu Che Amah ( Mak Tok saya ), Yusof ( Tok Cik Usop ), Wan Teh ( Tok Teh ), Wan Chik ( Tok Chik ) dan Che Sayang ( Tok Su ).

Diceritakan selepas moyang saya Tok Wan Ahmad berpencen dari syarikat bekalan elektrik di Pulau Pinang, beliau kembali bekerja sebagai mandur di kebun dan estet. Mungkin dengan paras rupa yang tampan, berkulit putih, tinggi, mata kebiruan serta menaiki motor besar, Tok Wan Ahmad akhirnya telah berkahwin lagi. Setelah pelbagai ujian yang dihadapi oleh Tok Yah yang seorang diri membesarkan 5 orang anaknya, Tok Yah akhirnya telah membawa diri berpindah ke Kuala Kedah dengan membawa semua anak-anak bersamanya. 

Di Kuala Kedah, Tok Yah telah membina rumah di sebuah tanah tumpang milik orang kampung. Tok Yah menyara kehidupan dengan menjual kuih dan mengurut. Kehidupan agak susah pada masa itu dan anak-anak yang dibawa bersama Tok Yah juga tidak dapat bersekolah.

Semasa di Pulau Pinang, Mak Tok saya bersekolah dan beliau bercita-cita untuk menjadi guru. Pada masa itu, bila seseorang bersekolah dan boleh membaca selalunya sudah layak menjadi guru.

Tapi apabila Mak Tok berpindah ke Kuala Kedah, tidak beberapa lama selepas itu, Jepun telah menyerang Tanah Melayu, cita-cita Mak Tok untuk menjadi guru terus terkubur.

Semasa Jepun berada di Tanah Melayu, Mak Tok berumur 13 tahun. Tok Yah yang risau dengan askar Jepun yang selalu menculik dan berbuat tidak baik pada anak dara di kampung akhirnya membuat keputusan untuk mengahwinkan Mak Tok dengan seorang lelaki yang agak berumur. Saya tidak tahu nama sebenar suami pertama Mak Tok tetapi diceritakan beliau dipanggil Pak Mat Ton Teng ( jelas menunjukkan orang Kedah gemar menggelarkan seorang selepas panggilan nama ).

Akibat kesusahan hidup ditambah pula peperangan yang meletus. Tok Chik, Tok Teh dan Tok Su tidak dapat bersekolah. Tok Chik saya kekal buta huruf tetapi sangat mahir dalam hal-hal memasak dan membuat kuih. Tok Teh saya dapat membaca huruf jawi. Mak Tok yang bercita-cita menjadi guru pun terpaksa berkahwin dalam usia yang muda.

Saya tidak jelas dimanakah Tok Wan Ahmad semasa Perang Jepun. Tetapi Tok Wan Ahmad kembali ke Alor Setar dan tinggal bersama Tok Teh di Lorong Gedebang sehingga akhir hayat beliau. Saya hanya mendengar cerita mengenai Tok Wan Ahmad dari Mak Long Salmiah ( anak Tok Teh ). Emak saya jarang bercerita tentang beliau.

Tok Yah tinggal bersama anak-anaknya dan kembali menetap bersama Tok Teh di Lorong Gedebang sehingga beliau meninggal dunia.

Saya agak beremosi ketika menulis kisah ini. Saya tidak dapat bayangkan kesusahan Tok Yah yang membesarkan 5 orang anaknya seorang diri dan kemudian berpindah ke Kedah. Saya mengenali Mak Tok saya sebagai orang yang cantik, bergaya, moden dan gemar membaca suratkhabar, buku-buku dan Al Quran tapi disebabkan keadaan hidup dan peperangan, cita-cita Mak Tok terpaksa dilupakan.

Saya juga merasakan sekiranya Tok Chik, Tok Teh dan Tok Su tidak dihimpit kesusahan dan tidak hidup pada era Jepun di Tanah Melayu, mungkin kehidupan mereka akan berbeza. Tapi setiap ujian dan konflik hidup adalah tanda kasih Allah, siapa yang bersabar, dialah paling dekat dengan Nya.

Apa yang Allah tetapkan mungkin melukakan hati, tapi itulah jalan terbaik yang tidak kita mengerti.


NOTA KEPADA PEMBACA
Nama moyang saya disebelah Wan Murad dan Mak Tok adalah sama dan kadang kala mengelirukan cicit-cicit yang ada.

Wan Murad
Ayah - Che Mat Kerani
Ibu - Tok Yah ( Tembun )

Mak Tok
Ayah - Ahmad ( Pak Mat Geduk-geduk )
Ibu - Tok Yah ( Bugis ) 

Jadi memang wajar orang sebelah utara selalu memberi gelaran di belakang nama panggilan bagi membezakan individu yang mempunya nama yang sama.

Emi,
Kakak tulis nota ini untuk rujukan anda 😃

Comments