Skip to main content

KISAH 7 - WAN (MURAD BIN CHE MAT) Sambungan....



Semasa Wan sakit teruk, Tok Yah ( Bugis ) diceritakan telah membantu untuk menyara kehidupan dengan menjual kuih. Pada masa yang sama beliau berusaha mengubati Wan Murad supaya sembuh.

Dengan izin Allah, Wan Murad akhirnya sembuh dan dapat menghadiri perbicaraan, serta memenangi dalam kes perbicaraan tersebut. Beliau akhirnya bekerja semula sebagai kerani di Pejabat Kastam Alor Setar di Tanjung Chali.

Lumrah kehidupan sentiasa dipenuhi suka duka. Emak bercerita setiap bulan Wan Murad akan membawa mereka sekeluarga menonton wayang. Wan tiada kereta. Kenderaan yang ada hanyalah basikal. Sekiranya hendak menonton wayang, Wan akan menyewa beca dan semasa itu Wan ada 3 orang anak ( Emak, Mak Njang dan Pak Uda ). Mereka semua menaiki beca dengan Emak dan Mak Njang duduk di bahagian letak kaki beca tersebut. Bila beca melintasi jambatan di Sungai Kedah, pemandu beca terpaksa turun dan menolak beca tersebut.


Mak Njang bercerita Wan Murad tidak makan durian sebab tidak suka dengan bau buah durian. Tetapi bila tiba musim durian, beliau akan membeli satu beca penuh buah durian untuk isteri dan anak-anaknya makan. Semasa mereka makan durian Wan tidak akan duduk dalam rumah tetapi pergi ke Kelab Kastam berdekatan.

Mak Njang bercerita sekiranya berlaku pertelingkahan dengan Mak Tok, Wan tetap memanggil Mak Tok, "Che Amah, Che Amah, Che Amah". Tidak seperti orang utara yang lain akan menggunakan perkataan hang dan aku apabila marah.

Saya tidak mengetahui punca perceraian Wan Murad dan Mak Tok. Kedua-dua mereka telah kembali ke negeri abadi. Biarlah mereka berdua yang mengetahui kisah yang sebenar.

Membawa diri ke Bukit Bendera

Selepas bercerai, Wan Murad tiada tempat tinggal. Rumah yang ada didiami oleh Mak Tok dan anak-anak. Wan Murad telah membawa diri ke Bukit Bendera, Pulau Pinang dan tinggal di Masjid Bukit Bendera. Wan mempunyai pencen dan saya rasa Wan menjalani kehidupan di masjid dengan wang pencennya.


Perkahwinan ketiga

Wan Murad berkahwin lagi dengan isteri yang baru juga bernama Aishah. Diceritakan Makcik Aishah merupakan bekas isteri Tok  Penghulu. Setelah berumah tangga dengan Makcik Aishah, Wan tinggal di rumah isterinya di Guar Cempedak. Tetapi anak-anak tiri Wan tidak membenarkan mereka tinggal di rumah tersebut. Wan telah berpindah ke Permatang Binjai, Pulau Pinang. Saya berasa agak lucu bila Mak Njang berkata isteri ketiga Wan juga garang seperti Mak Tok. Saya tidak berani komen tentang isu ini melainkan menerima semua ini sebagai takdir dan ujian Allah untuk Wan Murad.

Mak Njang bercerita semua anak-anak Wan sangat sayang padanya. Bila terpisah dengan perceraian sedikit sebanyak memberi kesan kepada anak-anak yang tinggal bersama Mak Tok.

Wan dan Makcik Aishah mempunyai 2 orang anak angkat iaitu Hasnah dan Syaaban. Semasa Wan berada di Guar Cempedak, Mak Njang pernah membawa Pak Kecik dan Mak Chaq Rosni melawat Wan dengan menaiki basikal dari Gurun. Pak Kecik ketika itu berumur 10 tahun. Beliau terus sebak bila bertemu Wan Murad. Tapi rasa sebak berkurang bila Pak Kecik bermain-main dengan kucing peliharaan Wan Murad.

Wan sangat sayang pada kucing. Pernah Pak Njang singgah melawat Wan di Permatang Binjai, Wan sedang menghayun buaian. Rupanya kucing yang tidur dalam buaian itu 🐈


Ayah Teh diceritakan pernah pergi ke rumah Wan Murad dan tinggal selama seminggu di sana. Ayah Teh sempat mengambil alih tugas Wan Murad menghantar Hasnah ke sekolah dengan menaiki basikal. Ayah Teh sangat sedih bila melihat ayahnya yang sudah tua mengayuh basikal menghantar anak ke sekolah.

Pak Uda pernah menetap selama sebulan dengan Wan Murad di Permatang Binjai semasa beliau bekerja sebagai Bendahari Negeri di Pulau Pinang. Tetapi Pak Uda tidak bercerita mengenai perkara ini dengan lebih lanjut.

Saya dapat merasakan semua anak Wan Murad sangat rindu kepada Wan, tapi apakan daya, jodoh pertemuan adalah urusan Allah.

Wan Murad meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat serangan jantung.

Kegembiraan Chu Wan Teh bila abangnya telah kembali ke rahmatullah

Wan Teh adalah satu-satunya adik Wan Murad seibu sebapa. Kami semua memanggil beliau Chu, lebih mudah disebut Chu Wan Teh.

Saya mengenali Chu sebagai seorang yg lembut, bercakap kuat tapi penuh kasih sayang dan ayat-ayat yang digunakan juga sopan bernada lanjut. Chu sangat berbesar hati apabila tetamu datang ke rumahnya.

Saya paling ingat bila Chu mengukus semula kuih bakul sehingga lembut dan disaluti dengan kelapa yang dikukur ( nyoq kukoq ) 😅. Saya merasakan kuih itu sangat sedap berbanding kuih bakul asal yang agak keras.

Mak Njang bercerita bila Wan meninggal dunia, Pak Njang telah membawa Chu dari Kuala Lumpur ke Permatang Binjal untuk menziarahi jenazah abangnya. Sepanjang perjalanan Chu berzanji sebagai doa dan rasa bersyukur kepada Allah atas tamatnya kesusahan hidup serta penderitaan abangnya.

Apa perasaan Chu pada waktu itu sesungguhnya hanya beliau yang lebih mengetahui. Kasih sayang antara dua beradik Chu dan Wan Murad hanya mereka berdua yang memahami.

Sama-sama kita hadiahkan bacaan Al Fatihah untuk Chu Wan Teh dan Wan Murad. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

Comments