Skip to main content

KEMBARA KE BUMI ANBIYA - BAHAGIAN 11

KEMBARA KE BUMI ANBIYA
BAHAGIAN 11


Makam Nabi Syuaib AS

Destinasi lawatan seterusnya ialah Masjid dan Makam Nabi Syuaib AS yang terletak di Wadi Syuaib atau Lembah Syuaib. Apabila tiba di sini saya dapati kawasan  tanahnya subur dan persekitarannya dipenuhi tumbuhan hijau. Lembah ini juga kaya dengan sumber air berbeza dengan kawasan gurun di sekitarnya. Kawasan pergunungan ini  terletak kira-kira 2 km di barat bandar Mahis dan berhampiran bandar bersejarah As Salt di Jordan.

Kawasan ini dipercayai tempat tinggal dan wafatnya Nabi Syuaib AS. Makam Nabi Syuaib AS terletak di ruangan sisi Masjid Nabi Syuaib. Panjang makam mencapai  sekitar 6 meter, menonjolkan ciri makam nabi yang seringkali lebih panjang daripada ukuran manusia biasa.


Kisah Nabi Syuaib AS

Nabi Syuaib AS diyakini sebagai keturunan Nabi Ibrahim AS. Beliau berasal dari kaum Madyan iaitu cicit dari Madyan bin Ibrahim (anak Nabi Ibrahim AS). Nabi Syuaib termasuk  salah seorang dari empat nabi yang berasal dari bangsa Arab, selain Nabi Hud AS, Nabi Saleh AS dan Nabi Muhammad SAW.

Nabi Syuaib AS adalah salah seorang daripada 25 nabi dan rasul. Baginda dikenali dengan gelaran Khatibul Anbiya' (Penyampai Khutbah Para Nabi) kerana kefasihan dan ketajaman lisannya semasa menyampaikan dakwah. 


Kisah kaum Nabi Syuaib AS yang diazab Allah

Kaum Nabi Syuaib AS adalah kaum yang kaya tapi sesat, menyembah berhala dan terkenal dengan amalan buruk mengurangkan timbangan dan sukatan dalam perniagaan. Mereka sudah lama meninggalkan ajaran nabi-nabi terdahulu dan lupa mengerjakan perintah-perintah agama. Mereka juga menyembah pohon rimbun yang disebut Aikah.

Sebagai utusan Allah, Nabi Syuaib AS menyeru kaumnya untuk kembali menyembah Allah, berlaku jujur dalam perniagaan dan berhenti melakukan kejahatan dan kerosakan di muka bumi. Tetapi mereka menolak dengan angkuh sambil mempersendakannya.

Azab Allah

Sebelum Allah melaknat kaum ini dengan azab, Nabi Syuaib AS bersama kaumnya yang beriman disuruh keluar dari kota itu. Allah telah menimpakan mereka dengan cuaca yang sangat panas sehingga menjadikan tanaman kering, perigi kering dan haiwan tidak mempunyai susu. Mereka keluar mencari kesejukan dan menemui awan hitam yang sebelum ini dianggap hujan akan turun. Mereka berkumpul di bawah awan hitam yang gelap dengan harapan hujan akan turun tetapi Allah telah menghujani mereka dengan percikan api yang membakar mereka semua. Bumi bergoncang dan mereka ditimpa gemaan suara pekikan yang amat dahsyat sehingga mereka menjadi jasad-jasad yang mati bergelimpangan. Kaum Madyan yang dulunya bermegah dengan kekayaan, akhirnya lenyap akibat kedegilan mereka (Surah Al A'raf : 85 - 93).

Demikianlah kisah kaum Nabi Syuaib AS yang diazab dengan tiga (3) azab sekaligus iaitu gempa bumi, suara pekikan yang keras dan awan gelap yang panas menaungi mereka. Allah timpakan azab disebabkan kekufuran, kecurangan ekonomi dan kemaksiatan mereka. Mereka sepatutnya menggunakan nikmat harta dan kesuburan tanah dengan cara yang betul, bukan dengan kesombongan dan maksiat.

Kesan Tinggalan Azab Kaum Nabi Syuaib (Madyan) vs Kaum Nabi Luth (Sodom)

Berbanding semasa lawatan di Laut Mati, emak asyik menyebut tentang larangan Rasululllah melawat tempat yang diazab Allah. Tetapi emak hanya diam semasa pemandu pelancong menjelaskan  tentang azab Allah terhadap kaum Nabi Syuaib AS. Mungkin suasana di kawasan Wadi Syuaib menampilkan masjid yang tenang, pohon-pohon kehijauan dengan pemandangan lembah serta pergunungan yang indah membuatkan emak berasa selesa.


Berbeza dengan suasana di Laut Mati yang bersuhu panas dengan laut kelihatan terbenam ke dalam bumi serta tebing yang curam kesan azab Allah. Suasana ini mungkin mengundang keresahan pada emak. Saya sendiri berasa gerun apabila melihat suasana di Laut Mati yang seolah sepi dengan persekitaran yang tiada hidupan. Laut Mati yang merupakan lembah terendah di bumi, kekal sebagai bukti sejarah kemurkaan Allah SWT.

Daripada kedua kisah ini, kesimpulannya kita janganlah melakukan pelanggaran terhadap batas-batas penetapan Allah sama ada dari segi harta (ekonomi) atau moral (seksual). Keingkaran manusia yang mengakibatkan kemurkaan Allah akhirnya akan membawa kepada kehancuran dan kebinasaan.

Comments