Murad bin Che Mat adalah datuk saya sebelah emak. Saya memanggil Wan sebagai Wan Murad. Semasa saya bersekolah rendah, Wan Murad tinggal di Permatang Binjai, Penaga, Pulau Pinang. Mak Tok tinggal bersama kami di Taman Sopiah. Emak beritahu Wan Murad dan Mak Tok telah bercerai. Sebagai kanak-kanak yang bersekolah rendah saya tidak memahami apa itu bercerai.
Hidup tanpa 'ropelah'
"Ropelah" ialah perkataan dialek Kedah yang bermaksud cemas, gelisah serta menggambarkan perasaan tidak tenang. Wan Murad menjalani hidup tanpa ropelah. Emak bercerita Wan Murad adalah seorang yang baik hati dan 'simple'. Pak Uda ( adik mak ) sering bercerita pada anak-anaknya, Wan seorang "happy go lucky person", "simple man with simple life". Mak Njang pula menggambarkan Wan Murad seorang yang terlalu simple dan murah hati.
Wan tidak pernah marah, tiada sifat baran, anak-anak pun tidak pernah dimarahi. Mak Njang beritahu dia tidak pernah merasa takut untuk bawa repord card sekolah untuk Wan Murad tandatangan sebab beliau tahu ayahnya tidak akan marah. Walaupun terdapat beberapa subjek yang tidak lulus, ditulis markah dengan pen merah, Wan Murad hanya bertanya, " Awat yang banyak sangat bunga poppy ni ?" 😄
Fatimah binti Murad ( Mak Chaq Timah )
Emak bercerita isteri pertama Wan Murad adalah seorang wanita berbangsa Cina. Wan Murad berkahwin dengan anak tauke kedai mesin jahit Singer iaitu kedai yang Wan Murad bekerja pada masa itu. Saya diberitahu oleh sepupu saya Ira, nama wanita Cina itu ialah Chua Beng Kee. Nama muslimnya ialah Aishah. Wan Murad dan Aishah menperolehi seorang anak perempuan bernama Fatimah. Tetapi Aishah telah meninggal dunia semasa Fatimah masih kecil.
Fatimah ( Mak Chaq Timah ) dibesarkan oleh ibu angkatnya yang dipanggil Mak Ani di Sungkai, Perak. Mak Ani adalah seorang bidan kampung. Diceritakan Mak Chaq Timah dibawa lari oleh Mak Ani ( jiran Wan Murad ) kerana beliau terlalu sayang pada Mak Chaq yang kematian ibu dan tidak mahu menyerahkan semula Mak Chaq kepada Wan bila sampai umur mula persekolahan. Emak bercerita Wan mencari Mak Chaq Timah merata - rata sehingga menaiki keretapi ke Singapura tetapi gagal berjumpa.
Mak Chaq Timah berjumpa semula dengan ayahnya apabila beliau hendak berkahwin dan Wan Murad menjadi wali perkahwinan anaknya.
Chief of Clerk ( CC )
Wan Murad kemudiannya berkahwin dengan Mak Tok saya, Che Amah binti Ahmad. Wan Murad bekerja sebagai kerani ( mulanya sebagai kerani polis, kemudian beliau berkhidmat sebagai kerani kastam). Wan Murad dan Mak Tok dikurniakan 7 orang anak.
1. Zaharah ( meninggal dunia masa kecil )
2. Habibah - Mak Ngah
3. Eishah - Mak Njang
4. Ahmad - Pak Uda
5. Akashah ( meninggal dunia masa kecil )
6. Sharbani - Ayah Teh
7. Murhimin - Pak Kecik
Mak Tok saya adalah seorang wanita yang garang. Berbanding dengan Wan yang mempunyai sifat yang berbeza sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan mereka.
Semasa berkhidmat sebagai kerani polis, Wan Murad pernah terkena sakit yang agak teruk akibat buatan orang. Beliau mengetahui seorang Inspektor Polis terlibat dalam penyalahgunaan wang tetapi untuk mengelakkan beliau hadir di mahkamah, Wan telah disihir dengan sakit yang teruk sehingga terpaksa berhenti kerja. Semasa Wan Murad sakit dan tiada kerja kehidupan sangat susah. Emak saya yang sudah bersekolah diletakkan di bawah jagaan abang Wan Murad berlainan ibu iaitu Md Din ( tauke kilang ais di tengah bandar Alor Setar ). Wan Murad dan Mak Tok menumpang di rumah moyang saya Tok Yah ( Bugis ) yang terletak di tanah belakang rumah Tok Teh di Lorong Gedebang. Kehidupan mereka pada ketika itu teramat susah.
Bersambung...
Comments
Post a Comment