KEMBARA KE BUMI ANBIYA : APA YANG SAYA PELAJARI
Rasulullah SAW telah bersabda, "Janganlah kamu bersusah payah mengembara atau bermusafir bagi tujuan ibadah melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjid Al Haram, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjid Al Aqsa."
Walaupun emak sering bercerita pada saya tentang hadis Rasulullah mengenai Masjidil Aqsa sebagai masjid ketiga yang dituntut untuk kita bersusah payah mengunjunginya, seperti biasa saya faham, tetapi saya tidak benar-benar menjiwai cerita emak. Emak berulang kali menyebut, sekiranya kita menunaikan solat di Masjidil Aqsa, kita akan beroleh keberkatan dan ganjaran yang besar.
Sehinggalah pada suatu hari, emak memberitahu saya yang beliau dan kawan-kawan bercadang untuk menyertai lawatan ke Jordan dan Palestin termasuk menziarahi Masjidil Aqsa. Dalam hati timbul persoalan, bagaimana emak begitu berani untuk ke Palestin memandangkan media masa sering menggambarkan keadaan di situ tidak selamat. Saya bersetuju untuk turut serta bila saya terfikir bagaimana emak hendak menguruskan bagasi beliau dengan keadaan bertongkat. Tambahan pulak semua kawan emak yang turut serta telah berpencen dan berusia warga emas, sekiranya saya pergi bersama mereka sekurang-kurangnya saya boleh membantu mereka. Tentang isu keselamatan, bagi saya pihak agensi pelancongan lebih arif tentang hal ini.
Saya juga berpendapat kembara ini bukan sekadar melancong, tetapi kembara ilmu berdasarkan apa yang saya selalu tonton dalam siri Jejak Rasul di TV3. Tetapi apabila telah merasai sendiri pengalaman melawat Masjidil Aqsa dan menjejaki sirah wahyu di bumi para nabi, saya merasakan terlalu banyak perkara yang saya tidak tahu. Walaupun kisah-kisah ini dinyatakan di dalam Al Quran tapi cara kehidupan saya yang hanya membaca Al Quran tanpa memahaminya amat memberi kesan pada diri saya. Terasa rugi dan saya tidak nafikan bahawa Al Quran merupakan sebaik-baik kalam dan tiada yang dapat menandingi Al Quran untuk kita membaca dan beramal dengan kandungannya.
UNIVERSITI KEHIDUPAN
Perjuangan dan keteguhan jiwa rakyat Palestin
Kita sedia maklum bagaimana rakyat Palestin diusir dari tanahair sendiri, rumah dan harta dirampas dan semua harta awam dimusnahkan oleh rejim Zionis yang sememangnya terkenal dengan sikap melampaui batas. Al Quran telah menceritakan segala-galanya tentang sifat kaum Yahudi. Jika nabi yang diutuskan kepada mereka pun sanggup mereka bunuh, membunuh orang awam, wanita, orang tua dan kanak- kanak pasti lebih mudah mereka dilakukan.
Kehidupan rakyat Palestin terpinggir di negara sendiri apabila hidup di bawah penjajahan Israel. Mereka ditindas dan dizalimi dari segi kebebasan bergerak, mencari rezeki, hak memiliki tanah dan rumah. Apa yang saya perhatikan, rakyat Palestin mempunyai kekuatan mental dan emosi yang teguh yang membolehkan mereka bertahan untuk hidup dalam situasi krisis kemanusian yang mencabar.
Kekuatan mental rakyat Palestin adalah gabungan iman dan kesabaran yang teguh, sokongan komuniti dan secebis harapan untuk mempertahankan tanahair walaupun dalam serba kekurangan. Konsep mati syahid adalah sumber kekuatan dan memberikan ketenangan dalam perjuangan mereka menegakkan agama Islam. Saya kagum dengan mereka semua !!
Bagi semua rakyat Palestin, takdir kamu di dunia memang tidak seindah kami, tapi takdir kamu di syurga sangat kami cemburui.
Al Quran dan Sirah Para Nabi dan Rasul
Al Quran adalah sumber wahyu utama yang mengandungi pengajaran, hukum dan panduan hidup umat Islam. Sirah adalah sejarah serta amalan nyata daripada kehidupan para utusan Allah. Apabila berada di tempat yang mencetuskan kisah sebenar, saya berasa seolah-olah merentasi masa untuk merasai keimanan dan ketabahan para Nabi. Betapa tabahnya Nabi Musa AS menghadapi tingkah laku kaumnya dan betapa sabarnya Nabi Zakaria AS berdoa untuk mendapatkan pewaris selama 70 tahun walaupun baginda sudah tua dan isterinya mandul. Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi Allah.
Menjejaki tempat sebenar telah mengubah kisah yang dibaca menjadi pengalaman yang nyata. Melangkah masuk ke Gua Ashabul Kahfi, membawa diri ini merenung betapa agungnya kekuasaan Allah SWT. Peluang menziarahi lokasi yang diabadikan dalam Al Quran, membuatkan saya bersyukur kerana dapat melihat sendiri bukti sejarah Islam secara nyata.
Saya juga menyimpan azam untuk bertaddabur Al Quran supaya dapat memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungan Al Quran, bukan sekadar membacanya. Semoga Allah SWT permudahkan, memberi kekuatan dan mengizinkan untuk saya sentiasa beristiqamah.
Memahami dan menjiwai peristiwa Israk dan Mikraj
Selepas menziarahi Masjidil Aqsa saya lebih menjiwai peristiwa agung ini. Sebelum ini saya hanya mengaitkan Israk dan Mikraj dengan cuti umum bagi rakyat Malaysia. Selepas mendengar penerangan pemandu pelancong dan keberadaan di tempat berlaku peristiwa Israk dan Mikraj saya semakin menghayati perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa seterusnya naik ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu Allah SWT dan menerima perintah solat.
Saya amat kagum dengan dua pengisahan ini walaupun sebelum ini saya hanya tahu serba sedikit tentang peristiwa ini tanpa menghayatinya.
Fasa Israk (perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa). Dalam perjalanan ini, Nabi Muhammad SAW telah mengimamkan solat bagi seluruh para nabi dan rasul di Masjidil Aqsa, menandakan kedudukan baginda sebagai penghulu para Nabi. Terasa diri ini amat kerdil bila pemandu pelancong mengatakan dipercayai di sini Rasulullah mengimamkan solat para nabi dan rasul di kawasan Masjid Al Mawarni. Mempunyai ruang bawah tanah besar masjid ini bukanlan lokasi yang spesifik tetapi lokasi solat berjemaah nabi adalah merujuk kepada keseluruhan kawasan Al Aqsa.
Fasa Mikraj (perjalanan dari Masjidil Aqsa naik ke langit). Dalam perjalanan ini antara perkara yang paling saya tersentuh adalah semasa Rasulullah berjumpa Nabi Musa AS di langit keenam. Nabi Musa AS menangis kerana umat Nabi Muhammad SAW yang diutus selepasnya masuk syurga dalam jumlah yang jauh lebih ramai berbanding umatnya sendiri. Kita sebagai umat Rasulullah SAW selalu alpa dengan keistimewaan yang Allah kurniakan pada kita. Nabi Musa AS juga berperanan meminta Nabi Muhammad SAW memohon pengurangan solat daripada 50 waktu kepada 5 waktu sehari kerana menyifatkan umat Nabi Muhammad SAW tidak mampu menunaikan solat 50 waktu.
Larangan melawat tempat yang dilaknat Allah
Antara lokasi yang pernah dilaknat oleh Allah ialah :
* Madain Saleh, Kota Al Ula, Arab Saudi (kaum Tsamud)
* Laut Mati, Kota Sodom, Jordan (kaum Nabi Luth AS)
* Pompeii, Itali (bandar maksiat era Rom)
* Al Ahqaf, Yaman (umat Nabi Hud AS)
* Laut Merah, Mesir (tempat Firaun dan tenteranya tenggelam)
Saya pernah terbaca bahawa Rasulullah SAW pernah melarang para sahabat daripada memasuki kawasan kaum Thamud iaitu kaum Nabi Saleh AS di Madain Saleh kecuali dalam keadaan menangis dan rasa takut pada azab Allah. Secara langsung, saya dapat memahami kenapa emak berasa tidak selesa bila berada di Laut Mati.
Madain Saleh berada dalam wilayah Al Madinah, kira-kira 440 km dari bandar Madinah. Kaum Thamud iaitu kaum Nabi Salleh AS dibinasakan dengan gempa bumi yang dahsyat kerana mendustakan nabi dan membunuh unta Nabi Saleh AS. Gambar di bawah adalah antara bukit yang diukir oleh kaum Thamud di Madain Saleh.
Saya tidak pernah mengunjungi Madain Saleh walaupun saya pernah ke Madinah. Rasulullah SAW pernah meminta sesiapa yang melewati Madain Saleh untuk menyegerakan langkah. Baginda juga melarang penggunaan air dari telaga kaum Thamud untuk minuman atau mengadun roti.
Hukum lawatan ke tempat yang dilaknat Allah adalah harus/sunat jika lawatan bertujuan mengambil pengajaran merenung kebesaran Allah. Jika lawatan dilakukan semata-mata untuk berseronok, rekreasi atau mengagumi peninggalan kaum tersebut, hukumnya ialah makruh/haram.
Pokok Gharqad
Saya mengenali pokok Gharqad (Al Gharqad) sebagai "Pokok Yahudi" kerana disebut dalam hadis sahih berkaitan peristiwa akhir zaman di mana pokok ini akan melindungi kaum Yahudi. Al Gharqad merupakan sejenis tumbuhan berduri dan semak samun. Dahannya berselirat, berbatang keras dan mempunyai duri yang tajam. Saya berpeluang melihat sendiri pokok gharqad yang tumbuh di kawasan Baitul Maqdis dan sekitarnya.
Berdasarkan hadis, pada akhir zaman akan berlaku peperangan antara orang Islam dan Yahudi. Dalam peperangan tersebut, batu dan pokok akan memberitahu keberadaan orang Yahudi yang bersembunyi di belakang mereka kecuali pokok Gharqad. Pada masa kini, pihak berkuasa Israel sedang giat menanam pokok ini sebagai persediaan menghadapi peperangan akhir zaman nanti.
" Trust Allah's timing in everything "
Selesai sudah catatan kenangan pengalaman sepanjang pengembaraan saya di bumi anbiya pada sembilan (9) tahun lepas. Masih jelas dalam ingatan semasa solat hari terakhir di Masjid Qibli, emak yang bertongkat, melepaskan tongkat beliau dan mencuba sedaya upaya untuk bersujud syukur dalam keadaan lutut emak yang tidak kuat. Emak mengalirkan airmata kesyukuran sebab berpeluang menjejakkan kaki ke Masjidil Aqsa. Saya hanya memandang emak dengan mata yang bergenang.
Alhamdulillah, selepas 9 tahun, cita-cita saya untuk menulis pengalaman ini Allah telah makbulkan melalui blog Coretan Aida. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik dan diperlukan oleh kita. Setiap pertemuan dengan sesiapa sahaja bukan kebetulan, sebaliknya aturan Allah untuk tujuan tertentu dan waktu yang ditetapkanNya adalah paling sesuai.
Penghargaan
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengurus blog ini atas dedikasi dan usaha berterusan beliau untuk berkongsi tulisan saya kepada pembaca. Semoga kerjasama kita akan sentiasa berterusan dengan izin Allah.
Comments
Post a Comment