Skip to main content

SEMBANG SANTAI DI SIMPOL CAFE

SEMBANG SANTAI DI SIMPOL CAFE

Bermula dengan temujanji sembang santai bersama sahabat lama di suatu petang di Simpol Cafe, Alor Setar. Seperti biasa kami geng sahabat SRT, memang akan rancak bersembang pelbagai topik sambil bergelak ketawa. Bersembang diiringi ketawa riang ria ini menjadi rutin dari zaman sekolah dan sehingga dewasa kami masih kekal berperangai sama. Tanpa sengaja, kami secara tiba-tiba terbincang tentang topik yang paling panas iaitu poligami. 

Poligami vs Kahwin Dua

Topik ini muncul bila Tora menyebut tentang wanita seusia kami yang kadangkala memerlukan "me time". Maksud "me time" ini lebih kepada melakukan aktiviti tanpa pasangan dan anak-anak. Sebagai contoh menghabiskan masa "me time" bersama ibu yang berusia lanjut yang tinggal berseorangan di kampung. Masa berkualiti bersama ibu tersayang ini merupakan "me time" yang sangat bernilai memandang kami sendiri sudah berusia melebihi separuh abad.

Saya dan Kak Chik berkata, "Tora, kiranya hang setuju dan sokong idea poligami?" Dengan nada hairan Tora bertanya kami, "Poligami tu apa?" Kak Chik mula sedikit berang bila Tora tidak tahu maksud perkataan poligami. Saya tidak dapat menahan rasa geli hati dan menerangkan apa maksud poligami pada Tora. Tora dengan selamba berkata, "Aku  sebut kawin dua." Dengan deraian ketawa sehingga mata berair kami berkata, "Hang ingat lelaki tu kawin dua saja ka, kawin tiga dan kawin empat pun ada, tu yang orang sebut poligami." Setelah keras perut ketawa, perbincangan kami masih berlegar tentang isu ini terutama bagi wanita moden yang sebaya kami, berdikari dan tiada pasangan hidup. 

Kak Chik berpendapat wanita berkerjaya dan berdikari sering menghadapi kesukaran mencari pasangan yang setara dan poligami adalah salah satu pilihan logik bagi yang ingin berkahwin tanpa melepaskan gaya hidup mandiri. "Lagipun aku rasa aku tak perlu laki aku ada di rumah aku hari-hari, quality time lebih penting dari quantity." ujar Kak Chik. Kami berpendapat bagi wanita berdikari dan terbiasa hidup sendiri, berkongsi suami adalah pilihan terbaik.

Saya amat neutral tentang isu ini memandangkan syariat Islam membenarkan lelaki berkahwin lebih dari seorang atau poligami. Namun begitu, tetap wujud  syarat-syarat yang sewajarnya dipatuhi. Kebenaran ini bersesuai dengan tabiat dan fitrah manusia. Kita semua sedia maklum, lelaki  berkeinginan untuk beristeri lebih dari satu pada dasarnya. Tapi kemusykilan saya, adakah masih ada lelaki yang sudi berkahwin dengan wanita berusia seperti amalan poligami Rasulullah SAW. Apa yang saya tahu pilihan mereka selalunya wanita muda yang "masih bergetah" yang lebih sedap mata memandang. 😃 Walau bagaimanapun, tiada yang mustahil bagi Allah dan segala sesuatu yang berlaku semuanya atas izinNya.

Persyariatan Poligami

Dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah an Nisaa', ayat 3. Ayat ini diturunkan selepas peperangan Uhud. Seramai 70 orang tentera muslim telah syahid dengan meninggalkan janda dan anak yatim yang perlu diberi perhatian dan perlindungan. 

Isu Semasa

Walau bagaimanapun, dalam masyarakat Islam di Malaysia, poligami kerap dikaitkan dengan masalah dalam rumahtangga, penganiayaan, perceraian dan pertelingkahan yang berlarutan. Hakikatnya, terdapat ramai golongan berpoligami yang tidak bermasalah dan golongan ini perlu mempromosikan kelebihan kehidupan mereka agar dapat meneutralkan serangan media terhadap poligami dalam Islam.

Salah siapa sebenarnya ? Bagi saya lelaki atau perempuan sewajarnya memainkan peranan terutamanya lelaki yang sepatutnya menjadi khalifah dalam kehidupan. Lelaki merupakan tonggak dalam kehidupan rumahtangga yang sepatutnya memainkan peranan utama sekiranya memilih kehidupan poligami.

Kesesuaian perbincangan ini walaupun disulami dengan gelak ketawa tetapi lebih menumpukan pada wanita yang mempunyai pendapatan, kehidupan stabil serta gaya hidup berdikari. Motivasi lain termasuklah mengelakkan maksiat, menyokong institusi kekeluargaan dan mengharapkan ganjaran akhirat.

Prinsip Poligami Moden

Umumnya majoriti wanita tidak boleh menerima poligami. Tetapi pada pandangan kami bertiga, ada wanita boleh menerima poligami asalkan dia difahami dan dihormati. Syaratnya lelaki mesti jujur, tetapi ramai lelaki yang gagal dalam isu kejujuran.

Pandangan kami tentang Seni Poligami Moden

Bukan berkongsi suami tetapi membina empayar kasih sayang bersama-sama.

Poligami di mana "Maduku" adalah "Sahabat Syurgaku" 😅

Poligami apabila hati dua wanita yang hebat dan solehah, bersatu untuk matlamat mewujudkan keluarga yang harmoni, diberkati dan diredhai Allah SWT.

Keadilan poligami yang bukan pada angka tetapi pada rasa tanggungjawab yang dikongsi bersama.

Wanita-wanita yang biasa berdikari dalam jati diri mereka perlu bergabung dengan lelaki yang bertindak sebagai khalifah dalam rumah tangga. Mereka bersatu dalam suasana harmoni, itulah seni poligami moden.

Kesimpulan

Penerimaan poligami adalah berbeza mengikut budaya, agama dan undang-undang sesebuah negara. Bagi lelaki, poligami merupakan penyelesaian alternatif dan pilihan yang sah untuk mengelakkan maksiat. Lelaki berpendapat poligami adalah sunnah yang boleh diamalkan selagi garis panduan syarak dipatuhi tanpa menzalimi mana-mana pihak.

Wanita pula sering berasa terbeban dengan ujian emosi dan cemburu. Mereka menentang walaupun penerimaan poligami adalah hukum agama. Walaupun ramai wanita lebih rela hidup bermadu daripada diceraikan, ada juga yang memilih untuk tidak berkongsi kasih jika diberi pilihan.

Saya masih lagi neutral tentang hal ini memandangkan saya pernah menjalani kehidupan sebegini ( 7 tahun secara rahsia, 7 tahun secara rahsia umum). Saya menerima walaupun agak sukar memahami penipuan daripada seorang suami. Saya bertahan selama 20 tahun dengan sabar tapi akhirnya memilih untuk sendiri apabila perkahwinan bukan lagi ladang pahala untuk saya. Tiada keikhlasan daripada saya sendiri untuk terus melayari bahtera perkahwinan yang berlandaskan penipuan.

Anekdot

Ada yang berkata lelaki Melayu Islam selalunya akan memilih mengikut syariat Islam dan sunnah dalam perlaksanaan poligami dan faraid. Ada benarnya atau tidak, yang pernah mengalami pasti lebih mengetahui !!

Comments